Hari sudah
menginjak tengah hari. Lea membuka matanya perlahan-lahan. Cahaya matahari yang
masuk menerusi lubang-lubang atap nipah itu memeritkan matanya. Ikatan matanya
sudah dibuka, dia sendiri tidak sedar bila ikatan itu dibuka. Mungkin malam
semalam ketika dia tidak sedarkan diri akibat terlalu penat. Dia memandang
sekeliling, tiada siapa di situ. Hanya terdengar bunyi unggas dan cengkerik
sahaja. Lea gagahkan dirinya untuk membuka ikatan di mulut. Dia rimas!
Akhirnya, usaha dia berhasil apabila berjaya merungkaikan ikatan di mulut dan
yang tinggal hanyalah ikatan di tangan.
“Siapa ada kat
luar? Tolonglah jangan buat aku macam ni. Apa salah aku?” Lea meraung sekuat
hati dengan harapan ada orang mendengar suaranya.
Tiba-tiba pintu
usang pondok itu ditendang kasar oleh lelaki berkulit hitam yang menculiknya.
“Diamlah kau
perempuan ! Dari semalam kau bising, kau tak penat ke?” Marah lelaki berkulit
hitam itu. Lea tidak takut tengkingan lelaki itu.
“Kenapa kau buat
aku macam ni? Tolonglah lepaskan aku. Apa salah aku pada kau?” Rayu Lea lagi
dengan suara yang sedikit perlahan.
Lelaki kulit
gelap itu ketawa kuat sehingga memenuhi setiap ruang pondok itu. “Kau ingat aku
gila nak lepaskan manusia bernilai macam kau ni?” Jerkah lelaki itu.
“Apa kau nak
dari aku? Kau nak duit? Berapa kau nak? Aku boleh bagi kau. Tapi, tolonglah
lepaskan aku. Tolonglah!” Rayu Lea sekali lagi, namun lelaki kulit gelap tidak
mempedulikan rayuan Lia. Dia berjalan keluar dari pondok itu apabila menerima
satu panggilan telefon.
“Ya bos. Ya, dia
ada dengan aku. Ya. Dekat tempat yang aku cakap semalam.” Lelaki kulit gelap
itu bercakap menerusi telefon. Lea memasang telinga. Bos? Siapa bos?
“Ya, aku faham.
Bos jangan risaulah. Kerja aku memang tip
top.” Jawab lelaki kulit gelap itu lagi.
Setelah
menamatkan panggilan telefon, dia kembali ke dalam pondok dengan membawa
sebotol air mineral untuk Lea bersama sebiji roti.
“Nah, makan !”
Dia membaling air dan roti tersebut kepada Lea. Sesungguhnya ketika itu, Lea
berasa amat dahaga. Dia mengengsotkan badannya ke arah botol air mineral dan
diambil dengan tangan yang diikat.
“Kalau ye pun
kau nak suruh aku minum air, kau buanglah ikatan tangan aku ni.” Pinta Lea pada
lelaki kulit gelap itu.
Lelaki itu
menghampiri Lea dan mencapai botol air mineral dengan rakus dari tangan Lea.
Dia membuka penutup air mineral dan dituangnya air mineral dengan rakus dan
kasar ke dalam mulut Lea. Lea tersedak dan merasakan air mineral itu
seolah-olah memenuhi rongga hidungnya. Lea terbatuk dan lelaki kulit gelap itu
ketawa berdekah-dekah apabila melihat reaksi Lea yang menyapu mukanya dengan
bahu dengan rakus. Lea memandang lelaki tersebut dengan pandangan yang tajam. Hidung
Lea merasa pedih dan begitu juga dengan tekaknya.
-----
“Inspektor
Zamri, tolonglah percepatkan operasi mencari isteri saya. Saya risau sangat ni.
Dia tak kenal sesiapa pun dekat pulau ni. Tolonglah inspektor.” Zarif meminta
jasa baik pegawai polis yang bertanggungjawab mengendalikan kes penculikan
isterinya.
“Sabar encik
Zarif. Kami tengah menjalankan soal siasat ke atas beberapa orang saksi. Hasil
daripada siasatan itu nanti kami akan jadikan titik permulaan untuk mencari
isteri encik. Apa yang boleh saya katakan, berkemungkinan isteri encik diculik
dan dibawa ke Pulau Kecil.” Terang Inspektor Zamri.
