Thursday, 20 June 2013

[BAB 2] DIA ISTERIKU


ASSALAMUALAIKUM.. 

BAB 2-DIA ISTERIKU 

-------

“Lea, bangun Lea. Subuh dah ni.” Lea terdengar satu suara di sisinya. Abah barangkali yang mengejutkan aku.

“Lea ngantuk lah bah. Kejap lagi Lea bangun.” Lea Fatehah menjawab perlahan dalam mamai. Selimutnya yang terlondeh di tarik ke paras dada. Zarif yang di sebelahnya ketawa kecil. Mimpi agaknya Lea ni. 

“Lea… bangun. Subuh dah nak habis ni.” Zarif mengejutkan Lea sekali lagi. Dia melihat wajah mulus Lea Fatehah yang terlindung di sebalik rambut panjangnya yang menutupi muka. Cantik! Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut Zarif. Zarif tersenyum sendiri. Kenapa aku memuji dia? Bagaimana dengan Al..? Kenapa aku perlu teringatkan pada saat ini? 


Melihat Lea yang masih lagi bermalasan, Zarif berlalu ke bilik air. Kemudian, Lea membuka mata lambat-lambat apabila dirasakan bahawa ada air yang menitik ke atas mukanya. Makin lama makin banyak air yang menitik di mukanya. Hujankah? Cepat-cepat dia membuka matanya luas. Dia melihat Zarif di sebelahnya dengan cawan kecil di tangan. 

“Apa yang awak buat ni?” Lea bertanya laju setelah pasti bahawa air yang menitik di atas mukanya tadi adalah perbuatan Zarif. Zarif yang terkejut dengan sergahan Lea terus memberhentikan niatnya untuk memercikkan air ke muka Lea lagi. Lea bingkas bangun dan bersila di atas katil. Rambutnya yang kusut masai dibetulkan dengan jari jemari. 


“Dah awak susah sangat nak bangun solat. Itu sajalah jalan yang saya ada.” Zarif menjawab sambil berlalu turun dari katil dan melangkah ke bilik air untuk menyimpan cawan semula.

Lea merengus kuat. Dia tidak berpuas hati dengan perlakuan Zarif. Mama dan abah tak pernah pun buat macam tu dekat aku? Lea mengomel sendiri di dalam hatinya. Dia menenyeh-nenyeh matanya yang terasa mengantuk. Dia sendiri  kurang pasti, bila dia tertidur semalam. Lambat-lambat dia merangkak turun dari katil. Dia halakan langkah kakinya ke bilik air untuk membersihkan diri. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi. Ya, dia memang sudah terlewat untuk menunaikan solat subuh. 


Sewaktu kaki Lea ingin melangkah masuk ke dalam bilik air, dia bertembung dengan Zarif di pintu bilik air. Malah hampir sahaja dia berlanggar dengan lelaki itu. Namun, dia sempat berpegang pada dinding untuk mengelakkan dirinya berlanggar dengan Zarif. 

“Sedar tak lagi tu?” Zarif meraup wajah Lea dengan tangannya yang basah. Lea mendengus kasar. Apa hal dengan lelaki ni? Dah buang tabiat ke? Zarif tergelak besar dengan reaksi Lea Fatehah. Namun, dia bersyukur, sekurang-kurangnya Lea masih lagi ingin memberikan respond dengan perbuatannya dan dia paling bersyukur apabila sedar awal pagi tadi, dia dapati di bawah kepalanya ada sebiji bantal dan dirinya berselimut kemas. Dia tahu Lea yang selimutkan dan berikan bantal padanya. 

Selesai sahaja Lea menunaikan solat subuh dua rakaat. Dia memandang sekeliling biliknya dan mendapati bahawa Zarif tidak ada di situ. Ke mana dia pergi? Ah, lantaklah. Dia bukannya budak kecil. Pandai-pandailah dia bawa diri sendiri. 


Lea mengemas katilnya dan juga tempat tidur Zarif. Sofa itulah yang menjadi tempat tidur Zarif. Biarlah, aku sendiri belum bersedia untuk tidur sekatil dengannya. Selesai sahaja melipat dan mengemaskan tempat tidur Zarif, Lea meletakkan selimut dan bantal kemas di atas sofa. Dia berkira-kira untuk turun ke bawah untuk membantu mama sediakan sarapan. Namun, belum sempat kakinya melangkah keluar dari bilik, matanya terpandangkan telefon bimbit Zarif di hujung sofa. Lea berhentikan langkahnya. Tangannya laju sahaja mengambil telefon bimbit Zarif. Dia ingin mencari jawapan kepada soalan pertamanya. Belum berpunyakah lelaki ini? Belum beristerikah lelaki ini? Kalau dah beristeri, berapa anaknya? Dan kalau dia dah beristeri, maknanya aku merampas suami orang lain? Oh, tidak!


Lea nekad. Telefon bimbit Zarif sudah berada di tangannya. Laju sahaja dia menyentuh skrin sesentuh telefon Zarif. Pap! Terpampang wallpaper di telefonnya yang menunjukkan gambar Zarif memeluk bahu seorang perempuan yang cantik dan manis bertudung. Siapa perempuan ni? Isteri diakah? Ma shaa Allah, aku sudah merampas hak orang lain. Apa yang aku dah buat ni? Dada Lea berombak kencang. 



“Eheemmm!” Terdengar suara orang berdeham di sebelahnya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya dan melihat Zarif di sebelahnya dengan kening yang sedikit terangkat. Telefon bimbit Zarif yang berada dalam tangannya tadi terlucut dan terhempas ke lantai. Lea kaget! Bila dia masuk bilik? Tadi takde kat sini pun. 



Lea cepat menunduk untuk mencapai telefon bimbit Zarif, namun tangan Zarif mendahuluinya. Telefon tersebut sudah berada dalam tangan Zarif. Lea mengetap bibir. Apa aku nak jawab ni?
“Hmm, maaf ! Telefon ni saya jumpa dekat bawah sofa. Terjatuh agaknya.” Lea memberitahu laju. Dadanya dipukul debaran yang maha hebat.

