Friday 16 May 2014

BAB 19 : DIA ISTERIKU

Jam kecil di sebelah berbunyi bingit. Lambat-lambat tangan Zarif mencapainya. Dia pegang dan merenung jam tersebut. 6.45 pagi? Alamak! Subuh. Cepat-cepat dia bingkas dan bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Usai menunaikan solat subuh dua rakaat, Zarif masih berteleku di tikar sembahyang. Fikirannya melayang pada peristiwa semalam. Betulkah apa yang aku dengar? Lea cintakan aku? Sayangkan aku? Lea? Ah. Lea? Dah bangun ke belum dia? Nak kejutkan ke tak?

Zarif bangun dari tikar sembahyang dan menyidai sejadah pada penyidai yang disediakan. Kakinya laju dihala ke bilik sebelah. Dia cuba memulas tombol pintu, tapi berkunci. Sah! Lea tak bangun lagi. Pintu bilik diketuk perlahan. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Ish, kenapa dia tak buka? Tak terjaga lagi ke? Jam di dinding di kerling. 7 tepat.

“Lea.” Zarif memanggil sambil tangannya mengetuk pintu. Masih diam. Tiada sebarang sahutan.
“Lea.” Zarif memanggil lagi.

“Hmmm..” terdengar sahutan Lea dari dalam.

“Dah bangun ke belum? Pukul 7 dah ni.”

“Hah. Pukul 7?” Terdengar suara kalut Lea dari dalam bilik. Kurang dari sepuluh saat pintu bilik di buka dari dalam.

“Pukul berapa?” Tanya Lea dengan muka cemas. Matanya yang dikerdip-kerdip memandang jam di dinding.

“Ya Allah! Subuh! Kenapa abang tak kejutkan Lea. Ahhh. Dah lewat sangat ni.” Lea terkocoh-kocoh masuk ke bilik air. Dari jauh Zarif mendengar bebelan Lea. Hmmm.. tak berubah. Zarif ketawa sendiri.

Usai solat subuh, Lea cepat-cepat ke bilik air untuk mandi. Dia sempat berus gigi dan cuci muka sahaja tadi. Selesai mandi, dia menjengah ke dalam bilik. Tak ada siapa. Ke mana Zarif? Kat bawah kot. Lea berteka-teki sendiri. Cepat-cepat dia menyarungkan t-shirt dan track-suit sambil bernyanyi girang.

Lihat awan di sana
Berarak mengikutiku
Pasti dia pun tahu.
Ingin aku lewati
Lembah hidup yang terindah…

“Lea..” Tiba-tiba suara Zarif datang dari arah belakang.

“Maaaaaa!!” Lea mengurut dadanya cemas.

“Apa awak ni? Pagi-pagi dah buat orang terkejut.” Lea memintal rambutnya yang masih basah dengan tuala.

“Laaaa, abang panggil punyalah perlahan, terkejut lagi.” Zarif menjawab dengan mukanya yang tidak bersalah.

“Hmmm, abang nak ke Pangkor pukul berapa? Pakaian dah kemas belum ni?” Tanya Lea. Dia menyapu losyen ke lengan dan lehernya. Zarif memerhati sahaja perbuatan Lea. Dia menelan liur perlahan. Lea nak goda aku ke??

“Encik Zarif Haikal! Mengelamun pulak dia.” Lea menepuk kuat bahu Zarif.

“Haaa.. tengah hari ni.” Zarif menjawab. Dia melabuhkan duduknya di birai katil. Lea mencapai penyapu dan menyapu di sekitar bilik itu. Zarif hanya memerhati sahaja segala perbuatan Lea.

“Baju dah kemas belum?” Lea bertanya lagi. Tangannya ligat menyapu sekitar bilik.

“Belum.” Jawab Zarif pendek.

“Laa.. bila nak kemasnya? Abang nak pergi berapa hari?” Lea meletakkan penyapu di depan bilik air dan menghalakan langkah ke almari. Beg pakaian di keluarkan.

“Satu hari ja. Pergi tengah hari ni. Malam nanti abang balik sini.”

“Nak bawa baju ke tak ni?” Lea bertanya inginkan kepastian.

“Taklah kot. Kalau abang tak sempat balik, abang beli jelah pakaian kat sana nanti.” Zarif menjawab. Lea kembali memasukkan beg pakaian dalam almari.

“Kalau macam tu, Lea turun bawahlah siapkan breakfast. Kalau abang nak sambung tidur, abang tidurlah dulu. Pukul 9 nanti Lea kejutkan abang.” Lea berlalu depan Zarif. Zarif memegang lengan Lea. Lea kaget. Alah. Janganlah dia mulakan balik.. aku baru nak lupa pasal semalam.

“Lea… I need to talk. Right now. No tomorrow. No the day after tomorrow or next week. No.” Tegas bunyinya. Lea mahu melawan namun dia biarkan sahaja.

“Hmmm, apa dia?” Lea melabuhkan duduk di sisi Zarif.

“Betul apa yang abang dengar semalam?” Haaa, aku dah agak dah. Confirm. Hal tu jugak yang akan dia tanya. Aduiii. Macam mana ni? Lea menggerutu. Bibirnya digigit. Apa yang aku nak jawab ni?

“Apa yang abang dengar?” Lea bertanya pura-pura tidak mengerti akan soalan Zarif.

“Yang Lea sayangkan abang. Cintakan abang.” Zarif menjawab laju. Dia inginkan kepastian.

“Abang dengar dari mana ni? Abang silap dengar kot.” Lea mengelat. Dia malu untuk mengaku dan yang paling penting dia ada misi untuk disempurnakan.

“Lea… talk to my eyes.” Zarif menarik Lea mengadapnya.

Haaaa, sudah! Aduh. Tolonglah, aku tak nak cakap dalam masa yang terdekat ni. Aku tak bersedia.

“Betul. Tak ada. Abang silap dengar tu. Okaylah. Lea turun dulu. Pukul 9 nanti, Lea kejutkan abang.” Lea cepat-cepat bangun dan menghayunkan langkah turun ke bawah. Dia mengurut dada. Lega. Zarif mengeluh. Abang tahu apa yang Lea rasa. Tapi, takpe. Abang akan sabar. Abang nak dengar dari mulut Lea sendiri.

Lea menuju ke dapur. Hmm, nak sediakan sarapan apa ya? Dia buka peti sejuk, dilihat masih ada ayam, ikan bilis dan sayur kangkung. Hmm, buat nasi goreng kampung sajalah. Perencah ada lagi ni. Lea berkira-kira seorang diri.

Usai menyediakan sarapan, Lea memandang jam di dinding. Pukul 8.45 pagi. Hmmm, apa aku nak buat ni? Basuh bajulah. Dia cepat menghayunkan langkah ke bilik untuk mengutip baju-baju kotor. Perlahan-lahan dia membuka pintu dengan niat tidak mahu menganggu tidur Zarif. Pintu bilik di buka, dilihat Zarif tiada di atas katil. Mana pulak dia pergi? Bilik air kot? Lea berteka-teki seorang diri.

Tangannya laju mengangkat bakul pakaian kotor untuk di bawa turun.

“Makkkkk!” Lea terjerit kuat apabila dirasakan pinggangnya dipeluk.

Meledak ketawa Zarif Haikal. Pinggang Lea dilepaskan. Terbahak-bahak dia ketawa di depan Lea.
“Oh, dua kali abang kenakan Lea hari ni.” Lea mencerlung ke arah Zarif. Dia sudah siap berpakaian. Kemas. Hensem. Dengan t-shirt polo berwarna kuning air dan jeans hitam.

“Alah, nak bergurau sikit pun tak boleh.” Zarif berlalu ke meja solek dan menyembur perfume ke badannya. Wangi.

“Dah siap masak?” Tanya Zarif lagi. Lea mengangguk. “Dah.”

“Abang turunlah makan. Lea dah hidang kat atas meja tu. Nanti Lea turun. Nak kutip baju kejap.”
“Yelah.” Zarif menjawab dan menghalakan langkahnya turun ke bawah. Lea pandang ke meja kecil di sebelah katil. Ish, asyik lupa saja dia ni. Dompet kat sini. Kunci kereta pun kat sini. Lantas, dia mengambil dompet dan kunci kereta untuk di bawa turun ke bawah.

Tiba-tiba dompet Zarif terjatuh di kakinya. Lea menunduk dan mencapai dompet tersebut. Tidak semena-mena matanya terpandangkan sekeping gambar di dalam dompet Zarif. Gambar mereka berdua di Pangkor sebulan lepas. Terpancar kebahagiaan pada gambar tersebut. Tapi, bahagiakah aku dengan dia? Ya, aku bahagia. Bahagia sangat… dan tidak lama lagi aku akan melepaskan kebahagiaan itu untuk membahagiakan si dia.

Selesai memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh, Lea berlalu ke dapur. Di lihat Zarif sedang menjamu selera dengan ralitnya.

“Jadi ke nak keluar dengan Alia hari ni?” Zarif bertanya pada Lea. Lea mengambil tempat duduk di hadapan Zarif. Nasi disendukkan ke dalam pinggan.

“Hmmm. Tak. Kak Alia kata dia ada hal lain.” Lea menjawab lalu menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Oh.” Zarif menjawab pendek. “ Sepanjang abang tak ada ni, Lea balik rumah mama ya. Nanti abang hantar ke sana.” Zarif menyambung lagi.

“Eh, takpe bang… Lea ingat nak kemas rumah dulu. Kemudian, siapkan apa yang patut barulah nak balik rumah mama. Lea pergi sendiri. Abang tak payah hantarlah. Kejap lagi lewat pulak abang sampai sana. Dahla abang drive sorang-sorang.” Lea menjawab sambil tangannya menuangkan teh ke dalam cawan dan dihulurkan kepada Zarif.

“Abang ajak Lea, Lea tak nak ikut.” Zarif buat muka kesian di hadapan Lea.

“Huh. Tak payah buat muka macam tulah bang. Bukan Lea tak nak ikut, tapi Lea tak bersedia lagi nak jejakkan kaki ke pulau tu. I’m sorry. Maybe, next time.” Lea menambah

“Yelah. Abang faham. Lea tu jaga diri elok-elok. Kalau nak keluar, ajak Imani. Abang izinkan.”

Aye-aye Mister Zarif Haikal!” Lea menjawab. Zarif tersenyum mendengar jawapan Lea. Ada-ada saja. Aku tak pernah kering gusi dengan dia.

No comments: