Wednesday 19 June 2013

[BAB 1] DIA ISTERIKU



BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
(dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)
ASSALAMUALAIKUM ..


Suasana di banglo Encik Mahfuz umpama perang dunia ketiga akan meletus. Encik Mahfuz dan Puan Mazni masing-masing mempertahankan pendapat dan kehendak masing-masing. Lea Fatehah dilihat menyepi seribu bahasa di sebelah mamanya. Air mata laju keluar dari tubir matanya.
“Abang, sudah-sudah lah memaksa Lea. Bukan salah dia. Abang tak patut menghukum Lea macam tu!” Suara Puan Mazni kedengaran lagi. Masih tidak berpuas hati dengan keputusan suaminya.

“Saya tak kira. Keputusan saya muktamad. Lea tetap kena kahwin dengan Zarif.” Encik Mahfuz laju menghalakan kaki keluar dari banglo itu. Dia sudah tidak betah mahu mendengar bantahan dan bangkangan daripada Puan Mazni. Hatinya cukup terluka dengan berita yang diterima pagi tadi. Lea Fatehah, anak kesayangan dia ditangkap khalwat kerana didapati berada berdua-dua dengan lelaki yang bukan muhrim di dalam sebuah bilik hotel. 

"Ma, Lea tak nak ! Lea tak kenal pun Zarif tu ma. Lea tak nak! Lea nak sambung belajar. Ma tolonglah pujuk abah.” Lea terus merayu mamanya. Baginya, kejadian yang terjadi semalam adalah betul-betul di luar jangkaannya. Itu semua adalah perbuatan khianat. Dia langsung tidak mengenali lelaki yang bernama Zarif.

“Mama dah tak tahu nak buat apa. Lea kenal kan perangai abah Lea macam mana. Kalau itu dah keputusan yang abah buat, kita terpaksa terima.” Puan Mazni mengusap lembut kepala anak perempuannya. Dia sudah sehabis daya memujuk suaminya. Tetapi itu semua umpama mencurah air ke daun keladi. Encik Mahfuz sudah nekad dengan keputusannya. Lea Fatehah tetap akan dikahwinkan dengan Zarif Haikal. Perkara yang memalukan itu harus ditamatkan.

“Tapi, mama relakah Lea berkahwin dengan lelaki yang Lea tak kenal? Lea masih muda ma. Lea baru sembilan belas tahun. Apa yang Lea boleh buat ma?” Lea Fatehah terus-terusan mendesak Puan Mazni. Lea merasakan nasib sudah tidak menyebelahi dirinya. Dia mengerti, dan dia faham yang berita yang memalukan itu harus dihentikan. Tapi, bukan dengan cara dia menikahi Zarif. Banyak lagi jalan keluar yang lain. Tetapi dia tidak dapat memikirkan jalan keluar yang lain. Semuanya menemui jalan buntu. 

“Mama buntu. Abah kamu hanya memikirkan jalan itu sahaja untuk menyelamatkan kamu Lea. Berita kamu ditangkap khalwat sudah tersebar. Abah nak selamatkan maruah kamu. Bagi pihak mama, mama tak nak kamu kahwin lagi. Kamu masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tapi, itu keputusan abah kamu. Mama dah tak tahu nak buat apa.” Puan Mazni mengeluh berat. Terlalu rumit keadaan yang dialami oleh keluarga mereka. 

Lea Fatehah mengesat kasar sisa air matanya. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang keputusan Encik Mahfuz. Jiwanya pasrah. Dia sudah kekeringan idea dan kekuatan untuk memujuk Puan Mazni dan Encik Mahfuz.

Lea bangun meninggalkan mamanya bersendirian di ruang tamu. Langkah longlainya dihalakan ke arah bilik tidurnya di tingkat atas. Air mata kembali merembas keluar apabila memikirkan nasibnya selepas ini. Apa yang akan terjadi dengan masa depannya? Bagaimana dengan cita-cita aku? 

Lea Fatehah bingung! Kenapa dia boleh berada di dalam bilik hotel itu? Seingatnya, dia ke sana untuk meraikan majlis sambutan hari lahir kawan sekolahnya.  Dia ke sana dengan sepupunya Melati. Dia bingung. Apa yang berlaku sebenarnya? Dia gagal untuk mengembalikan semula ingatannya tentang apa yang berlaku semalam. Di mana Melati? Sewaktu dia sedar, pintu bilik hotel diketuk kuat oleh orang jabatan agama Islam dan yang pastinya Melati tiada di sisi. 