“Saya tak tanya apa-apa pun.” Zarif menjawab spontan. Dia memandang Lea dengan kening yang terangkat. Alamak ! Apa yang mulut aku cakap ni ? Lea menampar laju mulutnya. Zarif di sebelah ketawa kuat. 



“Itu la, lain kali jangan sesuka hati nak buat spot check ya?” Terdengar lagi tawa Zarif. Lea yang tidak tahan dan malu itu segera mengorak langkah ke arah pintu. Dia sudah tidak betah berada dalam bilik itu. Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana perbuatannya itu. Berkali-kali dia menyumpah dirinya sendiri.  Zarif masih lagi galak ketawa. Lea membiarkan sahaja. Dia tidak berani untuk berada lama-lama di dalam bilik, malu untuk mengadap Zarif disebabkan insiden yang tidak disengajakan itu.

  

“Haaa… turun pun kamu Lea. Ingatkan tak mahu turun dah. Maklumlah, kan dah ada suami sekarang ni.” Puan Mazni menyergah Lea yang terhendap-hendap di dapur.

“Apa yang mama cakap ni? Lea berkemas sikit dalam bilik tadi.” Lea malas hendak melayan Puan Mazni. Dia merasakan seolah-olah semua gerak-gerinya pada pagi itu tidak kena. 

“Suami kamu mana? Ajaklah dia turun sekali. Sarapan sama-sama.” Puan Mazni bertanya. Lea mendengar pertanyaan ibunya, tetapi dia pura-pura tidak mendengar dan tidak mahu melayan. Dia mengambil sesudu nasi goreng dan menyuapkan ke mulutnya. Sedap! Mama memang pakar nasi goreng!


Puan Mazni memerhati perbuatan Lea Fatehah. “Budak ni, orang tanya dia, dia buat tak tahu pulak. Kamu dengar tak Lea mama tanya apa ni?”

“Dengarlah ma, pendengaran Lea ni masih lagi okay. Kejap lagi dia turun lah tu.” Lea menjawab pertanyaan mamanya berbasi-basi. Dia menarik kerusi di meja makan dan melabuhkan duduknya. Di ambil jus oren dan dituangkan ke dalam gelas. Dia menghirup dengan penuh nikmat.

“Tak baik Lea kamu cakap macam tu. Dia kan dah jadi suami kamu. Dah, pergi naik ke bilik dan panggil dia turun sarapan sama-sama dengan kita. Cepat!” Puan Mazni sudah menggunakan kuasa vetonya. Nak tak nak Lea terpaksa menurut. Jika di bantah, pasti akan berubah kepada bebelan yang amat membingitkan telinga.


Lea melangkah perlahan, satu persatu anak tangga ke biliknya di daki. Sebenarnya, dia malas hendak mengadap muka Zarif setelah insiden tertengok gambar di telefonnya tadi. Bukan malas, tetapi lebih kepada malu. Namun, digagahkan juga kakinya. Memikirkan bebelan mama, dia tebalkan muka untuk mengadap Zarif sekali lagi. 

Lea memulas perlahan tombol pintu biliknya. Perlahan, malah tiada bunyi langsung. Dia menarik nafas panjang. 

Lea menjengukkan kepalanya ke dalam bilik, mencari-cari kelibat Zarif tetapi tidak ada. Ke mana dia pergi? Lea memanjangkan langkah ke dalam bilik dan matanya tertancap pada sekujur tubuh yang sedang berbaring di sofa. Ya Allah, dia tidur rupanya. 

Lea serba salah mahu mengejutkan Zarif. Nak kejut ke tak ni? Kejap lagi, kalau tak kejut dan aku turun ke bawah sorang-sorang, pasti mama akan membebel. Serba salahlah macam ni. Tiba-tiba Lea mendapat satu idea. Akal nakalnya mula berfungsi. Oh, tadi kau kenakan aku ya, sekarang ni, nasib kau pulak. Hehehe. 


Lea melangkah laju ke bilik air. Dia berkira-kira bahawa saat dan ketika itulah detik yang paling tepat untuk dia membalas perbuatan Zarif. Dia mengambil cawan yang berisi air lalu melangkah menghampiri Zarif di sofa. Tadi, kau main renjis-renjis dengan aku ye? Sekarang ni, nasib kau pula. 

Lea Fatehah mengambil sedikit air dari dalam cawan dan dipercikkan air tersebut ke muka Zarif. Lea melihat Zarif menyapu mukanya kasar. Lea tersenyum. Namun, Zarif berhenti menyapu mukanya dan menyambung tidurnya kembali. Lea memercikkan sekali lagi air ke muka Zarif, malah lebih banyak. Liat pula dia ni nak bangun! Lea membebel sendirian. 

“Haaaah!” Zarif menyergah Lea. Sebenarnya dia hanya berpura-pura tidur sahaja. Zarif sedar ketika Lea masuk ke bilik. 



“Maaaaa!” Lea menjerit kuat. Dia terkejut dengan sergahan Zarif, cawan di tangannya terpelanting dan jatuh ke lantai. 

Puan Mazni di dapur terdengar jeritan anaknya. Budak ni kenapa pula? Bergegas dia memanjat tangga dan menuju ke bilik Lea Fatehah.

“Ha, kenapa pula Lea? Menjerit pagi-pagi buta macam ni.” Puan Mazni menapak ke dalam bilik Lea. Zarif ketawa geli hati. Dia nak kenakan aku, akhirnya dia yang terkena balik. Padan muka! Budak ni memang nakal. 

“Hmm.. oh, haaa.. tak ada apa-apa ma. Tak ada apa-apa.” Lea menjawab kaget. Dia mengetap bibirnya geram. Geram melihat Zarif di depannya yang tersengih bagaikan kerang busuk. 



“Tak ada ma, tadi ada lipas kat dalam bilik ini. Itulah yang Lea menjerit. Lea takut lipas rupanya ma.” Zarif menjawab spontan dengan nada memerli. Dia ketawa geli hati. Lea Fatehah! Dua kali kamu terkena dengan aku hari ini. 

“Memang Lea takut lipas. Dari kecik lagi.” Puan Mazni menambah. Dia juga turut ketawa dan menghalakan langkahnya ke dapur semula. Tinggallah Lea dan Zarif berdua di dalam bilik. 


