Pertemuan
demi pertemuan berlaku antara Lea Fatehah dan Alia Najihah. Semakin hari mereka
menjadi semakin rapat, umpama kawan baik. Alia Najihah sudah mengetahui siapa
sebenarnya Lea Fatehah, namun sebaliknya bagi Lea Fatehah. Dia menerima
kehadiran Alia Najihah sebagai seorang kakak dan kawan dengan hati yang
terbuka.
Apakah
niat di sebalik pertemuan demi pertemuan antara mereka? Baikkah niat Alia Najihah?
Adakah kedatangannya untuk merebut kasih dari Zarif Haikal kembali?
“Awak
ni asyik keluar saja sekarang ni. Awak keluar dengan siapa? Izzaq?” Zarif
bertanya setelah Lea Fatehah melabuhkan duduknya berhadapan Zarif di kerusi
pada ruang tamu. Zarif yang pulang awal setelah habis meeting dengan Datuk Mustapa kehairanan apabila mendapati Lea
Fatehah tiada di rumah. Nasib baik dia mendapat mesej daripada Lea yang
menyatakan dia keluar ke shopping mall
bersama kawannya.
“Ish,
apa awak mengarut ni? Izzaq? Saya takkan keluar dengan dia. Saya ingat status
saya ni.” Lea Fatehah menjawab setelah membetulkan duduknya. Hatinya sedikit
terkesan dengan telahan yang dibuat oleh Zarif.
“Habistu,
awak keluar dengan siapa? Awak ni bukannya ada ramai kawan kat sini. Imani
sekarang ke Kuantan, dan saya percaya awak bukan keluar dengan dia kan?”
“Awak
dapat tak mesej saya pagi tadi. Saya cakap saya keluar dengan kawan kan? Kalau
saya keluar dengan Imani, memang saya akan bagitahu yang saya keluar dengan
Imani. Kenapa dengan awak kebelakangan ni? Asyik bertanya yang pelik-pelik
sahaja.” Lea Fatehah memandang ke arah Zarif lalu tangannya menanggalkan
selendang yang dililit di kepalanya.
“Takkan
saya nak bertanya sikit pun tak boleh? Awak kan isteri saya.”Zarif Haikal
membalas. Dia tidak dapat menafikan bahawa hatinya dipagut risau dan bimbang
andai isterinya itu sudah mula keluar dengan rakan-rakan kampus lelaki.
“Boleh.
Saya tak cakap salah pun. Hmmm, saya keluar dengan kak Alia. Salah ke?”
“Alia
mana pulak ni? Awak tak pernah bercerita dengan saya pun.” Zarif bertanya
pelik. Kenapa hatinya gelisah tika Lea menyebut nama Alia.
“Kak
Alia yang satu uni dengan awak dulu.
Saya pernah jumpa dengan dia masa majlis kahwin kak Hani. Kak Alia tu baik
sangat. Takkanlah awak tak kenal dia. Dia cakap dia kenal awak.” Lea bercerita
dan hati Zarif dipukul gelombang kuat. Tepat sekali tekaannya. Alia yang dimaksudkan
oleh Lea itu ialah Alia Najihah. Untuk apa Alia berkawan dengan isterinya?
Segera dia teringatkan cerita yang disampaikan oleh Badri beberapa hari lepas.
Jangan-jangan …
“Awal
pula awak balik hari ni? Biasanya sampai malam kan? Walaupun hujung minggu.”
“Datuk
tu ada hal lain. Dia pendekkan meeting.”
Zarif menjawab dan kepalanya masih lagi ligat memikirkan perihal Alia Najihah.
Kenapa dia perlu hadir dalam kehidupan mereka?
“Awak
nak air tak? Kalau nak, boleh saya tolong buatkan untuk awak.” Lea bertanya
sambil mengangkat punggungnya dari kerusi dan segera menghayunkan langkahnya ke
dapur. Zarif hanya memandang dengan ekor matanya. Soalan Lea dibiarkan begitu
sahaja.
“Lea,
kawan baru awak tu ada bercerita apa-apa tak tentang saya?” Zarif masih lagi
tidak berpuas hati. Lea Fatehah yang sedang menuang jus oren ke dalam gelas
terkejut disergah sebegitu oleh Zarif. Hampir tertumpah jus di tangannya.
“Kawan
baru saya? Maksud awak kak Alia?” Lea bertanya inginkan kepastian. Dia menarik
kerusi di depannya lalu melabuhkan duduk. Zarif juga melakukan perkara yang
sama. Mereka duduk bersebelahan. Lea meneguk sedikit jus dari dalam gelas untuk
menghilangkan haus.
“Yelah,
kak Alia awak tu lah. Siapa lagi?”
“Hmm,
dia tak ada bercerita apa-apa pun, kecuali …”
“Kecuali,
apa?” Cepat sahaja Zarif mencantas. Dia benar-benar ingin tahu. Dia penasaran.
“Kecuali
tentang pengalaman belajar awak dengan dia, dan beberapa orang kawan awak yang
lain, termasuk kak Hani. Lagi satu, kak Alia ada juga beritahu saya yang awak
ni dulu ramai peminat. Asyik kena kejar dengan perempuan saja walau ke mana
awak pergi. Betul ke? Saya rasa macam kak Alia tu sengaja mereka-reka cerita.”
Zarif
Haikal tergelak kecil mendengar pertanyaan Lea Fatehah. Lea kini sudah banyak
berubah. Sudah pandai memerli, menegur dan mengenakan dia. Kehidupan rumah
tangga mereka sudah mula meriah, walaupun hubungan itu tidak seperti hubungan
suami isteri yang lain.
Jus
di tangan Lea dicapai dan diteguk oleh Zarif. Lea mencerlung ke arahnya namun
dia tidak mempedulikan pandangan Lea Fatehah itu.
“Awak
ambillah gelas lain. Ini gelas saya.” Lea cuba merebut gelas dari mulut Zarif,
namun sempat Zarif melarikan mukanya dan meneguk jus yang berbaki hingga ke
titisan terakhir.
“Opps, sorry.” Zarif mengangkat kening sebelah kanannya dan memberikan
gelas kosong pada Lea. Hidung kecil Lea ditarik lembut sebelum dia melangkah ke
ruang tamu. Hatinya lega mendengar cerita Lea Fatehah tentang Alia Najihah.
Nasib masih menyebelahi mereka kerana Alia tidak bercerita tentang cerita cinta
mereka dahulu pada Lea Fatehah.
“Lea,
petang nanti awak ikut saya keluar jogging.
Jangan duduk terperap di rumah saja. Kesihatan kena jaga juga, dan bagus untuk
minda awak tu.” Zarif melaung dari depan. Lea yang sedang mencuci gelas hanya
membiarkan sahaja laungan Zarif itu. Dia mendengar tetapi malas untuk
memberikan reaksi. Dia amat malas untuk keluar jogging, cukuplah dengan mengeluarkan peluh dengan melakukan
kerja-kerja rumah dan berkebun di taman kecil itu. Namun, Zarif tetap juga
memaksa Lea keluar jogging
sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
No comments:
Post a Comment