“Pulau Kecil?”
Tanya Zarif inginkan kepastian.
“Ye encik Zarif,
Pulau Kecil yang berada betul-betul berhadapan dengan resort yang disewa oleh
encik dan isteri. Mengikut rekod yang kami simpan, Pulau Kecil itu pernah
menjadi tempat penyembunyian penjenayah dan aktiviti jenayah. Tapi, saya harap
encik Zarif tidak bertindak sendiri. Biar pihak kami yang selesaikan kes ini.”
Terang Inspektor Zamri lagi.
Selepas
mendengar penerangan daripada Inspektor Zamri, Zarif meminta diri untuk pulang
ke resort. Abang ipar, mak dan ayah mertuanya telah tiba di resort pada tengah
hari tadi.
“Macam mana
Zarif? Apa kata pegawai polis tentang kes ni?” Tanya Najmi kepada Zarif. Mak
dan ayah mertua Zarif juga menunggu jawapan daripadanya.
“Pihak polis
bagitahu berkemungkinan Lea di bawa ke Pulau Kecil, depan resort kita ni.
Mereka juga akan lakukan siasatan lanjut dan akan ke pulau itu petang nanti.”
Zarif menjawab. Terlihat sedikit kelegaan di wajah Puan Mazni dan Encik Mahfuz.
Mereka mengangguk-angguk tanda faham dengan penerangan yang diberikan oleh
menantu mereka dan membiarkan anak dan menantunya berborak di luar resort
mereka.
“Bang, Zarif
ingat Zarif nak pergi sendiri ke sana. Tunggu pihak polis ni macam lambat ja.
Zarif risau kalau jadi apa-apa dekat Lea. Hari pun dah hampir petang ni.” Zarif
memberitahu Najmi. Dia terlalu risau akan keselamatan Lea dan ingin bertindak
sendiri. Dari semalam dia tidak melelapkan mata. Dia terlalu risaukan Lea.
Tubuhnya yang letih dilawan demi Lea Fatehah.
“Okay, abang
ikut kau! Kita sewa bot, kita pergi ke sana sendiri.” Najmi menambah. Mereka
sama-sama berjalan beriringin ke tepi pantai dan meninjau-ninjau ke tempat sewa
perkhidmatan bot. Setelah berurusan dengan tuan bot, tuan bot berkenaan sanggup
untuk membawa mereka ke pulau itu. Kedua-dua mereka memaparkan riak muka
berpuas hati.
----
“Abang, tolonglah lepaskan saya. Tak
ada gunanya abang culik saya. Saya tak bernilai pun. Mak ayah saya bukannya
orang senang. Tolonglah bang.” Lea merayu lagi kepada lelaki berkulit gelap di
depannya.
“Kau kata tak bernilai? Tapi bagi aku
kau sangat bernilai. Kau sumber untuk aku dapatkan duit. Sudah, baik kau diam,
jangan nak banyak cakap sangat! Malam nanti, bos aku datang jumpa kau. Kau
berurusan sendirilah dengan bos aku! Aku tak nak masuk campur.” Lelaki kulit
gelap itu berkata lagi.
“Bos kau? Siapa bos kau? Apa yang bos
kau nak dari aku?” Tanya Lea Fatehah laju.
“Aku tak masuk campur dalam urusan bos
aku dengan kau. Yang aku tahu, aku buat kerja seperti yang disuruh.” Lea
terdiam mendengar jawapan lelaki kulit gelap itu. Ini bermakna, perculikannya
itu dirancang oleh seseorang. Tetapi siapa?
Lelaki kulit gelap itu bangun
meninggalkan Lea dan berlalu keluar dari pondok. Dia membiarkan mulut dan mata
Lea tanpa berikat. Hanya tangan Lea sahaja yang diikat.