“Oh, tadi awak nak kenakan saya kan?” Lea mencekak pinggang di hadapan Zarif. Zarif bangkit dari sofa dan berjalan menuju ke balkoni. Tawa di bibirnya masih lagi kedengaran. Lea sakit hati mendengarnya. Tawa Zarif seakan memerli. 

“Awak tu yang nak kenakan saya. Salahkan saya pula.” Zarif menjawab dari balkoni. Lea memandang belakang Zarif dengan penuh geram dan sebal. Dia tidak berpuas hati kerana pada hari itu, dua kali Zarif mengenakannya. Lalu, dia mencapai sebiji bantal kecil dari sofa dan membaling ke arah Zarif di balkoni. 



Zap! Bersiot bunyi hayunan bantal kecil ke arah Zarif. Dush, bantal tersebut singgah di belakang Zarif. Memang tepat sasarannya. Giliran Lea pula ketawa malah terbahak-bahak. Dia menjelirkan lidahnya ke arah Zarif. Zarif tersenyum lebar. Nasiblah aku dapat isteri bawah umur ni. Zarif hanya mampu melihat sahaja bantal kecil yang sudah jatuh di kakinya. 

“Mama panggil makan.” Lea berkata pendek sebelum dia melangkah kaki laju ke pintu bilik. Dia tidak betah tunggu di situ. Dia risau Zarif akan membalas balik perbuatannya. Untuk seketika, Lea merasakan kemenangan di pihaknya.



Zarif tersenyum sendirian. Biarlah hari ini menjadi petanda yang baik untuk hubungan mereka ke arah yang lebih baik. Dalam diam, Zarif berdoa. Semoga Allah membukakan pintu hati Lea untuk menerimanya sebagai suami.

  
::to be continue::
-selamat membaca dear- ;)
 

Wednesday, 19 June 2013

[BAB 1] DIA ISTERIKU



BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
(dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)
ASSALAMUALAIKUM ..


Suasana di banglo Encik Mahfuz umpama perang dunia ketiga akan meletus. Encik Mahfuz dan Puan Mazni masing-masing mempertahankan pendapat dan kehendak masing-masing. Lea Fatehah dilihat menyepi seribu bahasa di sebelah mamanya. Air mata laju keluar dari tubir matanya.
“Abang, sudah-sudah lah memaksa Lea. Bukan salah dia. Abang tak patut menghukum Lea macam tu!” Suara Puan Mazni kedengaran lagi. Masih tidak berpuas hati dengan keputusan suaminya.

“Saya tak kira. Keputusan saya muktamad. Lea tetap kena kahwin dengan Zarif.” Encik Mahfuz laju menghalakan kaki keluar dari banglo itu. Dia sudah tidak betah mahu mendengar bantahan dan bangkangan daripada Puan Mazni. Hatinya cukup terluka dengan berita yang diterima pagi tadi. Lea Fatehah, anak kesayangan dia ditangkap khalwat kerana didapati berada berdua-dua dengan lelaki yang bukan muhrim di dalam sebuah bilik hotel. 

"Ma, Lea tak nak ! Lea tak kenal pun Zarif tu ma. Lea tak nak! Lea nak sambung belajar. Ma tolonglah pujuk abah.” Lea terus merayu mamanya. Baginya, kejadian yang terjadi semalam adalah betul-betul di luar jangkaannya. Itu semua adalah perbuatan khianat. Dia langsung tidak mengenali lelaki yang bernama Zarif.

“Mama dah tak tahu nak buat apa. Lea kenal kan perangai abah Lea macam mana. Kalau itu dah keputusan yang abah buat, kita terpaksa terima.” Puan Mazni mengusap lembut kepala anak perempuannya. Dia sudah sehabis daya memujuk suaminya. Tetapi itu semua umpama mencurah air ke daun keladi. Encik Mahfuz sudah nekad dengan keputusannya. Lea Fatehah tetap akan dikahwinkan dengan Zarif Haikal. Perkara yang memalukan itu harus ditamatkan.

“Tapi, mama relakah Lea berkahwin dengan lelaki yang Lea tak kenal? Lea masih muda ma. Lea baru sembilan belas tahun. Apa yang Lea boleh buat ma?” Lea Fatehah terus-terusan mendesak Puan Mazni. Lea merasakan nasib sudah tidak menyebelahi dirinya. Dia mengerti, dan dia faham yang berita yang memalukan itu harus dihentikan. Tapi, bukan dengan cara dia menikahi Zarif. Banyak lagi jalan keluar yang lain. Tetapi dia tidak dapat memikirkan jalan keluar yang lain. Semuanya menemui jalan buntu. 

“Mama buntu. Abah kamu hanya memikirkan jalan itu sahaja untuk menyelamatkan kamu Lea. Berita kamu ditangkap khalwat sudah tersebar. Abah nak selamatkan maruah kamu. Bagi pihak mama, mama tak nak kamu kahwin lagi. Kamu masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tapi, itu keputusan abah kamu. Mama dah tak tahu nak buat apa.” Puan Mazni mengeluh berat. Terlalu rumit keadaan yang dialami oleh keluarga mereka. 

Lea Fatehah mengesat kasar sisa air matanya. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang keputusan Encik Mahfuz. Jiwanya pasrah. Dia sudah kekeringan idea dan kekuatan untuk memujuk Puan Mazni dan Encik Mahfuz.

Lea bangun meninggalkan mamanya bersendirian di ruang tamu. Langkah longlainya dihalakan ke arah bilik tidurnya di tingkat atas. Air mata kembali merembas keluar apabila memikirkan nasibnya selepas ini. Apa yang akan terjadi dengan masa depannya? Bagaimana dengan cita-cita aku? 

Lea Fatehah bingung! Kenapa dia boleh berada di dalam bilik hotel itu? Seingatnya, dia ke sana untuk meraikan majlis sambutan hari lahir kawan sekolahnya.  Dia ke sana dengan sepupunya Melati. Dia bingung. Apa yang berlaku sebenarnya? Dia gagal untuk mengembalikan semula ingatannya tentang apa yang berlaku semalam. Di mana Melati? Sewaktu dia sedar, pintu bilik hotel diketuk kuat oleh orang jabatan agama Islam dan yang pastinya Melati tiada di sisi. 