Lea Fatehah termenung panjang. Tudung di kepala ditanggalkan lalu dibuang ke hujung katil. Dia memeluk tubuhnya sambil bersandar pada kepala katil. Dia terus memerah otaknya supaya dapat mengingat kembali apa yang terjadi pada dirinya semalam, tetapi gagal. Semuanya kosong. Akhirnya dia tertidur keletihan.

“Lea mana? Abang dah pergi jumpa keluarga Zarif. Abang malu Maz. Abang malu. Anak perempuan, kita yang kena lindungi dia.” Encik Mahfuz menghenyakkan punggungnya di kerusi. Puan Mazni mengambil tempat di sebelahnya. Dia menyentuh tangan Encik Mahfuz lembut. Tanda memberikan ketenangan buat suami yang semakin kusut. 

“Lea tidur kat atas. Dia penat agaknya. Sabarlah bang. Kita tak minta pun semua benda ini terjadi. Abang tahu kan, Lea tu anak yang baik. Dia tak pernah sakitkan hati kita. Inikan pula dia sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Maz yakin bang, ada sesuatu yang tak kena dengan peristiwa semalam.” 

Masing-masing berdiam diri. Encik Mahfuz termenung jauh. Dia memikirkan nasib yang akan menimpa anak perempuannya selepas ini. Dia sendiri tidak sanggup untuk membenarkan anaknya berkahwin pada usia muda, namun dia harus melakukan sedemikian untuk menyelamatkan maruah Lea Fatehah. Dia terlalu sayangkan anaknya. 

“Apa kata keluarga Zarif bang? Mereka bersetujukah dengan perkahwinan ini?” Puan Mazni bertanya lembut setelah melihat suaminya lama mendiamkan diri.

“Abang dah pergi jumpa mereka tadi, dan alhamdulillah Maz, mereka boleh menerima Lea. Mereka pun macam kita Maz. Berada dalam persimpangan. Tak tahu nak buat apa. Nak ditelan mati mak, nak diluah mati bapak.” Encik Mahfuz tersenyum lega. Walau apa pun yang berlaku, dia yakin itu semua adalah ketentuan dari-Nya. Sebagai hamba-Nya dia hanya mampu berdoa yang terbaik untuk Lea Fatehah.

“Pergi kejutkan Lea, Maz. Dari pagi tadi lagi dia tak makan apa-apa. Abang risaukan dia.” Mendengar arahan suaminya. Puan Mazni menghalakan langkahnya menaiki tangga ke bilik Lea Fatehah. Walaupun perit untuk dia menerima keputusan suaminya untuk menikahkan Lea dengan Zarif, namun jauh di sudut hatinya, dia menerima keputusan itu dengan redha. Maruah anak perempuannya lebih penting. 

Puan Mazni melangkah perlahan ke dalam bilik Lea setelah mendapati anaknya tidak mengunci pintu biliknya. Dia melihat Lea masih lagi nyenyak di pembaringan. Raut wajah anaknya yang mulus ditatap lama. Dia terlalu menyayangi anak-anaknya. Najmi Imran berada jauh di London melanjutkan pelajaran. Hanya Lea Fatehah sajalah yang menjadi peneman bersama suami. 

Perlahan-lahan Puan Mazni menguak rambut yang menutupi sebahagian muka anak perempuannya. Dia melihat sisa air mata yang masih lagi berbaki di pipi anaknya. Puan Mazni tahu anaknya tertidur keletihan kerana menangis. Dia kasihankan Lea, namun nasib Lea tetap perlu dibela.

“Lea… bangun sayang. Solat, lepas tu kita turun makan.” Puan Mazni menggoncang lembut bahu Lea Fatehah. Lambat-lambat Lea membuka matanya. Apabila mendapati mamanya di sisi, dia gagahkan diri untuk bangun dari pembaringan. Dia bersila di hadapan Puan Mazni. Tidak semena-mena air matanya menitis lagi. Dia kembali memikirkan yang terjadi pada malam semalam. Hatinya dipagut sedih. Air matanya laju merembas keluar. Dia masih tidak boleh melupakan apa yang berlaku ke atas dirinya. Kenapa dia diuji sebegitu rupa? Sungguh berat ujian yang diberikan.

