Sudah genap sebulan usia perkahwinan antara Lea
Fatehah dan Zarif Haikal. Sepanjang tempoh sebulan itu tidak banyak yang
berubah. Lea masih lagi dengan perangainya yang suam-suam kuku. Zarif pening
kepala apabila memikirkannya.
“Lea, saya pergi dulu. Saya dah lewat ni.”
Zarif terkocoh-kocoh keluar dari biliknya. Lea di dapur cepat-cepat melangkah
ke arah Zarif.
“Makanlah dulu, saya dah siapkan sarapan.”
Zarif sudah siap untuk ke pejabat. Kerjanya
sebagai junior engineer memang tidak
menentu jadual kerja. Kadang-kadang pulang awal ke rumah, kadang-kadang menginjak
ke pagi barulah wajahnya muncul di rumah.
“Saya dah lewat ni. Mesyuarat mula awal. Maaf
ya.” Zarif melangkah ke pintu lalu menyarungkan kasut kerjanya. Lea hanya
memandang. Zarif sudah mula menghidupkan enjin keretanya dan berlalu pergi.
Tinggallah Lea Fatehah keseorangan di rumah.
Zarif Haikal, seorang lelaki yang cukup
sempurna. Dia mempunyai segala-galanya. Dia berkerjaya, dia mempunyai raut wajah
yang sedap mata memandang. Wajah yang pasti menjadi rebutan setiap wanita di
luar sana. Luarannya, dia boleh dikategorikan sebagai Mr.Perfect 10.
Selama sebulan usia perkahwinan mereka,
masing-masing tidak berani berbincang mengenai peristiwa hitam yang berlaku sebelum
ini. Masing-masing cuba mengelak untuk tidak menyakitkan hati antara satu sama
lain.
Mereka juga sudah tinggal di rumah sendiri.
Zarif lebih suka jika mereka tinggal di rumah sendiri walaupun rumah sewa.
Biarlah Lea Fatehah menjadi tanggungjawab dia sepenuhnya.
“Assalamualaikum.” Terdengar satu suara di
pintu depan rumah Lea Fatehah. Lea yang sedang mengemas rumahnya tercengang.
Hatinya tertanya-tanya siapa gerangan yang memberi salam itu. Dia meletakkan
mop lantai ke tepi dan berlalu ke pintu. Tudung serkup yang tergantung di tepi
ruang dapur di ambil dan disarungkan ke kepala.
“Waalaikummussalam.” Lea menjawab seraya
membuka pintu. Tersembul wajah manis Zara Imani, adik Zarif.
“Kamu Imani. Jom masuk. Akak sedang mengemas rumah
ni.” Lea mempelawa adik iparnya masuk ke dalam rumah. Imani hanya menurut.
Matanya meliar memandang persekitaran rumah abang dan kakak iparnya.
“Along kerja ke kak?” Imani melabuhkan
duduknya di sofa pada ruang tamu rumah Lea Fatehah.
“Ha’a… along kerja. Petang nanti kot baru
balik, itu pun kalau dia tak banyak kerja. Kalau banyak kerja, malam nanti baru
sampai rumah. Kamu ke sini dengan apa? Akak tak nampak kereta kamu pun.” Lea
menghabiskan kerja mengemop lantai.
“Kereta masuk bengkel lah kak. Servis. Mama
bising suruh serviskan kereta. Katanya kereta Imani tu dah macam kereta lama.
Bunyi sana-sini.”
“Macam-macam lah kamu ni Imani. Kamu nak
minum tak, kalau nak akak buatkan. Haa, kalau nak makan, ada makanan kat bawah
saji tu. Pergilah tengok.” Lea mempelawa adik iparnya.
“Tak naklah kak. Orang dah kenyang.” Imani
mengusap-usap perutnya. Zara Imani baru sahaja tamat persekolahan di peringkat
SPM. Dia sedang menunggu keputusan peperiksaannya diumumkan. Beza umur mereka
hanyalah setahun.
“Akak, jom kita keluar nak? Orang bosanlah
asyik terperap kat rumah saja. Mama tu asyik membebel. Mama cakap orang malas
nak cari kerja. Dia suruh orang kerja sementara dekat syarikat papa, tapi tak
naklah. Orang tak suka kerja pejabat.” Imani menyambung lagi setelah melihat
Lea menghampirinya. Lea membawa dua mug milo panas. Untuk dia dan Imani.
“Nak keluar pergi mana pagi-pagi macam ni?”
Lea bertanya lebih lanjut. Dia melabuhkan duduknya di sebelah Imani. Imani
sudah menjadi seperti kawannya. Imani lah yang selalu datang menemaninya
sewaktu Zarif ke pejabat ataupun outstation.