Lea Fatehah termenung panjang. Tudung di kepala ditanggalkan lalu dibuang ke hujung katil. Dia memeluk tubuhnya sambil bersandar pada kepala katil. Dia terus memerah otaknya supaya dapat mengingat kembali apa yang terjadi pada dirinya semalam, tetapi gagal. Semuanya kosong. Akhirnya dia tertidur keletihan.

“Lea mana? Abang dah pergi jumpa keluarga Zarif. Abang malu Maz. Abang malu. Anak perempuan, kita yang kena lindungi dia.” Encik Mahfuz menghenyakkan punggungnya di kerusi. Puan Mazni mengambil tempat di sebelahnya. Dia menyentuh tangan Encik Mahfuz lembut. Tanda memberikan ketenangan buat suami yang semakin kusut. 

“Lea tidur kat atas. Dia penat agaknya. Sabarlah bang. Kita tak minta pun semua benda ini terjadi. Abang tahu kan, Lea tu anak yang baik. Dia tak pernah sakitkan hati kita. Inikan pula dia sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Maz yakin bang, ada sesuatu yang tak kena dengan peristiwa semalam.” 

Masing-masing berdiam diri. Encik Mahfuz termenung jauh. Dia memikirkan nasib yang akan menimpa anak perempuannya selepas ini. Dia sendiri tidak sanggup untuk membenarkan anaknya berkahwin pada usia muda, namun dia harus melakukan sedemikian untuk menyelamatkan maruah Lea Fatehah. Dia terlalu sayangkan anaknya. 

“Apa kata keluarga Zarif bang? Mereka bersetujukah dengan perkahwinan ini?” Puan Mazni bertanya lembut setelah melihat suaminya lama mendiamkan diri.

“Abang dah pergi jumpa mereka tadi, dan alhamdulillah Maz, mereka boleh menerima Lea. Mereka pun macam kita Maz. Berada dalam persimpangan. Tak tahu nak buat apa. Nak ditelan mati mak, nak diluah mati bapak.” Encik Mahfuz tersenyum lega. Walau apa pun yang berlaku, dia yakin itu semua adalah ketentuan dari-Nya. Sebagai hamba-Nya dia hanya mampu berdoa yang terbaik untuk Lea Fatehah.

“Pergi kejutkan Lea, Maz. Dari pagi tadi lagi dia tak makan apa-apa. Abang risaukan dia.” Mendengar arahan suaminya. Puan Mazni menghalakan langkahnya menaiki tangga ke bilik Lea Fatehah. Walaupun perit untuk dia menerima keputusan suaminya untuk menikahkan Lea dengan Zarif, namun jauh di sudut hatinya, dia menerima keputusan itu dengan redha. Maruah anak perempuannya lebih penting. 

Puan Mazni melangkah perlahan ke dalam bilik Lea setelah mendapati anaknya tidak mengunci pintu biliknya. Dia melihat Lea masih lagi nyenyak di pembaringan. Raut wajah anaknya yang mulus ditatap lama. Dia terlalu menyayangi anak-anaknya. Najmi Imran berada jauh di London melanjutkan pelajaran. Hanya Lea Fatehah sajalah yang menjadi peneman bersama suami. 

Perlahan-lahan Puan Mazni menguak rambut yang menutupi sebahagian muka anak perempuannya. Dia melihat sisa air mata yang masih lagi berbaki di pipi anaknya. Puan Mazni tahu anaknya tertidur keletihan kerana menangis. Dia kasihankan Lea, namun nasib Lea tetap perlu dibela.

“Lea… bangun sayang. Solat, lepas tu kita turun makan.” Puan Mazni menggoncang lembut bahu Lea Fatehah. Lambat-lambat Lea membuka matanya. Apabila mendapati mamanya di sisi, dia gagahkan diri untuk bangun dari pembaringan. Dia bersila di hadapan Puan Mazni. Tidak semena-mena air matanya menitis lagi. Dia kembali memikirkan yang terjadi pada malam semalam. Hatinya dipagut sedih. Air matanya laju merembas keluar. Dia masih tidak boleh melupakan apa yang berlaku ke atas dirinya. Kenapa dia diuji sebegitu rupa? Sungguh berat ujian yang diberikan.

Puan Mazni memeluk erat Lea di hadapannya. Dia tahu anaknya masih lagi trauma dengan peristiwa yang berlaku sepanjang malam semalam. Dia cuba mengalirkan kekuatan dan ketenangan kepada Lea. Dia mengucup lembut kedua-dua belah pipi anaknya. Dia menyapu perlahan air mata anaknya mengalir laju.

“Syyyy… jangan nangis lagi sayang. Mama tak salahkan Lea. Mama maafkan segala kesalahan Lea. Lea kena redha. Lea ikhlaskan hati Lea. Lea kena terima Zarif. Keluarga dia sudah memberikan persetujuan untuk Zarif dan Lea.” Puan Mazni memeluk anaknya sekali lagi. Dia masih mendengar esakan kuat Lea. Terhinjut-hinjut bahu Lea Fatehah. Dia seakan-akan meredhakan keputusan mama dan abahnya dalam paksa. 

“Terima kasih ma sebab percayakan Lea. Lea tak salah ma. Lea tak sanggup nak lukakan hati mama dan abah. Lea tak tahu kenapa Lea boleh ada dalam bilik hotel tu. Lea tak tahu….” Esakan Lea semakin kuat. Puan Mazni menepuk-nepuk bahu Lea lembut, memberikan kekuatan padanya.

“Abah tak salahkan Lea. Maafkan abah kerana terlalu mendesak Lea. Abah dan mama sayangkan Lea. Abah tak nak anak abah terus menanggung malu.” Terdengar suara Encik Mahfuz di depan pintu bilik Lea Fatehah. Rupa-rupanya, Encik Mahfuz memerhatikan segala perilaku isteri dan anaknya. Hatinya dipagut pilu apabila melihat mata Lea Fatehah yang semakin membengkak akibat banyak menangis. 