Puan Mazni memeluk erat Lea di hadapannya. Dia tahu anaknya masih lagi trauma dengan peristiwa yang berlaku sepanjang malam semalam. Dia cuba mengalirkan kekuatan dan ketenangan kepada Lea. Dia mengucup lembut kedua-dua belah pipi anaknya. Dia menyapu perlahan air mata anaknya mengalir laju.

“Syyyy… jangan nangis lagi sayang. Mama tak salahkan Lea. Mama maafkan segala kesalahan Lea. Lea kena redha. Lea ikhlaskan hati Lea. Lea kena terima Zarif. Keluarga dia sudah memberikan persetujuan untuk Zarif dan Lea.” Puan Mazni memeluk anaknya sekali lagi. Dia masih mendengar esakan kuat Lea. Terhinjut-hinjut bahu Lea Fatehah. Dia seakan-akan meredhakan keputusan mama dan abahnya dalam paksa. 

“Terima kasih ma sebab percayakan Lea. Lea tak salah ma. Lea tak sanggup nak lukakan hati mama dan abah. Lea tak tahu kenapa Lea boleh ada dalam bilik hotel tu. Lea tak tahu….” Esakan Lea semakin kuat. Puan Mazni menepuk-nepuk bahu Lea lembut, memberikan kekuatan padanya.

“Abah tak salahkan Lea. Maafkan abah kerana terlalu mendesak Lea. Abah dan mama sayangkan Lea. Abah tak nak anak abah terus menanggung malu.” Terdengar suara Encik Mahfuz di depan pintu bilik Lea Fatehah. Rupa-rupanya, Encik Mahfuz memerhatikan segala perilaku isteri dan anaknya. Hatinya dipagut pilu apabila melihat mata Lea Fatehah yang semakin membengkak akibat banyak menangis. 

Lea merungkai pelukannya dengan Puan Mazni dan laju turun dari katil lalu terus mendakap erat Encik Mahfuz. Bercampur baur perasaannya. Dia sangat bersyukur kerana mama dan abahnya tidak terus-terusan menyalahkan dia. Namun dia tetap kesal dengan keputusan untuk mengahwini Zarif. Dia langsung tidak mengenali lelaki tersebut, dan dia langsung tidak mengetahui latar belakang lelaki tersebut. Bagaimana dengan kehidupan dia selepas ini? Dia takut untuk memikirkannya. 

Lama dua beranak itu berpelukan. Air mata Encik Mahfuz juga mengalir keluar. Dia sudah tidak kuat untuk melihat anak perempuan kesayangannya terus-terusan menangis. Sedari semalam, air mata itu tidak pernah lekang dari tubir mata anak perempuannya. Hatinya pedih melihat penderitaan dan ujian yang menimpa Lea. Kalau boleh, dia ingin memindahkan penderitaan itu ke atas dirinya, namun, itu bukan kuasanya. 

“Abah harap ini keputusan yang terbaik buat Lea. Hujung bulan nanti, majlis perkahwinan Lea dan Zarif akan berlangsung. Ibu bapa Zarif juga sudah bersetuju. Abah harap, Lea mempersiapkan diri Lea dan tabahkan hati Lea. Maafkan abah sayang. Abah tak mampu untuk lindungi kamu.” Encik Mahfuz menepuk-nepuk lembut belakang Lea. Lea menganggukkan kepalanya tanda faham dengan apa yang dikatakan oleh abahnya. Dia sudah tidak punyai kekuatan untuk membantah dan membangkang. Biarlah nasib yang menentukan segala-galanya. Jauh di sudut hati Lea Fatehah, dia ingin merungkai segala persoalan yang masih belum terjawab tentang peristiwa malang yang menimpa dirinya itu.

------

Hujung bulan sudah tiba. Hati Lea semakin tidak tenang. Walaupun majlis perkahwinannya dilangsungkan secara sederhana sahaja, namun dia tetap menerima debar di dada. Dia benar-benar buntu. Walaupun mama dan abahnya sedang sibuk dan rancak merancang itu dan ini untuk majlis perkahwinan, namun jauh di lubuk hati, dia kasihankan mama dan abahnya yang terpaksa menanggung malu akibat peristiwa malang yang menimpa dirinya. Abangnya di London sudah dikhabarkan tentang berita perkahwinannya. Reaksi Najmi, hanya mengiakan sahaja. dia juga tidak tahu apa yang harus dilakukan. Hanya doa sahaja yang mampu dikirimkan buat keluarga di tanah air.