“Keluar pergi tengok wayang ke, shopping ke? Jomlah kak. Orang dah bosan
tahap dewa dah ni.” Imani mengajak lagi.
“Yelah, lepas akak settle kan semua kerja akak kat rumah ni, kita keluar. Akak pun dah
lama tak keluar.” Masing-masing ketawa. Seronok apabila berpeluang untuk keluar
bergembira. Beza umur yang setahun itu membuatkan masing-masing memahami
kehendak diri.
Lewat jam sembilan malam barulah Lea pulang
ke rumah.
“Lea pergi mana? Kenapa tak jawab call saya?” Belum sempat Lea membuka
pintu rumahnya, Zarif terlebih dahulu membukakan pintu tersebut setelah
mendengar enjin kereta Lea masuk ke perkarangan rumah.
“Maaf wak! Telefon Lea habis bateri. Lupa nak
caj. Lea keluar dengan Imani tadi. Pergi tengok wayang, makan-makan lepas tu
hantar Imani balik rumah mama.” Lea melangkah ke kerusi di ruang tamu. Dia
menghenyakkan punggungnya di kerusi. Dia meluruskan kakinya yang berasa
sengal-sengal dan lenguh. Ini gara-gara Imani yang mengheret dia hampir ke semua
kedai yang terdapat di shopping complex
itu.
“Yelah, kalau ye pun nak keluar, beritahulah saya
dulu. Saya risau tahu tak?” Zarif bermuka serius. Dia mengambil duduk di
sebelah Lea. Lea menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu dia yang bersalah kerana
tidak memberitahu Zarif untuk keluar tengah hari tadi. Dia bersedia menerima
amarah Zarif.
“Lea minta maaf sangat-sangat. Lea ingatkan
sekejap saja. Tak sangka pula sampai rumah malam macam ni.” Lea mencari alasan.
Sebenarnya dia gerun melihat muka suaminya yang serius. Dia takut. Sebulan
hidup dengan Zarif, inilah kali pertama dia melihat muka Zarif yang sangat
serius.
“Yelah, kali ini saya maafkan. Lain kali,
jangan sesekali keluar rumah tanpa bagitahu saya. Kalau nak keluar, wajib
bagitahu! Faham?” Zarif bersuara keras dan tegas sekali lagi. Lea di sebelahnya
hanya mengangguk.
“Awak, saya laparlah. Tak makan apa pun lagi
dari petang tadi.” Nada suara Zarif sudah berubah. Tidak lagi tegas. Lea di
sebelahnya dipandang dengan penuh kasih sayang. Mata Lea yang tertutup tadi
terus terbuka dengan luasnya.
“Ya Allah, awak tak makan lagi? Dah pukul
berapa ni wak?” Lea segera bingkas bangun untuk ke dapur. Dia ingin memanaskan
lauk yang dimasaknya tengah hari tadi. Nasib baik ada lagi nasi yang masih berbaki.
Hanya perlu dipanaskan sahaja.
Zarif di ruang tamu tersenyum lebar. Itulah
isteri aku, Lea Fatehah! Kalutnya mengalahkan mama.
“Awak, jom makan. Saya dah siap panaskan lauk
ni.” Lea memanggil Zarif dari dapur. Kerja Lea semakin pantas dan cekap. Dia
sudah mula membiasakan dirinya dengan dapur. Namun, jauh di lubuk hatinya, dia
masih mahu meneruskan cita-citanya untuk memegang segulung ijazah perundangan.
Tapi, hasrat itu hanya dipendamkan sendiri.
------
Petang itu, Lea Fatehah sedang menanam bunga
di halaman banglo mereka. Itulah rutin sehariannya. Melakukan kerja-kerja di dapur,
mengemas rumah, memasak untuk suami, dan berkebun. Dia umpama sudah terbiasa.
Berbeza dengan Lea Fatehah sebelum ini. Lea Fatehah kini sudah matang.
“Lea, saya nak tanya awak satu perkara ni.”
Zarif yang sedari tadi sedang membaca surat khabar meletakkan surat khabarnya
di atas meja bulat di halaman rumah.
“Nak tanya apa?”
“Saya jumpa benda ni dalam bilik.” Zarif
mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluar bermudanya. Satu sampul surat
bersaiz A4 berwarna coklat. Lea Fatehah sudah tidak ketahuan. Dia berasa serba
salah. Macam mana Zarif boleh jumpa surat tu? Aku dah sembunyikan dalam laci
kan? Lea menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Mata Zarif tepat merenung mata Lea Fatehah.