Lea merungkai pelukannya dengan Puan Mazni dan laju turun dari katil lalu terus mendakap erat Encik Mahfuz. Bercampur baur perasaannya. Dia sangat bersyukur kerana mama dan abahnya tidak terus-terusan menyalahkan dia. Namun dia tetap kesal dengan keputusan untuk mengahwini Zarif. Dia langsung tidak mengenali lelaki tersebut, dan dia langsung tidak mengetahui latar belakang lelaki tersebut. Bagaimana dengan kehidupan dia selepas ini? Dia takut untuk memikirkannya. 

Lama dua beranak itu berpelukan. Air mata Encik Mahfuz juga mengalir keluar. Dia sudah tidak kuat untuk melihat anak perempuan kesayangannya terus-terusan menangis. Sedari semalam, air mata itu tidak pernah lekang dari tubir mata anak perempuannya. Hatinya pedih melihat penderitaan dan ujian yang menimpa Lea. Kalau boleh, dia ingin memindahkan penderitaan itu ke atas dirinya, namun, itu bukan kuasanya. 

“Abah harap ini keputusan yang terbaik buat Lea. Hujung bulan nanti, majlis perkahwinan Lea dan Zarif akan berlangsung. Ibu bapa Zarif juga sudah bersetuju. Abah harap, Lea mempersiapkan diri Lea dan tabahkan hati Lea. Maafkan abah sayang. Abah tak mampu untuk lindungi kamu.” Encik Mahfuz menepuk-nepuk lembut belakang Lea. Lea menganggukkan kepalanya tanda faham dengan apa yang dikatakan oleh abahnya. Dia sudah tidak punyai kekuatan untuk membantah dan membangkang. Biarlah nasib yang menentukan segala-galanya. Jauh di sudut hati Lea Fatehah, dia ingin merungkai segala persoalan yang masih belum terjawab tentang peristiwa malang yang menimpa dirinya itu.

------

Hujung bulan sudah tiba. Hati Lea semakin tidak tenang. Walaupun majlis perkahwinannya dilangsungkan secara sederhana sahaja, namun dia tetap menerima debar di dada. Dia benar-benar buntu. Walaupun mama dan abahnya sedang sibuk dan rancak merancang itu dan ini untuk majlis perkahwinan, namun jauh di lubuk hati, dia kasihankan mama dan abahnya yang terpaksa menanggung malu akibat peristiwa malang yang menimpa dirinya. Abangnya di London sudah dikhabarkan tentang berita perkahwinannya. Reaksi Najmi, hanya mengiakan sahaja. dia juga tidak tahu apa yang harus dilakukan. Hanya doa sahaja yang mampu dikirimkan buat keluarga di tanah air.

“Lea, baju akad nikah Lea mama dah pergi ambil. Malam nanti Lea cuba sekali lagi ya, mama takut terlebih besar saja. Kalau nak perbetulkan senang, sebab kita masih ada masa tiga hari lagi.” Puan Mazni berlalu pergi ke dapur. Lea menghantar langkah mamanya dengan senyuman kelat. Ruang tamu di rumahnya sudah dipenuhi dengan barang-barang perkahwinannya. Saudara mara yang terdekat sudah ada yang bertandang ke rumahnya untuk menolong apa yang patut. Lea tetap membatukan diri di depan televisyen. Dia bingung. Apa yang patut dia rasakan kini. Adakah tersenyum riang dengan pernikahannya yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi, atau dia perlu bersedih dan bersedih lagi? Dia tidak sampai hati untuk meruntuhkan kegembiraan abah dan mamanya. Biarlah hatinya yang menderita asalkan mama dan abahnya gembira.

Hari yang ditunggu sudah tiba. Awal-awal pagi lagi Lea sudah disiapkan oleh mak andam.  Sekitar jam sebelas pagi, majlis akad nikah dia dan Zarif akan berlangsung di rumahnya. Sudah terdengar riuh rendah suara kanak-kanak di ruang rumahnya. Namun hatinya tidak seriang suara kanak-kanak itu. Lea Fatehah merasakan dunianya semakin kelam. Cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang undang-undang juga harus dilupakan. Dia risau dan perasaannya bercampur baur. Terkadang terfikir di benak nakalnya untuk melarikan diri, namun dia tidak mampu. Dia perlu menjaga air muka kedua-dua orang tuanya.

Selepas peristiwa hitam sebulan lepas, dia langsung tidak keluar daripada rumah. Hanya mama dan abah sahaja yang beria-ia dan bersungguh-sungguh menguruskan urusan perkahwinannya. Malah, dia juga tidak pernah berjumpa dengan Zarif lagi. Dia hanya mendengar cerita tentang Zarif dan keluarganya daripada mama dan abahnya sahaja. Dia tidak banyak bertanya, hanya mengiakan sahaja keputusan yang telah dibuat oleh Puan Mazni dan Encik Mahfuz.

Setelah disolek cantik  dan dipakaikan pakaian yang telah menjadi pilihan mamanya untuk majlis akad nikah, Lea ditinggalkan keseorangan di dalam bilik. Hatinya kosong. Fikirannya kosong. Dia melihat dirinya di dalam cermin. Gembirakah aku dengan pernikahan ini? Dia tersenyum kelat. Jawapan yang pasti, dia tidak gembira!

“Sah!” Terdengar suara saksi yang menyatakan akad yang dijalankan itu sudah sah. Maka, dengan rasminya Lea Fatehah bergelar isteri kepada Zarif Haikal. Renungan Lea ke arah Zarif yang sedang menyalami abahnya sudah berbalam-balam. Air mata Lea Fatehah mengalir perlahan. Dia merelakan perkahwinan tersebut. Hatinya sudah tidak mampu untuk mengatakan tidak.  Dia sudah sah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang asing dalam hidupnya. 

Lea melihat Zarif semakin mendekatinya. Mamanya di sebelahnya mengusap lembut bahu Lea. Puan Mazni tahu Lea masih lagi keliru. Kini, Zarif sudah berada di depannya. Itu adalah merupakan kali pertama dia melihat Zarif dari jarak yang lebih dekat. Zarif segak dengan baju Melayu warna sedondon dengannya. Zarif senyum pada Lea Fatehah, namun Lea hanya melihat dengan pandangan mata yang tidak bermaya. Langsung tidak terpancar sinar kebahagiaan di matanya. Kosong. Itulah gambaran yang boleh diberikan. 