“Lea, baju akad nikah Lea mama dah pergi ambil. Malam nanti Lea cuba sekali lagi ya, mama takut terlebih besar saja. Kalau nak perbetulkan senang, sebab kita masih ada masa tiga hari lagi.” Puan Mazni berlalu pergi ke dapur. Lea menghantar langkah mamanya dengan senyuman kelat. Ruang tamu di rumahnya sudah dipenuhi dengan barang-barang perkahwinannya. Saudara mara yang terdekat sudah ada yang bertandang ke rumahnya untuk menolong apa yang patut. Lea tetap membatukan diri di depan televisyen. Dia bingung. Apa yang patut dia rasakan kini. Adakah tersenyum riang dengan pernikahannya yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi, atau dia perlu bersedih dan bersedih lagi? Dia tidak sampai hati untuk meruntuhkan kegembiraan abah dan mamanya. Biarlah hatinya yang menderita asalkan mama dan abahnya gembira.

Hari yang ditunggu sudah tiba. Awal-awal pagi lagi Lea sudah disiapkan oleh mak andam.  Sekitar jam sebelas pagi, majlis akad nikah dia dan Zarif akan berlangsung di rumahnya. Sudah terdengar riuh rendah suara kanak-kanak di ruang rumahnya. Namun hatinya tidak seriang suara kanak-kanak itu. Lea Fatehah merasakan dunianya semakin kelam. Cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang undang-undang juga harus dilupakan. Dia risau dan perasaannya bercampur baur. Terkadang terfikir di benak nakalnya untuk melarikan diri, namun dia tidak mampu. Dia perlu menjaga air muka kedua-dua orang tuanya.

Selepas peristiwa hitam sebulan lepas, dia langsung tidak keluar daripada rumah. Hanya mama dan abah sahaja yang beria-ia dan bersungguh-sungguh menguruskan urusan perkahwinannya. Malah, dia juga tidak pernah berjumpa dengan Zarif lagi. Dia hanya mendengar cerita tentang Zarif dan keluarganya daripada mama dan abahnya sahaja. Dia tidak banyak bertanya, hanya mengiakan sahaja keputusan yang telah dibuat oleh Puan Mazni dan Encik Mahfuz.

Setelah disolek cantik  dan dipakaikan pakaian yang telah menjadi pilihan mamanya untuk majlis akad nikah, Lea ditinggalkan keseorangan di dalam bilik. Hatinya kosong. Fikirannya kosong. Dia melihat dirinya di dalam cermin. Gembirakah aku dengan pernikahan ini? Dia tersenyum kelat. Jawapan yang pasti, dia tidak gembira!

“Sah!” Terdengar suara saksi yang menyatakan akad yang dijalankan itu sudah sah. Maka, dengan rasminya Lea Fatehah bergelar isteri kepada Zarif Haikal. Renungan Lea ke arah Zarif yang sedang menyalami abahnya sudah berbalam-balam. Air mata Lea Fatehah mengalir perlahan. Dia merelakan perkahwinan tersebut. Hatinya sudah tidak mampu untuk mengatakan tidak.  Dia sudah sah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang asing dalam hidupnya. 

Lea melihat Zarif semakin mendekatinya. Mamanya di sebelahnya mengusap lembut bahu Lea. Puan Mazni tahu Lea masih lagi keliru. Kini, Zarif sudah berada di depannya. Itu adalah merupakan kali pertama dia melihat Zarif dari jarak yang lebih dekat. Zarif segak dengan baju Melayu warna sedondon dengannya. Zarif senyum pada Lea Fatehah, namun Lea hanya melihat dengan pandangan mata yang tidak bermaya. Langsung tidak terpancar sinar kebahagiaan di matanya. Kosong. Itulah gambaran yang boleh diberikan. 

“Assalamualaikum.” Zarif memberikan salam. Lea memejamkan matanya rapat dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia perlu bertenang. Air muka mama dan abah perlu dijaga! Perlahan-lahan dia menjawab salam yang diberi.

“Hulurkan tangan kamu Lea.” Puan Mazni berbisik lembut di sebelah Lea. Lea sedar dengan arahan daripada Puan Mazni, lalu tangan kanannya dihulur kepada Zarif. Maka tersarunglah sebentuk cincin emas bertatahkan berlian di jari manis Lea. Air mata menitik perlahan, sekali lagi. Dia sedih dengan nasib yang menimpa dirinya. Dia merasakan bahawa dia dipaksa berkahwin dengan lelaki yang langsung dia tidak kenal. Lelaki asing ! Hanya mengenali namanya semata-mata. Ya Allah, bantulah aku, kuatkanlah hati aku! Rintih Lea Fatehah sendirian. 