Dia inginkan satu jawapan. Tetapi, masing-masing mendiamkan diri. Lea sedang
menyusun ayat yang lebih tersusun untuk menerangkan kepada Zarif. Dia sedar
yang dia bersalah kerana memohon kemasukan universiti tanpa pengetahuan Zarif.
Tetapi, permohonan itu di buat sebelum dia menikah dengan Zarif lagi.
Keputusannya sudah diumumkan dan Lea berjaya untuk mengikuti kursus
perundangan.
“Hmmm, Lea tak nak pergi pun semasa hari
pendaftaran tu.” Lea Fatehah menjawab perlahan-lahan. Dia tahu yang Zarif tidak
akan membenarkan dia menyambung pelajaran. Lagipun dia sedar, dia bukan Lea
Fatehah yang dulu, bebas untuk melakukan apa-apa sahaja. Dia kini sudah berumah
tangga.
“Saya tak ada cakap apa-apa pun. Tetapi, yang
membuatkan saya terkilan, kenapa Lea tak bincang dulu dengan saya. Ini nasib baik
saya jumpa surat ini dalam laci, kalau tak memang sampai bila-bila pun saya
takkan tahu kan?” Zarif mula berkata serius. Lea menelan air liurnya
lambat-lambat. Dia gerun dengan nada suara Zarif.
“Saya minta maaf. Saya mohon kemasukan ke uni ni sebelum saya kahwin dengan awak
lagi. Saya tak jangka pun yang saya boleh dapat. Takpelah wak, saya tak nak
masuk uni pun. Saya dah ada kehidupan
saya sekarang.” Lea Fatehah menjawab berhati-hati. Dia berusaha sedaya upaya
untuk tidak menyakitkan hati Zarif dengan jawapannya.
“Lea minat perundangan?” Zarif bertanya
dengan muka serius lagi.
Lea Fatehah hanya menunduk, dia tidak berani
untuk bertatapan mata dengan Zarif. Hanya anggukan kepala sahaja yang diberikan
oleh Lea tanda menjawab soalan Zarif.
“Baiklah, kalau macam tu, saya benarkan Lea
masuk uni. Tapi, dengan syarat, Lea
kena jaga batas pergaulan dan status Lea sekarang.”
Lea Fatehah terkejut mendengarkan jawapan Zarif.
Dia sama sekali tidak menyangka bahawa Zarif akan membenarkan dia menyambung
pelajaran. Akhirnya, impian dia untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus
perundangan tercapai jua. Walaupun dia tidak dapat menyambung di luar negara,
namun dia tetap bersyukur. Dia memandang tepat ke arah Zarif untuk memastikan
kebenarannya sekali lagi. Zarif yang faham akan dengan reaksi Lea,
menganggukkan kepalanya. Bibirnya terukir senyuman.
“Alhamdulillah.” Hanya itu sahaja yang
terluah dari mulut Lea. Hatinya melonjak kegembiraan.
“Terima kasih wak!” Sambungnya lagi. Dia
tersenyum puas. Akhirnya, dia akan bergelar seorang mahasiswi perundangan.
“Lea dah bagitahu mama dengan abah?”
“Belum lagi. Lea ingat Lea nak lupakan saja
tentang kemasukan ke uni ni. Lea
takut awak tak bagi Lea nak sambung belajar lagi.”
“Takkanlah saya nak menghalang cita-cita Lea.
Lagipun abah ada bercerita dengan saya yang Lea minat perundangan. Saya ni
bukannya suami yang jahat sangat sampai nak menghalang Lea capai cita-cita Lea
sendiri.”
“Terima kasih wak. Terima kasih
sangat-sangat.” Lea tersenyum puas. Dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat memahami. Suami? Aku dapat menerima
dia sebagai suami?
“Dah, pergi siap-siap, kejap lagi kita pergi
rumah mama dan abah.” Zarif memberikan arahan.
“Dah, pergi siap-siap, kejap lagi kita pergi
rumah mama dan abah.” Zarif memberikan arahan.
“Habistu, awak dah siap lah macam tu? Awak
nak pergi rumah abah dengan pakai seluar pendek tu ke?” Lea memerli Zarif,
tetapi dia tidak tinggal lama di depan Zarif. Kakinya melangkah laju ke dalam
rumah. Dia takut Zarif akan membalas balik kata-katanya. Terbuntang mata Zarif
mendengar teguran isterinya. Dia tidak menyangka yang Lea Fatehah sudah pandai
melawak. Syukur Ya Allah kerana Kau telah lembutkan hati isteri aku.
Tengs for reading luvie ;)
No comments:
Post a Comment