“Assalamualaikum.” Zarif memberikan salam. Lea memejamkan matanya rapat dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia perlu bertenang. Air muka mama dan abah perlu dijaga! Perlahan-lahan dia menjawab salam yang diberi.

“Hulurkan tangan kamu Lea.” Puan Mazni berbisik lembut di sebelah Lea. Lea sedar dengan arahan daripada Puan Mazni, lalu tangan kanannya dihulur kepada Zarif. Maka tersarunglah sebentuk cincin emas bertatahkan berlian di jari manis Lea. Air mata menitik perlahan, sekali lagi. Dia sedih dengan nasib yang menimpa dirinya. Dia merasakan bahawa dia dipaksa berkahwin dengan lelaki yang langsung dia tidak kenal. Lelaki asing ! Hanya mengenali namanya semata-mata. Ya Allah, bantulah aku, kuatkanlah hati aku! Rintih Lea Fatehah sendirian. 

Setelah cincin disarung kemas di jari manisnya, Lea menarik lembut tangannya daripada pegangan Zarif. Namun Puan Mazni menyedari akan perlakuan Lea, laju sahaja mencuit bahu Lea untuk kali kedua dan memberikan isyarat mata kepada Lea Fatehah agar segera menyalami Zarif yang sedang tersenyum manis di depannya.

Lea menyedari akan kesilapannya sekali lagi terpaksa akur dengan arahan mama. Sebelum ini, banyak kali Puan Mazni mengingatkan Lea apa yang patut dilakukan pada upacara akad nikahnya. Namun, Lea lupa semuanya pada hari perkahwinannya.

Lambat-lambat Lea menyalami Zarif di depannya. Dia mencium tangan suaminya. Kali pertama dia mencium tangan lelaki asing. Ya, lelaki asing. Perasaan yang sukar untuk ditafsirkan walaupun pada ketika itu hubungannya sudah halal. Mereka sudah sah bergelar sepasang suami dan isteri. Kemudian, Zarif mencium dahi Lea lama. “Terima kasih kerana menerima saya.” Lea mendengar kata-kata itu terluah dari mulut Zarif. Terima kasih? Untuk apa? Aku sama sekali tidak rela dengan perkahwinan ini. 

Terdengar suara sorak gembira daripada saudara-mara yang menyaksikan Zarif mencium dahi Lea Fatehah. Mereka gembira dan bersorak. Mama di sebelah tersenyum gembira. Lea melemparkan senyuman yang dibuat-buat untuk semua hadirin yang hadir. Dia cuba menjadi kuat untuk mama dan abahnya serta kaum keluarga Zarif Haikal yang sedang memandang dia. Dia cuba maniskan muka, walaupun di dalam hatinya sedang bergolak maha hebat. 

Selesai majlis akad nikah, Lea menyalami mama dan papa Zarif sebelum mereka berangkat pulang ke rumah. Dia memandang sayu kereta BMW 6 siri milik mertuanya. Fikirannya melayang jauh. Aku sudah bergelar isteri? Pada usia sembilan belas tahun? Teman-teman aku yang lain masih lagi dengan dunia remaja mereka, sedang berebut-rebut mengejar impian mereka. Tapi, aku terpaksa melupakan cita-cita aku begitu sahaja. Mahukah dia benarkan aku untuk menyambung pelajaran lagi? Entahlah. Jawapan yang sukar untuk di cari. 

“Jomlah masuk! Hampir maghrib dah ni.” Lea merasakan bahawa tangannya ditarik oleh seseorang dan dia melihat Zarif di sebelahnya. Kenapa dia pegang tangan aku? Apa hak dia? Lea segera menarik tangannya daripada genggaman Zarif. Dia meninggalkan Zarif di belakang. Sungguh dia tidak selesa dengan perlakuan Zarif yang memegang tangannya. Tidak diketahui sama ada sengaja atau tidak. Itu hanya Zarif sahaja yang mampu menjawab. Lea melangkah laju masuk ke dalam rumah. Zarif hanya menggelengkan kepalanya dengan reaksi Lea. Jauh di lubuk hati Zarif, dia tahu bahawa Lea masih lagi tidak boleh menerima pernikahan mereka. 

“Zarif, buatlah macam rumah sendiri ya. Mama harap sangat yang Zarif boleh jaga Lea dengan baik. Tolong jagakan Lea untuk abah dan mama. Sekarang Lea sudah menjadi tanggungjawab kamu.” Puan Mazni memulakan perbualannya dengan Zarif setelah mereka bertiga berada di ruang tamu. 

Zarif tersenyum memandang ibu dan bapa mertuanya. “In shaa Allah ma, abah. Zarif akan jaga Lea dengan baik. Tapi sebelum tu, Zarif nak minta maaf banyak-banyak dengan mama dan abah kerana peristiwa sebulan yang lalu telah malukan keluarga mama dan abah. Zarif pun tak tahu kenapa Zarif ada dalam bilik tersebut. Zarif berani bersumpah depan mama dan abah, yang Zarif langsung tak buat perkara terkutuk tu.” Zarif menunduk. Dia terlalu kesal dengan peristiwa yang berlaku. Dia kasihankan Lea dan keluarganya. Dia masih teringat esak dan tangis Lea pada malam tersebut. Lea sedaya upaya membela dirinya di depan pegawai jabatan agama Islam, namun tiada siapa yang mahu mendengar. 

“Perkara yang berlalu biarlah berlalu. Abah dan mama tak salahkan Zarif. Kami redha dengan apa yang berlaku. Abah tahu, segala apa yang berlaku ini adalah suratan dari-Nya.” Encik Mahfuz menepuk lembut bahu Zarif. 

“Terima kasih ma, terima kasih abah. Zarif takkan sia-siakan anak mama dan abah. Zarif akan jaga dia macam mama dan abah jaga dia.” 

“Untuk sementara waktu ini, Zarif bersabarlah dengan perangai Lea ya? Dia masih lagi terganggu Emosinya masih lagi tidak stabil. Harap Zarif jangan ambil hati.” Puan Mazni pula menambah.
Zarif mengangguk perlahan dan dia meminta diri untuk ke bilik. Dia perlu merehatkan tubuhnya. Zarif sendiri penat dengan apa yang berlaku ke atas dirinya selama sebulan ini. Namun dia redha dengan perkahwinannya. Dia perlu menjaga hati ramai pihak, termasuk keluarganya serta keluarga Lea Fatehah.

