Friday, 28 March 2014

[BAB 14]- DIA ISTERIKU

Zarif membawa Lea ke tempat barbeque. Perut mereka yang sama-sama menyanyi lagu keroncong itu harus diisi.

“Kita duduk situ ye Lea?” Tanya Zarif sambil menunjukkan ke arah sebuah meja di penjuru kedai itu. Lea mengangguk dan mengikut jejak Zarif dari belakang.

Sedang Lea berjalan, tiba-tiba bahunya dilanggar oleh seseorang dan menyebabkan badannya terdorong ke belakang dan hampir terjatuh. Nasib baik dia sempat berpaut pada lengan Zarif. Zarif yang sedar dengan situasi itu cepat-cepat menguatkan pegangan tangannya untuk mengimbangi badan Lea.
“Maaf.” Ucap lelaki yang melanggar bahu Lea. Anak mata lelaki itu galak merenung Lea dari atas dan bawah dan ia menimbulkan perasaan kurang enak pada pandangan Zarif.

It’s okay bro!” Jawab Zarif dan cepat-cepat dia menarik tangan Lea untuk ke meja di penjuru kedai.

“Lea tunggu kat sini kejap. Abang pergi tengok makanan laut apa yang ada kat sana.”

“Okay bang.” Lea menjawab.
Zarif melangkah ke kaunter depan kedai untuk melihat variasi makanan laut yang ada. Dia dan Lea sama-sama teringin untuk makan makanan laut yang segar. Jadi tidak silap pilihan mereka untuk makan di kedai itu. Memang terdapat pelbagai jenis makanan laut yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan.

“Maaf cik, kat sini ada orang duduk ke?” Tanya seorang lelaki kepada Lea. Lea yang asyik melihat koleksi gambar yang ditangkap di pantai petang tadi bersama Zarif segera memandang ke arah suara yang bertanya.

Lea cam lelaki itu. Lelaki yang melanggar bahunya tadi.

“Maaf encik. Ini meja saya dan suami saya. Dia pergi ke kaunter untuk ambil makanan.” Jawab Lea dengan jujur sambil melemparkan senyuman kepada lelaki tersebut sebagai tanda hormat.

“Oh, kalau macam tu, maafkan saya.” Jawab lelaki itu lalu beralih ke meja sebelah. Zarif dari jauh melihat Lea bercakap dengan lelaki yang melanggar bahu Lea tadi. Timbul satu perasaan kurang enak dalam diri Zarif. Dari jauh dia memantau gerak geri lelaki itu. Pandangan mata lelaki itu masih pada Lea, namun Lea terus melayan koleksi gambar di dalam telefon bimbitnya.

“Lea, jom kita tukar meja. Kita duduk sebelah sana. Dekat sikit dengan makanan.” Ajak Zarif apabila menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki tersebut. Lea hanya menurut tanpa membantah dan mengesyaki sesuatu yang tidak baik.

“Lelaki tu tanya apa dengan Lea tadi?” Tanya Zarif sambil meletakkan isi udang yang telah dikopek ke dalam pinggan Lea.

“Dia tanya meja kosong. Lea cakaplah dah ada orang. Kenapa bang?” Tanya Lea kehairanan.

“Tak ada apa-apalah. Saja abang tanya. Macam pelik je abang tengok lelaki tu.”
“Apa yang peliknya bang? Macam biasa ja, manusia normal. Macam kita.” Seloroh Lea.
“Nakallah isteri abang ni.” Hidung Lea dicuit Zarif.

Dari kejauhan, ada yang memerhati gerak geri pasangan bahagia itu.
“Abang, lepas makan kejap lagi, jom kita jalan-jalan dekat tepi pantai. Nak?” Tanya Lea sambil mengunyah nasi goreng.

Anything for you! Tapi sebelum tu, habiskan makanan ni dulu. Kalau tak,membazir saja.”

-----
“Lea, abang nak ke bilik air kejap. Lea tunggu kat sini ye. Jangan pergi mana-mana.” Pesan Zarif kepada Lea. Dia bergegas ke bilik air di hujung deretan kedai itu. Lea yang ditinggalkan bersendirian oleh Zarif melilau seketika ke dalam kedai yang menjual beraneka jenis cenderamata. Dia teringatkan Imani, dan keluarga di Kuala Lumpur. Dia mencapai beberapa barang yang menarik di matanya dan membayar di kaunter.