Setelah cincin disarung kemas di jari manisnya, Lea menarik lembut tangannya daripada pegangan Zarif. Namun Puan Mazni menyedari akan perlakuan Lea, laju sahaja mencuit bahu Lea untuk kali kedua dan memberikan isyarat mata kepada Lea Fatehah agar segera menyalami Zarif yang sedang tersenyum manis di depannya.

Lea menyedari akan kesilapannya sekali lagi terpaksa akur dengan arahan mama. Sebelum ini, banyak kali Puan Mazni mengingatkan Lea apa yang patut dilakukan pada upacara akad nikahnya. Namun, Lea lupa semuanya pada hari perkahwinannya.

Lambat-lambat Lea menyalami Zarif di depannya. Dia mencium tangan suaminya. Kali pertama dia mencium tangan lelaki asing. Ya, lelaki asing. Perasaan yang sukar untuk ditafsirkan walaupun pada ketika itu hubungannya sudah halal. Mereka sudah sah bergelar sepasang suami dan isteri. Kemudian, Zarif mencium dahi Lea lama. “Terima kasih kerana menerima saya.” Lea mendengar kata-kata itu terluah dari mulut Zarif. Terima kasih? Untuk apa? Aku sama sekali tidak rela dengan perkahwinan ini. 

Terdengar suara sorak gembira daripada saudara-mara yang menyaksikan Zarif mencium dahi Lea Fatehah. Mereka gembira dan bersorak. Mama di sebelah tersenyum gembira. Lea melemparkan senyuman yang dibuat-buat untuk semua hadirin yang hadir. Dia cuba menjadi kuat untuk mama dan abahnya serta kaum keluarga Zarif Haikal yang sedang memandang dia. Dia cuba maniskan muka, walaupun di dalam hatinya sedang bergolak maha hebat. 

Selesai majlis akad nikah, Lea menyalami mama dan papa Zarif sebelum mereka berangkat pulang ke rumah. Dia memandang sayu kereta BMW 6 siri milik mertuanya. Fikirannya melayang jauh. Aku sudah bergelar isteri? Pada usia sembilan belas tahun? Teman-teman aku yang lain masih lagi dengan dunia remaja mereka, sedang berebut-rebut mengejar impian mereka. Tapi, aku terpaksa melupakan cita-cita aku begitu sahaja. Mahukah dia benarkan aku untuk menyambung pelajaran lagi? Entahlah. Jawapan yang sukar untuk di cari. 

“Jomlah masuk! Hampir maghrib dah ni.” Lea merasakan bahawa tangannya ditarik oleh seseorang dan dia melihat Zarif di sebelahnya. Kenapa dia pegang tangan aku? Apa hak dia? Lea segera menarik tangannya daripada genggaman Zarif. Dia meninggalkan Zarif di belakang. Sungguh dia tidak selesa dengan perlakuan Zarif yang memegang tangannya. Tidak diketahui sama ada sengaja atau tidak. Itu hanya Zarif sahaja yang mampu menjawab. Lea melangkah laju masuk ke dalam rumah. Zarif hanya menggelengkan kepalanya dengan reaksi Lea. Jauh di lubuk hati Zarif, dia tahu bahawa Lea masih lagi tidak boleh menerima pernikahan mereka. 

“Zarif, buatlah macam rumah sendiri ya. Mama harap sangat yang Zarif boleh jaga Lea dengan baik. Tolong jagakan Lea untuk abah dan mama. Sekarang Lea sudah menjadi tanggungjawab kamu.” Puan Mazni memulakan perbualannya dengan Zarif setelah mereka bertiga berada di ruang tamu. 

Zarif tersenyum memandang ibu dan bapa mertuanya. “In shaa Allah ma, abah. Zarif akan jaga Lea dengan baik. Tapi sebelum tu, Zarif nak minta maaf banyak-banyak dengan mama dan abah kerana peristiwa sebulan yang lalu telah malukan keluarga mama dan abah. Zarif pun tak tahu kenapa Zarif ada dalam bilik tersebut. Zarif berani bersumpah depan mama dan abah, yang Zarif langsung tak buat perkara terkutuk tu.” Zarif menunduk. Dia terlalu kesal dengan peristiwa yang berlaku. Dia kasihankan Lea dan keluarganya. Dia masih teringat esak dan tangis Lea pada malam tersebut. Lea sedaya upaya membela dirinya di depan pegawai jabatan agama Islam, namun tiada siapa yang mahu mendengar. 

“Perkara yang berlalu biarlah berlalu. Abah dan mama tak salahkan Zarif. Kami redha dengan apa yang berlaku. Abah tahu, segala apa yang berlaku ini adalah suratan dari-Nya.” Encik Mahfuz menepuk lembut bahu Zarif. 

“Terima kasih ma, terima kasih abah. Zarif takkan sia-siakan anak mama dan abah. Zarif akan jaga dia macam mama dan abah jaga dia.” 

“Untuk sementara waktu ini, Zarif bersabarlah dengan perangai Lea ya? Dia masih lagi terganggu Emosinya masih lagi tidak stabil. Harap Zarif jangan ambil hati.” Puan Mazni pula menambah.
Zarif mengangguk perlahan dan dia meminta diri untuk ke bilik. Dia perlu merehatkan tubuhnya. Zarif sendiri penat dengan apa yang berlaku ke atas dirinya selama sebulan ini. Namun dia redha dengan perkahwinannya. Dia perlu menjaga hati ramai pihak, termasuk keluarganya serta keluarga Lea Fatehah.

Zarif menolak perlahan pintu bilik Lea. Dia melihat Lea sedang berteleku di atas sejadah. Mata Lea terpejam rapat. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat kursi. Zarif melangkah perlahan-lahan ke arah sofa di hujung bilik Lea. Dia tidak mahu dengan kehadirannya, Lea akan terganggu. Zarif sedang berkira-kira, apa yang patut dia bicarakan dengan Lea.

Lea masih lagi khusyuk di atas sejadah. Mulutnya masih lagi terkumat kamit membaca ayat-ayat suci. Air matanya menitik perlahan. Dia tidak kuat. Pada Allah sahaja dia meluahkan segala kekusutan yang sedang melanda dirinya pada ketika itu. Lea beristighfar sebanyak mungkin untuk menenangkan hatinya. Dia memohon petunjuk dari Allah agar dipermudahkan segala kekusutan yang sedang dialami olehnya ketika itu. 

Zarif hanya memerhati sahaja tindak tanduk Lea. Sesekali dia melihat Lea mengesat air matanya yang mengalir laju. Zarif sayu melihat keadaan Lea pada ketika itu. Namun, dia tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Biarlah Lea mengambil masa untuk menenangkan dirinya sendiri. Akhirnya Zarif membetulkan tubuhnya dan berbaring di sofa. Dia cuba melelapkan mata. Zarif berharap esok akan memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk bercakap dengan Lea Fatehah. 

Hampir satu jam Lea Fatehah berteleku di atas sejadah. Akhirnya dia bangun untuk melakukan solat sunat dua rakaat yang terakhir pada malam tersebut. Sebelum sempat dia mengangkat takbir, dia melihat sekujur tubuh yang meringkuk di atas sofa. Dia tahu itu adalah Zarif. Perlahan-lahan dia mengatur langkah ke arah Zarif. Timbul perasaan kasihan dalam dirinya pada Zarif apabila melihat keadaan Zarif yang tidur tanpa selimut dan bantal. Dia menghampiri almari dan mengambil sehelai selimut untuk selimutkan tubuh Zarif. Dia mencapai sebiji bantal di atas katilnya dan meletakkan di bawah kepala Zarif. Kali pertama dia memegang kepala lelaki tersebut, walaupun dengan berlapikkan telekung sembahyangnya. Terdengar dengkuran halus Zarif. Lea tersenyum kelat. Semua yang berlaku ke atas dirinya berlaku begitu pantas sekali. Akhirnya, dia dan Zarif yang menjadi mangsa. Akan wujudkah istilah rumah tangga yang mawaddah dalam pernikahannya? Lea takut untuk memikirkannya. Hatinya masih belum boleh menerima. 

::to be continue::

4 comments:

rahsia hatiku said...

next entry pleaseee...!!!

MeyyaLee said...

tudia laju nya.. hehe
habis dah ko baco? :D

rahsia hatiku said...

haha..mesti dah.. ore buka blog ni utk chek novel2 baru tiap stengah jam tau dok.. xpo la ore jadi pembaca setia amra la..hehe

MeyyaLee said...

Tengs Nisa.. Promote utk saneg2 jgk eh. hehe.