Zarif menolak perlahan pintu bilik Lea. Dia melihat Lea sedang berteleku di atas sejadah. Mata Lea terpejam rapat. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat kursi. Zarif melangkah perlahan-lahan ke arah sofa di hujung bilik Lea. Dia tidak mahu dengan kehadirannya, Lea akan terganggu. Zarif sedang berkira-kira, apa yang patut dia bicarakan dengan Lea.

Lea masih lagi khusyuk di atas sejadah. Mulutnya masih lagi terkumat kamit membaca ayat-ayat suci. Air matanya menitik perlahan. Dia tidak kuat. Pada Allah sahaja dia meluahkan segala kekusutan yang sedang melanda dirinya pada ketika itu. Lea beristighfar sebanyak mungkin untuk menenangkan hatinya. Dia memohon petunjuk dari Allah agar dipermudahkan segala kekusutan yang sedang dialami olehnya ketika itu. 

Zarif hanya memerhati sahaja tindak tanduk Lea. Sesekali dia melihat Lea mengesat air matanya yang mengalir laju. Zarif sayu melihat keadaan Lea pada ketika itu. Namun, dia tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Biarlah Lea mengambil masa untuk menenangkan dirinya sendiri. Akhirnya Zarif membetulkan tubuhnya dan berbaring di sofa. Dia cuba melelapkan mata. Zarif berharap esok akan memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk bercakap dengan Lea Fatehah. 

Hampir satu jam Lea Fatehah berteleku di atas sejadah. Akhirnya dia bangun untuk melakukan solat sunat dua rakaat yang terakhir pada malam tersebut. Sebelum sempat dia mengangkat takbir, dia melihat sekujur tubuh yang meringkuk di atas sofa. Dia tahu itu adalah Zarif. Perlahan-lahan dia mengatur langkah ke arah Zarif. Timbul perasaan kasihan dalam dirinya pada Zarif apabila melihat keadaan Zarif yang tidur tanpa selimut dan bantal. Dia menghampiri almari dan mengambil sehelai selimut untuk selimutkan tubuh Zarif. Dia mencapai sebiji bantal di atas katilnya dan meletakkan di bawah kepala Zarif. Kali pertama dia memegang kepala lelaki tersebut, walaupun dengan berlapikkan telekung sembahyangnya. Terdengar dengkuran halus Zarif. Lea tersenyum kelat. Semua yang berlaku ke atas dirinya berlaku begitu pantas sekali. Akhirnya, dia dan Zarif yang menjadi mangsa. Akan wujudkah istilah rumah tangga yang mawaddah dalam pernikahannya? Lea takut untuk memikirkannya. Hatinya masih belum boleh menerima. 

::to be continue::

TEASER : Hasil tulisan PERTAMA - coming soon :)

ASSALAMUALAIKUM... 

Saya perlukan support daripada korang ! Support me okay ? 

Cerita masih lagi dalam pembikinan. Tajuknya tak ada lagi, tapi jalan cerita dah ada. hehe

Peringatan : Saya budak masih belajar, kalau salah tolong tunjukkan ya .. ;)


Ini hanyalah watak rekaan saya semata-mata. 
Tehehehe..
Zarif Haikal

Lea Fatehah


Nantikan ! ;)

Monday, 17 June 2013

BERTEPUK SEBELAH TANGAN TAKKAN BERBUNYI

Assalamualaikum



Fitrah manusia. Kita takkan boleh lari daripada perasaan tertarik kepada jantina berlawanan. Rite?

Sebagai manusia biasa, kita mungkin pernah merasai magnet yang begitu dahsyat. Getaran hebat, desiran yang maha kuat dan sebagainya di saat kita bertemu denngan seseorang yang kelihatan luar biasa bagi kita.

Kekacakkannya, kealimannya dan pelbagai faktor lain yang tidak mencapai akal logik untuk memikirkannya kerana cinta tak ada logika.

Bermula detik itu, akan tersemat satu perasaan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Sesungguhnya perasaan itu indah. Namun, hati-hati jangan sampai ia membunuh jiwa yang suci.

Ungkapkan jika kamu mampu dan berani. Lalu melangkahlah ke level yang seterusnya. Jika kamu tidak mampu, simpanlah rasa itu. Penyelesaiannya, dekatkan diri kamu dengan Pengurnia Rasa itu. :)


#Gambar Hiasan

"Tetapi tak semudah itu. Andai aku luah, tetapi tidak terima, macam mana?"

Kalau ditolak, pasrahlah. Percayalah bahawa Allah sudah menetapkan sebaik-baik ketentuan kepada kamu. Meskipun jiwa seringkali bergetar untuk melayari kehidupan bersama si pujaan hati, namun apakan daya cintamu bertepuk sebelah tangan?

Kita harus tahu, Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Jika itu ketentuan-Nya buat kita. Terimalah seredhanya. 

Pendamlah rasa itu. kalau boleh, simpankan ia di dalam satu kotak hitam yang kecil, kunci rapat2 lalu buangakn kunci itu ke dasar lautan. Biarkan ia tanpa kunci agar lain kali kita tidak akan berani lagi untuk membukanya.

Ingatlah, jika hari ini kita belum menjumpai seseorang yang berhak untuk kita. Jangan kita lupa bahawa kita ada esok dan lusa. Hari itu akan tiba jua.

p/s : nantikan mini novel dari saya ya? Tittle nya belum ada.. tapi dalam proses pembikinan. Hopefully, you all enjoy it. ^_^

Saturday, 15 June 2013

[NOVEL] SEBENARNYA SAYA ISTERI DIA (SSID)

Recall back sejarah yang sudah berlalu. Berkurun lama kot novel SSID ni ada kat pasaran, tapi aku saja yang lambat dan agak terlambat. Baru semalam, aku dengan gigihnya membaca novel yang setebal 897 muka surat itu, dan akhirnya done pukul 4.35 pagi.. wahhh ! Memang daebak ! Semangat nak habiskan jugak. Such a lovely novel.