Lea terpandangkan satu objek bersinar
tidak jauh dari tempat duduknya. Dia mengengsot menghampiri objek bersinar itu
dan menghulurkan kakinya untuk mendapatkan objek itu. Lama Lea mencuba, barulah
kakinya dapat menyepit objek bersinar itu. Serpihan kaca rupanya. Lea menguis
kaca itu dengan kakinya ke bahagian belakang. Tangannya yang diikat dengan
ketat cuba mencapai kaca itu. Dia perlukan kaca itu untuk mengerat talinya yang
diikat di tangannya.
Lea memulakan operasinya, walaupun
payah dan susah, namun diusahakan juga sehabis mungkin. Kadang-kadang, fokus
tangannya terganggu apabila mendengar suara lelaki kulit gelap itu bercakap
telefon. Kaca yang digunakan untuk mengerat talinya itu tersasar dari target
dan terkena pada lengannya. Terdapat goresan dan luka kecil di lengannya. Lea
hanya menahan rasa pedih dan ngilu. Dia hanya fikirkan mahu keluar dari pondok
itu. Sakit di lengan tidak dihiraukan.
“Eh, perempuan, kau jangan nak buat
apa-apa yang pelik!” Tiba-tiba Lea terdengar sergahan lelaki berkulit gelap
dari pintu masuk ke pondok itu. Alamak ! Dia nampak ke apa yang aku tengah buat
sekarang ni? Lea berkata di dalam hati. Dia mengetap kuat bibirnya. Cuba
menahan getar.
“Kalau kau bertindak macam-macam, aku
takkan teragak-agak nak tusuk kau dengan pisau ni!”Lelaki itu kembali mengugut
Lea. Kecut perut Lea Fatehah mendengarnya. Dia memberhentikan gerak tangannya
yang cuba membuka ikatan itu. Lea menunduk ke lantai, cuba mencari kekuatan.
Dia takut diapa-apakan oleh lelaki itu.
------
“Abang, kat situlah Pulau Kecil. Saya
tunggu abang dekat sini.”Ujar pemandu bot kepada Zarif dan Najmi. Kedua-dua
mereka mengangguk faham dan apabila bot tiba di tepi pantai, mereka sudah
melompat keluar daripada bot.
“Apa yang abang tengok, pulau ni tak
besar pun. Tapi memang penuh dengan pokok dan hutan. Orang pun tak ada kat
sini. Betul ke Rif, Lea di bawa ke sini?” Najmi bertanya kepada Zarif inginkan
kepastian.
“Menurut pegawai polis, mungkin di
sinilah tempatnya. Takpe bang, kita tinjau dulu tempat ni. Kita masuk ke dalam
sikit, mudah-mudahan tempat yang kita tuju ini adalah betul.” Zarif memberikan
idea. Mereka berdua sudah mula melangkah ke dalam hutan kecil di hadapannya. Perjalanan
mereka ke dalam hutan kecil itu terganggu dengan akar-akar pokok besar yang
berselirat di tanah. Mata Zarif melilau melihat keadaan sekeliling. Begitu juga
dengan Najmi.
“Bang, kat sana tu macam pondok.” Zarif
menarik Najmi ke belakang sedikit. Berlindung di sebalik sebatang pokok besar.
Najmi memberhentikan langkahnya dan turut bersembunyi di sebalik pokok besar
itu. Kedua-kedua pasang mata mereka terarah kepada sebuah pondok usang.
“Haaa, betullah. Kat situ ada pondok.
Kita pergi ke pondok tu, tapi jangan terlalu exposed kan diri. Hati-hati.” Pesan Najmi kepada Zarif. Mereka
melangkah dengan berhati-hati menghampiri pondok usang di hadapan mereka.
“Tak guna perempuan! Kau cuba nak
lepaskan diri ya! Nah, ambik kau!” Lelaki berkulit gelap itu menyepak kuat
perut Lea.
“Aduhhhh, saaaakit!” Lea meraung
kesakitan.
Zarif dan Najmi yang menghampiri pondok
itu dapat mendengar suara seorang perempuan yang meraung. Masing-masing
memberhentikan langkah. Mereka mengamati suara itu betul-betul. “Suara
Lea,bang!” Zarif berkata laju dan Najmi mengangguk. Mereka meneruskan
perjalanan ke hadapan dengan keadaan berhati-hati untuk mendengar dengan lebih
jelas.