Dari jauh, ada mata yang memerhati akan Lea. Namun, Lea tidak sedar dan tidak tahu niat disebalik pandangan dan pengawasan mata itu.

Lea terus berjalan dan berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Langkah kakinya makin lama makin menjauh dari tempat yang dijanjikan oleh Zarif. Dia ralit dan leka dengan kecantikan ukiran cenderamata yang dipamerkan di setiap kedai.

Orang ramai yang lalu lalang tidak langsung memberi kesan kepada Lea. Dia terus leka dengan dunianya. Menjelajah daripada satu kedai ke satu kedai. Pesanan suaminya seakan-akan dilupakan.

“Ikut aku kalau kau tak nak aku apa-apakan kau!” Tiba-tiba Lea merasa tangannya direntap dan merasa seperti objek tajam di pinggangnya. Pisau, mungkin. Ya Allah, apa pulak ni? Takkan rompakan di tempat orang ramai macam ni?

“Jalan! Jangan kau berani nak buat apa-apa. Kalau kau menjerit, pisau ini akan aku tusuk ke pinggang kau!” Amaran keras dikeluarkan oleh lelaki yang memegang kuat lengan Lea. Lea takut, Lea gugup. Zarif, mana awak ? Tolong saya ! Raung Lea dalam hati.

Dia takut, dan hanya menurut sahaja langkah lelaki yang mengheret dan memaksanya berjalan itu. Lea takut untuk melawan. Dia takut dia akan dicederakan. Plastik cenderamta di tangannya terlepas dan jatuh ke tanah.  
Zarif yang keluar daripada bilik air melilau mencari Lea. Keadaan sesak dengan kedatangan pengunjung ke deretan kedai yang menjual cenderamata itu menyukarkan pencarian Zarif.

“Adik, ada nampak seorang perempuan yang bertubuh kecil, pakai baju warna merah dan skirt hitam dan pakai tudung warna hitam.” Zarif bertanya pada seorang jurujual di situ.

“Oh, kakak yang kecil molek tu ke? Ada bang, tadi saya nampak dia berjalan-jalan kat sini, lepastu ada seorang lelaki yang berjalan sama dengan dia. Saya ingat abang. Kenapa ya bang?”

Mendengar jawapan daripada jurujual itu membuatkan Zarif tidak senang duduk. “Oh, terima kasih ya dik!” Dia segera memanjangkan langkahnya mencari Lea. Siapa lelaki yang dimaksudkan oleh jurujual tadi?

Lea sudah jauh terpisah daripada orang ramai. Dia diheret dan dipaksa oleh lelaki itu untuk berjalan menuju ke sebuah bot. Lea sempat memalingkan mukanya ke arah lelaki yang mengheretnya. Dia kenal lelaki itu. Lelaki yang melanggar bahunya. Ya Allah, apa semua ni?

“Kau nak bawa aku ke mana ni?” Lea meronta untuk lepas daripada pegangan lelaki berkulit gelap itu.

“Diam! Aku kata diam ! Kalau kau sayang nyawa kau, baik kau diam!” Lelaki berkulit gelap itu terus menarik dan memaksa Lea naik ke atas sebuah bot. Di dalam bot itu, ada seorang lelaki yang sudah bersedia dengan enjin bot sudah dihidupkan. Apa semua ni ya Allah? Adakah aku diculik? Kenapa aku? Aku bukan anak orang kaya. Siapa mereka ni??

“Abang !!!! Tolong Lea !!!” Lea meraung sekuat mungkin. Dia takut. Lelaki yang berkulit hitam itu terkejut dengan raungan Lea Fatehah, lalu disumbat mulut Lea dengan sehelai tuala. Lea Fatehah meronta-ronta, namun kudratnya tidak mampu untuk melawan kudrat lelaki tersebut.

Enjin bot yang sedia dihidupkan segera dihalakan merentasi laut, dan Lea ditutup mata dan dimulut. Dia menangis kerana takut memikirkan tentang nasibnya. Kenapa dia yang diculik? Kenapa? Dia juga bingung, apa motif lelaki berkulit gelap itu menculiknya?

Zarif berlari ke pantai dengan harapan akan berjumpa dengan Lea di sana. Zarif mendengar laungan orang meminta tolong, tetapi hanya sekali dan selepas itu dia mendengar deruan enjin bot sahaja.