*****

Cinta pertama tidak semestinya akan bersatu walaupun masing2 berjanji untuk hidup bersama. Itulah yang terjadi pada Syafa Aqira dan Farish Adryan. Cinta yang pernah dipupuk sejak zaman universiti lagi akhirnya terputus di tengah jalan apabila Farish bertekad untuk memutuskan hubungan itu lantaran satu peristiwa hitam yang terjadi pada satu majlis yang dihadiri oleh mereka berdua.

"Aku buat semua ini kerana mama. Dan kau tu sepatutnya bersyukur sebab aku selamatkan maruah kau"
-Firash Arshad

"Ya, aku tahu Firash. Sepatutnya aku bersyukur sebab kau sudi kahwin dengan aku." - Syafa Aqira

Laluan untuk mengharungi sebuah perkahwinan tanpa cinta bukanlah sesuatu yang mudah buat Syafa Aqira. Kehidupannya sebagai isteri langsung tidak dipedulikan apatah lagi perkahwinan mereka dirahsiakan atas permintaan Firash. Namun dia reda kerana kesibukan lelaki itu masih bergelar pelajar walaupun setiap kata2 sinis yang terbit dari mulut Firash ditelah dengan rasa terbuku di dalam hati.

Dan kala rasa sayang dan cinta mula hadir, ada saja dugaan yang datang menimpa. Kehadiran abang tiri dan adik tirinya yang tidak disangka-sangka mengeruhkan rasa cinta yang mula terbina. Syafa akhirnya pergi membawa diri dengan hati yang terluka. Firash jadi nanar. Hidupnya serba serbi tidak kena. Bagi Firash, Syafa adalah anugerah terindah di dalam hidupnya. Dia sanggup untuk berbuat apa saja demi mendapatkan kembali kepercayaan dari isterinya itu. 

"Siapa nak tidur atas riba awak? Please lah! Tak ingin pun!"- Syafa Aqira

"Betul ke tak ingin? Dari dulu okay aje sampai lenguh paha saya nak menanggung kepala awak. Takkan awak dah lupa kut?- Firash Arshad.

Namun apakah cinta mereka akan kembali bersatu? Bagaimana pula dengan kisah adik beradik tiri Firash? Dan apakah bahagia akan terus menjadi milik mereka?

***
Korang semua mungkin sudah sedia maklum yang sekarang ini drama adaptasi SSID sedang ditayangkan di TV3. Memang mendapat sambutan yang hangat. 




Izzue Islam sebagai Firash Arshad
Tiz Zaqyah sebagai Syafa Aqira.
Totally best. Rugi kalau tak layan.

Aku bagi 4star untuk novel dan drama SSID. :)


p/s Izzue Islam is soo sweet ! :)

Wednesday, 5 June 2013

[LIFE] Dia Datang Dah-Dup dap Dup dap

Assalamualaikum

Dia datang dengan lenggang lenggoknya.. dia datang !

Minggu exam sudah menyerang ! Pelajar2 IPT sudah diserang dengan wabak exam yang sangat ganas lagi mengganaskan..

Seminggu saja lagi aku mahu ketemu dengan kekasih hati. Eh, xsampai seminggu aih, lima hari saja lagi. LIMA hari. Alahai mak limah oii.. cepat nya masa berlalu. pejam celik pejam celik, nak nak exam. Rasanya semalam baru masuk semestar baru. Ehhh, kesitu pulak alasannya >_< Sudah ! Tepis, lawan perasaan malas itu !!

10 Jun tarikh keramat. Ia adalah permulaan payper. Ma shaa Allah, rasa tidak bersedia lagi. Tapi sampai bila aku nak postpone, nak tunda, nak buat tak tahu.. tiba masanya aku akan kena hadapi jua.
#Cekalkan hatii. U can do it. FIGHTING !

Oh 5 payper semestar ini.. Please be nice my dear ! Jangan takutkan aku, please . T_T

Asal ah, minggu exam ja rasa berdebar lain macam, sedangkan setiap semestar aku menghadapi peperiksaan, malahan dari zaman sekolah lagi. Hmm, kenapa ? kenapa ? adakah ia adalah persepsi semata2. Minda sudah set, minggu exam saja mesti kena nebes, kena wujud perasaan gemuruh. Ini penyakit memang tidak ada ubat ke ?

Study last minute memang tak lekang dan memang tak berubah pun, dari semestar satu sehinggalah sekarang. Azam awal semestar bukan main berasap, pung pang pung pang cakap tak nak dah study last minute. Tapi tetap buat juga kan ? Siapa yg buat, cu angkat ibu jari kanan! #Aku lah yang 1st angkat. #Menyampah dengan diri sendiri.

Dah tahu, study last minute, tapi tetap juga layan anasir2 luar. Aii, menyakitkan hati sungguh. Sempat lagi layan Running Man, layan Family Outing, tengok muvie itu, muvie ini. Pergi sana pergi sini, pergi sinun. Lagi satu, sempat lagi layan GAME dalam FB. Apa ni woi ?Ini memang bukan contoh terbaik. Mohon sesangat, jangan ikut !

Kesedaran dalaman itu yang sangat penting. Bila aku bermuhasabah, aku menyesal sekejap. Kembali fokus, buat nota2 ringkas. Habis satu bahagian aku cover, terus aku layan balik anasir2 negatif itu. Katanya nak cari hiburan. tapi bukan hiburan, ia sudah membawa kepada melalaikan.

Tapi, takpelah.. memandangkan bulan baik dan hari baik itu bakal menjelma tidak lama lagi, maka aku nak berkongsi sedikit tips dan rahsia. Boleh lah sama2 kita amalkan ya ?

TIPS UNTUK CEMERLANG DAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan. # ini yang aku lakukan ! ;)

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan. # satu cadangan yang baik.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.


4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
 

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a) Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan.Tidur hendaklah mencukupi.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran.Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b) Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya. # restu mak ayah sangat penting. kalau macam aku yang duk jauh ni, telefon sajalah jalan penyelesaiannya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

c) Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.


6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.


7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

## Tips untuk semua. Sesuai untuk semua golongan.
## Selamat membaca semua. Terima kasih daun keladi..