“Kan aku dah kata, jangan kau cuba-cuba
nak lepaskan diri! Hah, inilah habuannya.”Lelaki itu berkata sambil menyepak
sekali lagi perut Lea. Lea mengerang kesakitan. Dirasakan amat ngilu di
perutnya. “Ya Allah!” Lea meraung sekali lagi.
Zarif kaget ! Suara Lea semakin jelas
kedengaran. Mereka sudah berada di belakang pondok itu. Najmi mengintai ke
dalam pondok melalui lubang dinding. Dia memberikan isyarat mata kepada Zarif
dan mengatakan bahawa ada seorang sahaja lelaki dalam pondok itu.
Mereka bergerak ke sebelah kanan pondok
dan memandang ke sekeliling andai ada lagi individu lain. Setelah dipastikan,
tiada siapa pun di situ kecuali seorang lelaki yang berada di dalam pondok.
“Zarif, kau masuk ke dalam, tetapi
sebelum tu biar abang umpan lelaki tu keluar dari pondok. Abang umpan dia, dan
kau masuk ke dalam pondok tu selamatkan Lea. Lelaki tu biar abang yang
uruskan.” Najmi memberikan arahan. Zarif mengangguk faham.
Najmi terpandangkan satu kayu besar di
hadapannya. Dia mencapai kayu tersebut dan dibaling ke hadapan pondok dengan
niat untuk menarik perhatian lelaki di dalam pondok. Harapan mereka agar lelaki
itu keluar dari pondok. Dan sangkaan mereka tepat apabila lelaki itu melangkah
keluar dari pondok setelah mendengar jatuhan kayu itu.
Najmi pantas bertindak dengan melibas
sebatang kayu panjang dan mengena pada kaki lelaki kulit gelap itu. Hasil libasan
itu menyebabkan lelaki berkulit gelap terbaring di tanah. Zarif pula
cepat-cepat masuk ke dalam pondok.
“Lea, Lea..” Cepat-cepat Zarif
mendapatkan Lea yang tidak bermaya dipenjuru pondok. Dia melihat ada
titik-titik darah yang keluar daripada mulut dan hidung Lea.
Mendengarkan suara orang memanggil
namanya, Lea cuba membuka mata dan menahan sakit di setiap anggota badannya.
“Abang….” Lea menyambut perlahan
setelah betul-betul pasti suara itu adalah suara Zarif Haikal. Zarif segera
mendapatkan Lea ke dalam pelukannya. Tubuh kecil Lea dipeluk kuat. Namun, Lea
mengerang kesakitan dengan pelukan kuat dari Zarif. Luka-luka dibadannya akibat
ditampar dan disepak oleh lelaki kulit hitam itu semakin terasa sakitnya.
“Maafkan abang. Maafkan abang sayang.”
Zarif mendapatkan muka Lea dan memegang kedua-dua belah pipi Lea. Air mata Lea
tiba-tiba mengalir laju. Beberapa minit lepas, dia hanya melihat pengakhiran
hidupnya apabila dipukul dan disepak terajang oleh lelaki kulit hitam itu. Air
mata Lea yang mengalir laju disapu lembut oleh Zarif. Zarif kembali mendapatkan
Lea ke dalam pelukannya. Rambut Lea yang kusut masai itu diurut perlahan.
Ikatan di tangan Lea juga dilepaskan.
Di luar pondok, Najmi sedang bergomol
dengan lelaki kulit hitam itu. Namun, Najmi menggunakan sepenuhnya kepakaran
dia dalam taekwando dan berjaya menjatuhkan lelaki kulit gelap itu ke tanah.
Najmi cepat-cepat mencapai tangan lelaki itu dan dikilas ke belakang. Dia
menekan muka lelaki itu ke tanah tanda mengunci pergerakan lelaki itu. Lelaki
kulit hitam itu mengerang kesakitan.
“Ambik kau! Jahanam punya manusia.
Banyak lagi kerja bagus dekat dunia ni, tapi jalan ini yang kau pilih!” Kata
Najmi geram.
Pisau yang berada berdekatan dengan
mereka disepak laju oleh Najmi. Dia risau andai dia tersalah langkah, lelaki
tersebut akan mencapai pisau tajam itu.
No comments:
Post a Comment