Zarif berlari ke sana dan ke sini bagaikan orang gila. Puas dia bertanya dengan setiap orang, namun tiada siapa pun yang tahu Lea di mana.
“Lea !!!! Sayang !!! Jangan buat abang takut. Please.” Zarif terduduk di tepi pantai. Tiba-tiba air matanya menitik tanpa dipinta, tanpa dipaksa. Nalurinya merasakan Lea dalam bahaya.

“Bang, kenapa ni bang?” Ada seorang lelaki muda menepuk bahu Zarif.
“Adik, adik ada nampak isteri abang tak? Tinggi dia paras bahu abang ni je, pakai baju warna merah dan berskrit hitam.” Terang Zarif.

“Ada bang. Ada! Tadi saya nampak dia lalu kat sini. Dengan seorang lelaki berkulit gelap. Muka lelaki tu macam ada parut dekat pipi sebelah kiri. Saya tengok dia bawa perempuan tu naik bot. Kat sanalah bang. Ye kat sana.” Jawab lelaki muda itu sambil menuding jari ke arah laut.

“Terima kasih dik. Terima kasih.” Zarif bergegas ke tempat yang ditunjukkan oleh lelaki muda tersebut. Dalam kepalanya berkira-kira, lelaki berkulit gelap, ada parut dekat pipi sebelah kiri. Ya, lelaki tu. Aku ingat. Lelaki yang langgar Lea masa makan malam tadi.

Ya Allah, kau selamatkan isteri aku ya Allah! Zarif meraung kuat di tepi pantai apabila puas mencari bot yang dimaksudkan. Dia yakin yang isterinya telah diculik. Apa tindakan yang harus dilakukan ketika tu?
Ya, aku perlu buat laporan polis. Zarif segera memanjangkan langkah ke kereta sewanya untuk ke balai polis berdekatan. Dia perlu buat laporan polis secepat mungkin.
                                  
----
“Hoi, tolonglah lepaskan aku ! Apa salah aku pada kau?” Lea meraung dengan tuala di dalam mulutnya. Dia sudah letih dan tidak bermaya. Badannya dirasakan semakin longlai. Dia dikurung di dalam sebuah pondok yang gelap dengan tangan terikat, mata dan mulut ditutup. Tudungnya entah ke mana. Ini semua gara-gara lelaki jahanam itu.

Ya Allah, ampunkan aku ya Allah. Aku tak berdaya untuk melindungi aurat aku ya Allah. Kau kuatkanlah aku Ya Allah. Lea berdoa di dalam hati. Air matanya mengalir laju apabila membayangkan perkara buruk yang akan berlaku ke atas dirinya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia dibawa ke pulau itu dan dikurung di dalam pondok itu. Tiada siapa di situ. Dia takut.

“Abang. Tolong Lea bang. Tolong !!! Lea takut.”  Lea meraung memanggil Zarif sekuat hati, namun sayang, tiada siapa yang dengar. Akhirnya dia longlai dan badannya jatuh ke lantai buluh pondok itu. Dia kehabisan tenaga. Tenaga dibazirkan dengan melawan lelaki berkulit gelap itu, namun tidak membawa apa-apa erti. Kudratnya tidak mampu untuk melawan lelaki berkulit gelap itu.

----
Setelah membuat laporan polis, Zarif pulang ke resort semula dengan harapan Lea akan balik ke resort. Namun, hampa. Puas dia menunggu, bayang Lea tidak kelihatan. Hatinya semakin dipagut kerisauan. Berita kehilangan Lea sudah dimaklumkan kepada kedua-dua orang tua mereka. Masing-masing risau dengan keselamatan Lea.

“Hello abang. Zarif tak tahu lah bang nak buat apa. Pihak polis suruh tunggu dulu. Kalau Lea tak balik juga hingga pagi esok, barulah gerakan mencari akan dilakukan.” Zarif menerangkan kepada Najmi Imran, iaitu abang iparnya.
“Esok pagi kami bertolak ke sana dengan abah dan mama. Nanti apa-apa hal kau inform abang ya.” Kata Najmi.


“Ya Allah, kau selamatkan isteri aku, tolong aku ya Allah. Aku sayang dia. Kau lindungi dia Ya Allah. Tolong aku Allah!” Tidak putus-putus Zarif berdoa. Akhirnya Zarif terduduk di lantai resort. Dia risaukan keadaan Lea. Andai Lea diculik, apa motif lelaki itu menculik Lea? Dan kenapa dia menculik Lea?

No comments: