Friday, 16 May 2014

BAB 19 : DIA ISTERIKU

Jam kecil di sebelah berbunyi bingit. Lambat-lambat tangan Zarif mencapainya. Dia pegang dan merenung jam tersebut. 6.45 pagi? Alamak! Subuh. Cepat-cepat dia bingkas dan bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Usai menunaikan solat subuh dua rakaat, Zarif masih berteleku di tikar sembahyang. Fikirannya melayang pada peristiwa semalam. Betulkah apa yang aku dengar? Lea cintakan aku? Sayangkan aku? Lea? Ah. Lea? Dah bangun ke belum dia? Nak kejutkan ke tak?

Zarif bangun dari tikar sembahyang dan menyidai sejadah pada penyidai yang disediakan. Kakinya laju dihala ke bilik sebelah. Dia cuba memulas tombol pintu, tapi berkunci. Sah! Lea tak bangun lagi. Pintu bilik diketuk perlahan. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Ish, kenapa dia tak buka? Tak terjaga lagi ke? Jam di dinding di kerling. 7 tepat.

“Lea.” Zarif memanggil sambil tangannya mengetuk pintu. Masih diam. Tiada sebarang sahutan.
“Lea.” Zarif memanggil lagi.

“Hmmm..” terdengar sahutan Lea dari dalam.

“Dah bangun ke belum? Pukul 7 dah ni.”

“Hah. Pukul 7?” Terdengar suara kalut Lea dari dalam bilik. Kurang dari sepuluh saat pintu bilik di buka dari dalam.

“Pukul berapa?” Tanya Lea dengan muka cemas. Matanya yang dikerdip-kerdip memandang jam di dinding.

“Ya Allah! Subuh! Kenapa abang tak kejutkan Lea. Ahhh. Dah lewat sangat ni.” Lea terkocoh-kocoh masuk ke bilik air. Dari jauh Zarif mendengar bebelan Lea. Hmmm.. tak berubah. Zarif ketawa sendiri.

Usai solat subuh, Lea cepat-cepat ke bilik air untuk mandi. Dia sempat berus gigi dan cuci muka sahaja tadi. Selesai mandi, dia menjengah ke dalam bilik. Tak ada siapa. Ke mana Zarif? Kat bawah kot. Lea berteka-teki sendiri. Cepat-cepat dia menyarungkan t-shirt dan track-suit sambil bernyanyi girang.

Lihat awan di sana
Berarak mengikutiku
Pasti dia pun tahu.
Ingin aku lewati
Lembah hidup yang terindah…

“Lea..” Tiba-tiba suara Zarif datang dari arah belakang.

“Maaaaaa!!” Lea mengurut dadanya cemas.

“Apa awak ni? Pagi-pagi dah buat orang terkejut.” Lea memintal rambutnya yang masih basah dengan tuala.

“Laaaa, abang panggil punyalah perlahan, terkejut lagi.” Zarif menjawab dengan mukanya yang tidak bersalah.

“Hmmm, abang nak ke Pangkor pukul berapa? Pakaian dah kemas belum ni?” Tanya Lea. Dia menyapu losyen ke lengan dan lehernya. Zarif memerhati sahaja perbuatan Lea. Dia menelan liur perlahan. Lea nak goda aku ke??

“Encik Zarif Haikal! Mengelamun pulak dia.” Lea menepuk kuat bahu Zarif.

“Haaa.. tengah hari ni.” Zarif menjawab. Dia melabuhkan duduknya di birai katil. Lea mencapai penyapu dan menyapu di sekitar bilik itu. Zarif hanya memerhati sahaja segala perbuatan Lea.

“Baju dah kemas belum?” Lea bertanya lagi. Tangannya ligat menyapu sekitar bilik.

“Belum.” Jawab Zarif pendek.

“Laa.. bila nak kemasnya? Abang nak pergi berapa hari?” Lea meletakkan penyapu di depan bilik air dan menghalakan langkah ke almari. Beg pakaian di keluarkan.

“Satu hari ja. Pergi tengah hari ni. Malam nanti abang balik sini.”

“Nak bawa baju ke tak ni?” Lea bertanya inginkan kepastian.

“Taklah kot. Kalau abang tak sempat balik, abang beli jelah pakaian kat sana nanti.” Zarif menjawab. Lea kembali memasukkan beg pakaian dalam almari.

“Kalau macam tu, Lea turun bawahlah siapkan breakfast. Kalau abang nak sambung tidur, abang tidurlah dulu. Pukul 9 nanti Lea kejutkan abang.” Lea berlalu depan Zarif. Zarif memegang lengan Lea. Lea kaget. Alah. Janganlah dia mulakan balik.. aku baru nak lupa pasal semalam.

“Lea… I need to talk. Right now. No tomorrow. No the day after tomorrow or next week. No.” Tegas bunyinya. Lea mahu melawan namun dia biarkan sahaja.

“Hmmm, apa dia?” Lea melabuhkan duduk di sisi Zarif.

“Betul apa yang abang dengar semalam?” Haaa, aku dah agak dah. Confirm. Hal tu jugak yang akan dia tanya. Aduiii. Macam mana ni? Lea menggerutu. Bibirnya digigit. Apa yang aku nak jawab ni?

“Apa yang abang dengar?” Lea bertanya pura-pura tidak mengerti akan soalan Zarif.

“Yang Lea sayangkan abang. Cintakan abang.” Zarif menjawab laju. Dia inginkan kepastian.

“Abang dengar dari mana ni? Abang silap dengar kot.” Lea mengelat. Dia malu untuk mengaku dan yang paling penting dia ada misi untuk disempurnakan.

“Lea… talk to my eyes.” Zarif menarik Lea mengadapnya.

Haaaa, sudah! Aduh. Tolonglah, aku tak nak cakap dalam masa yang terdekat ni. Aku tak bersedia.

“Betul. Tak ada. Abang silap dengar tu. Okaylah. Lea turun dulu. Pukul 9 nanti, Lea kejutkan abang.” Lea cepat-cepat bangun dan menghayunkan langkah turun ke bawah. Dia mengurut dada. Lega. Zarif mengeluh. Abang tahu apa yang Lea rasa. Tapi, takpe. Abang akan sabar. Abang nak dengar dari mulut Lea sendiri.

Lea menuju ke dapur. Hmm, nak sediakan sarapan apa ya? Dia buka peti sejuk, dilihat masih ada ayam, ikan bilis dan sayur kangkung. Hmm, buat nasi goreng kampung sajalah. Perencah ada lagi ni. Lea berkira-kira seorang diri.

Usai menyediakan sarapan, Lea memandang jam di dinding. Pukul 8.45 pagi. Hmmm, apa aku nak buat ni? Basuh bajulah. Dia cepat menghayunkan langkah ke bilik untuk mengutip baju-baju kotor. Perlahan-lahan dia membuka pintu dengan niat tidak mahu menganggu tidur Zarif. Pintu bilik di buka, dilihat Zarif tiada di atas katil. Mana pulak dia pergi? Bilik air kot? Lea berteka-teki seorang diri.

Tangannya laju mengangkat bakul pakaian kotor untuk di bawa turun.

“Makkkkk!” Lea terjerit kuat apabila dirasakan pinggangnya dipeluk.

Meledak ketawa Zarif Haikal. Pinggang Lea dilepaskan. Terbahak-bahak dia ketawa di depan Lea.
“Oh, dua kali abang kenakan Lea hari ni.” Lea mencerlung ke arah Zarif. Dia sudah siap berpakaian. Kemas. Hensem. Dengan t-shirt polo berwarna kuning air dan jeans hitam.

“Alah, nak bergurau sikit pun tak boleh.” Zarif berlalu ke meja solek dan menyembur perfume ke badannya. Wangi.

“Dah siap masak?” Tanya Zarif lagi. Lea mengangguk. “Dah.”

“Abang turunlah makan. Lea dah hidang kat atas meja tu. Nanti Lea turun. Nak kutip baju kejap.”
“Yelah.” Zarif menjawab dan menghalakan langkahnya turun ke bawah. Lea pandang ke meja kecil di sebelah katil. Ish, asyik lupa saja dia ni. Dompet kat sini. Kunci kereta pun kat sini. Lantas, dia mengambil dompet dan kunci kereta untuk di bawa turun ke bawah.

Tiba-tiba dompet Zarif terjatuh di kakinya. Lea menunduk dan mencapai dompet tersebut. Tidak semena-mena matanya terpandangkan sekeping gambar di dalam dompet Zarif. Gambar mereka berdua di Pangkor sebulan lepas. Terpancar kebahagiaan pada gambar tersebut. Tapi, bahagiakah aku dengan dia? Ya, aku bahagia. Bahagia sangat… dan tidak lama lagi aku akan melepaskan kebahagiaan itu untuk membahagiakan si dia.

Selesai memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh, Lea berlalu ke dapur. Di lihat Zarif sedang menjamu selera dengan ralitnya.

“Jadi ke nak keluar dengan Alia hari ni?” Zarif bertanya pada Lea. Lea mengambil tempat duduk di hadapan Zarif. Nasi disendukkan ke dalam pinggan.

“Hmmm. Tak. Kak Alia kata dia ada hal lain.” Lea menjawab lalu menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Oh.” Zarif menjawab pendek. “ Sepanjang abang tak ada ni, Lea balik rumah mama ya. Nanti abang hantar ke sana.” Zarif menyambung lagi.

“Eh, takpe bang… Lea ingat nak kemas rumah dulu. Kemudian, siapkan apa yang patut barulah nak balik rumah mama. Lea pergi sendiri. Abang tak payah hantarlah. Kejap lagi lewat pulak abang sampai sana. Dahla abang drive sorang-sorang.” Lea menjawab sambil tangannya menuangkan teh ke dalam cawan dan dihulurkan kepada Zarif.

“Abang ajak Lea, Lea tak nak ikut.” Zarif buat muka kesian di hadapan Lea.

“Huh. Tak payah buat muka macam tulah bang. Bukan Lea tak nak ikut, tapi Lea tak bersedia lagi nak jejakkan kaki ke pulau tu. I’m sorry. Maybe, next time.” Lea menambah

“Yelah. Abang faham. Lea tu jaga diri elok-elok. Kalau nak keluar, ajak Imani. Abang izinkan.”

Aye-aye Mister Zarif Haikal!” Lea menjawab. Zarif tersenyum mendengar jawapan Lea. Ada-ada saja. Aku tak pernah kering gusi dengan dia.

BAB18 : DIA ISTERIKU

Sebulan berlalu peristiwa di Pulau Pangkor. Lea dan Zarif meneruskan kehidupannya seperti biasa. Namun sesekali, Zarif menelefon Inspektor Zamri untuk mengetahui perkembangan terbaru kes perculikan Lea. Sehingga saat itu, lelaki berkulit hitam itu masih dalam tahanan polis. Dia dilihat sangat sukar untuk bekerjasama.

“Lea… abang nak pergi Pangkor hujung minggu ni. Nak jumpa dengan Inspektor Zamri. Lea nak ikut?” Tanya Zarif ketika mereka sedang menjamu selera. Lea didepannya hanya mendiamkan diri. Jauh di sudut hati Zarif, dia tahu bahawa isterinya masih lagi trauma.

“Hmmm, kalau Lea tak ikut boleh kan bang? Lea tak nak jejakkan kaki Lea ke situ lagi.”

“Yaa, abang faham. Kalau macam tu, abang pergi sorang dan syaratnya Lea kena tinggal dengan mama dan abah sepanjang abang ke sana. Boleh?” Zarif bertanya lagi.

Lea mengangguk perlahan. Mereka kembali meneruskan suapan. Hidangan yang disediakan oleh Lea Fatehah begitu menyelerakan. Zarif sudah dua kali tambah nasi. Ikan keli masak cili, sayur campur dan telur masin menjadi juadah makan malam mereka malam itu.

Selesai makan, Zarif membantu Lea mengemas di dapur. “Lea okay?” Tanya Zarif apabila mendapati tangan Lea berhenti daripada mencuci pinggan.

“Lea okay. Cuma Lea tertanya-tanya, kenapa lelaki tu susah sangat nak bagitahu “bos” dia tu? Lea hairanlah. Seingat Lea, Lea tak bermusuh atau menyakitkan hati sesiapa pun.” Lea menjawab laju sambil menyambung mencuci pinggan lagi.

“Kita serahkan perkara tersebut pada polis ya sayang. Abang percaya, lambat laun penjahat itu dapat juga ditangkap.” Zarif menjawab untuk sedapkan hati Lea.

“Hmm, bang. Nanti kalau Lea nak jumpa kak Alia, boleh? Banyak kali dah dia ajak Lea jumpa, tapi asyik tak sempat ja.” Lea mengubah topik perbualan secara tiba-tiba.

“Kenapa pula dia nak jumpa Lea?” Zarif bertanya pelik. Motif Alia mahu berjumpa isterinya?

“Abang … Lea tahu apa yang abang fikir. Kak Alia baik bang. Dia layan Lea macam adik dia.” Lea Fatehah seakan memahami apa yang ada dalam fikiran Zarif pada ketika itu. Cepat-cepat dia mahu membuang anggapan salah terhadap Alia Najihah.

“Lea, habis cuci pinggan jumpa abang kat taman ya.” Zarif tidak menjawab soalan Lea Fatehah tetapi memberi arahan kepadanya. Lea faham. Zarif tidak menyukai persahabatan yang terjalin antara Alia dan Lea. Zarif berlalu pergi ke taman kecil di hadapan rumahnya. Lea masih di dapur meneruskan kerja-kerjanya.

Zarif risau. Zarif bingung. Apa muslihat Alia? Kenapa dia mahu berkawan dengan Lea? Bukan Zarif tidak kenal dengan perangai Alia Najihah yang kuat cemburu, suka berdendam dan takkan mudah mengalah. Namun, rasa sayang dan cintanya pada Alia Najihah suatu ketika dahulu membutakan matanya dengan keburukan Alia. Bagi Zarif, nobody in this earth are perfectionist. Dia menerima kekurangan Alia Najihah seadanya.

“Abang…” Lea menghampiri Zarif di buaian. Dia membawa dua mug nescafe panas. Satu dihulurkan kepada Zarif. Zarif menyambut huluran Lea dan memberikan ruang kepada Lea untuk melabuhkan duduk di sebelahnya.

Zarif menghirup nescafe panas. Dia merenung ke dada langit. Kerlipan bintang yang bersinar menarik matanya. Lea memandang Zarif dengan penuh tanda tanya. Wajah Zarif tidak seceria tadi. Kenapa dengan Zarif? Dia marahkan aku ke?

“Abang … anything want to share with me?” Lea bertanya lembut. Tatapan mata Zarif dialihkan kepada Lea di sebelahnya. Dia ukirkan senyuman. Ahh. Senyuman Zarif membunuh aku. Lea mengaku dia sukakan senyuman Zarif.

“Lea… pernah jatuh cinta?” Terpacul juga soalan itu dari bibir Zarif. Sudah lama dia ingin bertanya tetapi malu dan lebih kepada takut untuk  mendengar jawapan Lea.

Lea menggeleng.

“Tak pernah? Even for once?” Tanya Zarif lagi. Dia berminat untuk mendengar jawapan daripada mulut Lea.

“Tak.” Jawab Lea lembut.

“Waktu sekolah dulu?” Zarif bertanya lagi.

“Hmmmm, pernah. Tapi itu bukan cinta monyet ke?” Lea hairan dengan soalan Zarif. Perkahwinannya dengan Zarif yang hampir mencecah lima bulan. Namun tidak banyak cerita lampau Zarif yang dia tahu. Andai perasaan ingin tahu itu menebal, dia lebih suka bertanya dengan Imani.

“Biar betul Lea ni.” Zarif bertanya tidak percaya. Dia memandang Lea di sebelahnya. Zarif lupa barangkali, Lea berkahwin dengannya di usia sembilan belas tahun.

“Betullah. Buat apa saya nak tipu. Wahai encik Zarif Haikal yang bijaksana, tetapi pelupa…”
“Kenapa pulak pelupa?” Tanya Zarif laju.

“Awak lupa, yang kita baru kahwin lima bulan lepas, dan umur saya sem..”

“Sembilan belas tahun.” Zarif memintas kata-kata Lea. Dia tidak lupa semua itu. Peristiwa lima bulan lepas masih segar dalam ingatan dia. Masih segar dan masih baru walaupun sudah lima bulan berlalu. Dia masih ingat wajah Lea Fatehah yang lencun dengan air mata. Matanya yang membengkak akibat menangis. Dia yang sedaya upaya menolak perkahwinan ini dan menegakkan dirinya yang tidak bersalah. Zarif ingat, dia tidak lupa walaupun untuk sesaat.

“Lea… awak menyesal kahwin dengan saya?” Zarif bertanya lambat-lambat. Lea di sebelahnya dikerling. Reaksi Lea bersahaja.

Lea menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menjawab soalan Zarif. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia menyesal atau tidak. Sepanjang lima bulan usia perkahwinannya, Zarif tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap dirinya. Malah, Lea merasa bersalah kerana sepanjang lima bulan itu juga, mereka hidup bukan dalam erti kata hubungan suami isteri yang sebenar. Tetapi, Zarif masih boleh bersabar. Semua keperluan Lea dipenuhi. Dan jauh di sudut hati kecil Lea, dia mula menyenangi dan menyayangi Zarif. Cuma, dia takut untuk mengaku. Takut cinta dan sayangnya tidak bersambut.

“Abang rasa macam mana? Abang nampak Lea macam menyesal ke?” Soalan Zarif dijawab dengan soalan.

“Hmmm, entah. I can’t jugde you. Semua jawapan itu ada dalam hati Lea.” Zarif menjawab jujur. Sememangnya dia tidak mampu untuk menilai sama ada Lea bahagia atau tidak.

“Apa yang Lea tahu, Lea tak menyesal. Dulu, di awal perkahwinan kita memang Lea sangat bencikan abang. Lea rasa macam masa depan Lea gelap. Tak nampak apa-apa. Tapi, dengan layanan abang yang tip-top ini, sedikit demi sedikit kekurangan yang Lea rasakan dulu semakin menghilang. Abang nak tahu...?” Lea berpaling ke arah Zarif di sebelahnya. Zarif mengangkat kening sebagai respond menginginkan jawapan.

“Lea tertanya-tanya, macam ni ke pengakhiran kehidupan kita? Abang pernah terfikir tak?”
“Maksud Lea?” Zarif inginkan kepastian.

“Yelah, sebelum abang kahwin dengan Lea, abang dah ada jalan cerita hidup abang sendiri kan? Kak Alia.” Lea tersenyum manis memandang Zarif.

Zarif pelik dengan penyataan Lea. Posisinya berubah. Dia mengangkat punggung dan duduk berhadapan dengan Lea. Lebih selesa begitu. Face to face.

“Cerita abang dengan Alia dah lama berakhir.” Jawab Zarif pendek. Dia menantikan reaksi Lea. Lea tenang sahaja. Zarif sedikit kecewa. Dia mengharapkan Lea cemburu. Marah-marahkan dia. Ya, dia mahukan reaksi sebegitu.

“Kenapa abang dengan kak Alia boleh berpisah. Sebab… abang kena tangkap khalwat dengan Lea ke?” Lea Fatehah bertanya lagi. Sedikit demi sedikit cerita masa lampau mereka dirungkai.

“Tak. Bukan sebab peristiwa malam tu. Abang dengan Alia dah lama putus. Dia dah ada pilihan dia sendiri. Dan abang ada Lea. Dan… abang putus dengan dia bukan sebab Lea. Bukan.” Zarif menjawab tenang. Dia selesa berbicara dengan Lea Fatehah. Isterinya tidak mudah melatah. Matang!

“Tapi kak Alia masih single sampai sekarang.” Lea menjawab lagi dengan intonasi lembut.

“Siapa yang bagitahu? Alia?” Zarif bertanya sinis. Lea menyedari perubahan air muka Zarif. Dia takut persoalannya itu di salah ertikan oleh Zarif.

“Abang marahkan Lea sebab tanya soalan macam tu?” Lea mencari anak mata Zarif. Tidak tahu kenapa, malam itu dia berani untuk bertentang mata dengan Zarif.

“Lea, abang mohon satu benda saja dengan Lea, tolong.. tolong jarakkan diri Lea dengan Alia. Abang tak nak Lea terpengaruh dengan cakap Alia. Tolong Lea..…”

“Tak baik abang tuduh kak Alia macam tu. She’s okay. Dia layan Lea baik sangat, macam adik dia sendiri. Dia tak bermusuh dengan abang pun. Malah, dia nak minta maaf dengan abang di atas perbuatan dia yang lalu.” Lea Fatehah memujuk Zarif. Zarif mengeluh berat.

“Lea dah tahu semuanya cerita abang dan Alia dulu?” Zarif bertanya kepada Lea dan Lea mengangguk.

“Setakat mana yang Lea tahu?” Tanya Zarif lagi.

Everything bang. Everything. Dari awal abang berkawan dengan kak Alia hinggalah saat perpisahan abang dengan dia. Kak Alia tinggalkan abang sebab Khairy kan? Tapi, Khairy pulak tinggalkan kak Alia sebab perempuan lain.” Lea menjawab jujur.

“Huh, padan muka dia. Tuhan dah beri dia balasan.” Zarif menjawab sinis.
“Ish, tak baik abang cakap macam tu.”

“Habistu, Lea nak abang buat apa sekarang ni? Balik dengan dia? Kahwin dengan dia? Nope! Takkan sesekali. Cukuplah apa yang dia lakukan pada abang dulu. Abang bukannya nak jadi pendendam. Tapi, abang bahagia dengan hidup abang sekarang ni. Abang bahagia dengan Lea, abang bahagia dengan rumah tangga kita. Stop talking about her, please.”

“Tapi, tak salah kalau abang nak balik dengan kak Alia. Lea izinkan. Because I knew it, lima tahun percintaan abang dengan dia menggambarkan bahawa abang benar-benar sayangkan kak Alia. Mungkin kak Alia silap buat pilihan. Kalau tak, pasti abang dengan dia dah kahwin sekarang ni kan?”

Stop! Apa yang Lea mengarut ni? Lea tahu tak apa yang Lea cakapkan sekarang ni? Memberi izin untuk abang kahwin satu lagi?” Zarif bertanya laju dengan intonasi yang meninggi. Jelas riak terkejut pada raut wajahnya.

“Ya, Lea sedar apa yang Lea tengah bicarakan sekarang ni. Lea sedar. Semua ini untuk abang dan kak Alia. Kalau abang tak dipaksa berkahwin dengan Lea, mungkin sekarang ni abang dah boleh kahwin dengan kak Alia kan? Cinta hati abang.”

Enough Lea. Abang tak nak dengar lagi. Makin lama abang biarkan, makin jauh Lea mengarut. Abang tak nak khianati amanah yang abah dan mama berikan pada abang.” Zarif menjawab tegas.
“Tepuk dada, tanya hati abang. Segala-galanya ada dalam ni.” Jari telunjuk Lea hinggap di dada Zarif sebelum dia bangun meninggalkan Zarif di buaian. Zarif terkedu.

Lea menghalakan langkahnya ke dalam rumah. Air matanya yang ditahan sedari tadi menitik. Dia tidak sangka bahawa bait-bait seperti tadi mampu keluar dari mulutnya. Abang, Lea minta maaf. Lea sayangkan abang. Tapi, kak Alia lagi sayangkan abang. Begitu juga dengan abang kan? Lea tak nak jadi penghalang cinta abang dengan kak Alia.

Lama Zarif termenung sendiri di buaian. Dia terpukul dengan kata-kata Lea sebentar tadi. Tanya hati? Ya, memang hati aku masih sayangkan Alia. Susah aku nak lupakan Alia. Tapi, Lea sekarang menjadi tanggungjawab aku. Ya Allah, bantulah hambamu ini.

Lambat-lambat Zarif turun dari buaian dan melangkah ke dalam rumah. Kakinya dihalakan ke tingkat atas. Pintu bilik di buka perlahan. Dia melihat Lea berteleku di atas tikar sembahyang. Kakinya tidak jadi melangkah.

“Ya Allah, kau kuatkanlah hati aku. Aku terpaksa Ya Allah melakukan semua itu. Aku tak nak menjadi penghalang cinta mereka berdua. Sememangnya mereka berhak bersatu. Bantu aku Ya Allah, kuatkan aku. Berikan aku kekuatan untuk menerima apa jua keputusan suami aku selepas ini. Sesungguhnya, aku sayangkan dia Ya Allah. Aku cintakan dia. Namun, andai sudah tertulis jodoh aku dan dia setakat ini, kau kuatkan aku Ya Allah. Sesungguhnya, engkaulah yang Maha Mengetahui dan maha Mengasihani. Amin.. Amin ya Rabbal Alamin.” Lea mengesat air mata yang mengalir laju. Dia kalah pada malam itu. Hanya pada ya Rabbi sajalah tempat untuk dia mengadu.
Zarif di sebalik pintu terdiam kaku. Dia keliru. Betul ke Lea sayangkan aku? Betul ke Lea cintakan aku? Jadi selama ini, aku tak bertepuk sebelah tangan Ya Allah?

“Lea…” Zarif menghampiri Lea dan cepat-cepat Lea menyapu air mata yang masih bersisa. Dia kaget.

“Lea…” Zarif memanggil Lea lagi. Dia melabuhkan duduknya di hadapan Lea. Lea kaget. Tidak tahu untuk menunjukkan reaksi yang macam mana. Zarif memegang tangan Lea lembut.

“Lea… abang tak salah dengar kan doa Lea tadi?” Zarif bertanya lembut. Dia memaut dagu Lea lembut supaya Lea mengadap mukanya. Lea membisu. Lidahnya terkelu. Dia tidak tahu untuk memberikan jawapan yang bagaimana.

“Lea….” Zarif menarik Lea ke dalam dakapannya. Lea kaget. Ah, sudah! Dakapan semakin dikemaskan oleh Zarif. Lea tidak tahu untuk bereaksi. Lama Zarif memeluknya.

“Abang cintakan Lea.” Lea Fatehah yang seolah-olah terbuai dengan perasaannya sendiri masih dapat menangkap kata-kata yang diucapkan oleh Zarif. Zarif cintakan aku?

“Tak. Abang tak cintakan Lea. Abang cintakan kak Alia.” Lea Fatehah cepat-cepat merungkaikan pelukan mereka.” Zarif terkejut dengan reaksi Lea. Lea cepat-cepat berdiri dan menanggalkan telekung solatnya. Dia cepat-cepat panjat katil dan merebahkan tubuhnya. Jangan Lea, jangan! Zarif untuk Alia bukan kau!

Zarif yang terkejut dengan reaksi Lea masih kaku di tikar sembahyang. Matanya memerhati segala perilaku Lea.

Kakinya cepat sahaja melangkah ke arah katil. Dia baring di sebelah Lea. Lea sedar akan kehadiran Zarif cepat-cepat bingkas dan bersila.

“Kenapa?” Zarif yang terkejut dengan reaksi spontan Lea cepat-cepat bertanya.

“Lea nak tidur dekat bilik sebelah. Malam ni saja.” Belum sempat Zarif memberikan jawapan, Lea menghayunkan langkahnya ke bilik sebelah. Pintu dikunci. Ahhh! Kenapa dengan aku? Tak boleh. Tak boleh! Zarif untuk Alia, bukan aku. Ya, untuk Alia Najihah bukan Lea Fatehah!!