Saturday 5 April 2014

[BAB 16] DIA ISTERIKU

Zarif menutup tubuh Lea yang terdedah akibat bajunya yang koyak rabak dengan sweater yang dipakainya. Dia membetulkan rambut Lea dan mencapai tudung di penjuru pondok itu lalu disarungkan ke kepala Lea. Sisa air mata yang masih berbaki di pipi Lea disapu lembut. Dia mengucup dahi Lea tanda memberi sedikit kekuatan. Lalu, Lea dipeluk kemas.

Lea hanya mendiamkan diri. Dia berasa seperti keajaiban berlaku ke atas dirinya. Tadi dia benar-benar mengharapkan ada orang datang menyelamatkannya, dan ternyata suami dia sendiri yang datang menyelamatkan dia dari terus menjadi mangsa sepakan lelaki berkulit gelap itu.

“Abang, Lea takut bang. Lea takut.” Lea berkata perlahan setelah dirinya mendapat ketenangan. Tangannya yang luka kecil akibat terkena kaca itu dibelek oleh Zarif. Dia kasihan dengan nasib yang diterima oleh Lea. Zarif mengelus lembut jari jemari Lea.

“Shhh, jangan takut lagi sayang, abang dah ada kat sini. Abang minta maaf, abang lambat sampai ke sini.” Zarif memeluk Lea sekali lagi, dia menggosok belakang Lea dengan telapak tangannya. Pelukannya semakin dikemaskan.

Di luar pondok, lelaki berkulit gelap itu sudah diikat dengan tali oleh Najmi di sebatang pokok. Tidak lama kemudian, terdengar suara-suara orang bercakap dari luar. Di dapati, terdapat lima orang pegawai polis termasuk Inspektor Zamri berada di depan pondok tersebut.

Zarif memimpin Lea Fatehah keluar daripada pondok itu.

Inspektor Zamri dan beberapa pegawai yang lain mampir ke arah mereka. Lelaki berkulit gelap itu menunduk. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

“Maafkan saya Inspektor, saya bertindak sendiri.” Zarif cepat-cepat memohon maaf daripada Inspektor Zamri apabila menyedari kesalahan yang dilakukan olehnya.

“Saya faham Encik Zarif. Saya pun sudah dapat mengagak yang Encik Zarif akan bertindak mendahului kami. Nasib menyebelahi Encik Zarif kerana Puan Lea betul-betul di bawa ke sini. Dan, saya akan membawa suspek ke balai. Saya harap selepas ini Encik Zarif dan Puan boleh ke balai untuk membantu siasatan.” Kata Inspektor Zamri. Zarif bersalam dengan Inspektor Zamri, begitu juga dengan Najmi. Lelaki berkulit gelap itu sudah di bawa oleh pihak polis.

“Jom kita balik. Bawa Lea, Zarif. Jahanam punya penyangak!” Najmi melahirkan rasa tidak puas hatinya apabila melihat kesan luka dan lebam pada badan Lea. Mereka menaiki bot dan pulang ke resort.

Najmi telah mendapatkan doktor persendirian daripada pulau itu untuk merawat Lea. Lea tidak mahu ke hospital kerana masih trauma. Tidur Lea juga kadang-kadang terganggu.

“Mama risaulah tengok keadaan Lea ni Zarif. Asyik meracau je.” Puan Mazni melahirkan rasa susah hatinya apabila melihat keadaan puteri bongsunya.

“Zarif minta maaf mama, abah, abang. Zarif gagal untuk jaga dan lindungi Lea macam mama, abah dan abang buat sebelum ni.” Zarif menunduk kesal di hadapan keluarga mertuanya. Mereka masih mengelilingi Lea di katil kerana risau melihat keadaannya yang kadang-kadang meracau ketika tidur.

“Abah tak salahkan Zarif dan abah percayakan Zarif. Tetapi, kita tak minta semua ini berlaku terhadap diri Lea. Kita sama-sama berdoa agar penjenayah sebenar dapat ditangkap.” Encik Mahfuz menambah untuk mengurangkan rasa bersalah Zarif. Najmi di sebelah Zarif menepuk lembut bahu adik iparnya, tanda menyokong kata-kata Encik Mahfuz.

“Mama,abah dengan abang baliklah rehat ke bilik dulu. Zarif boleh jagakan Lea. Kesian dengan mama dan abah, penat dah tu.”

“Mama dengan abah balik ke bilik dulu. Kalau perlukan apa-apa pertolongan, panggil kami ye.” Puan Mazni menambah.

“Abang pun nak balik ke bilik juga ni. Kalau kamu perlukan pertolongan, panggil abang kat bilik sebelah ye?” Najmi pula berpesan. Akhirnya, mereka mengangkat kaki dan keluar dari bilik Zarif. Tinggallah Zarif dan Lea di dalam bilik. Zarif membetulkan selimut Lea yang sedikit terlondeh.

Sesekali Lea meracau di dalam tidurnya. Cepat-cepat Zarif mendekat ke arah Lea dan memeluk Lea erat. Niatnya supaya Lea merasa selamat. Selepas Lea berhenti meracau, dia kembali menyambung tidurnya. Dengkuran halus kedengaran. Zarif menarik nafas lega. Dia memandang raut wajah Lea yang masih jelas dengan kesan luka dan lebam. “Maafkan abang, sayang!” Zarif berkata perlahan sambil tangannya menyentuh luka-luka dan lebam itu.” Maafkan abang!”Ulang Zarif sekali lagi.

Setelah memastikan keadaan Lea tenang, Zarif berlalu ke bilik air dan mengambil sehelai tuala bersama air suam. Dia baru sedar yang Lea belum mandi. Pakaian Lea yang koyak rabak itu harus ditukar.

Zarif mengambil tuala lalu mencelup ke dalam air suam, kemudian dia lapkan ke lengan Lea dengan berhati-hati. Dia takut perbuatannya itu akan mengganggu tidur Lea. Setelah siap mengelap di lengan dan sekitar muka Lea, Zarif menggerakkan tubuhnya ke bahagian kaki Lea.

Skirt Lea diselak sedikit demi sedikit. Zarif kaget. Pertama kali dia melihat betis dan paha Lea. Dia sedia maklum dengan kehidupan perkahwinan mereka sebelum ini, walaupun tidur sekatil namun Lea masih lagi suci!

Zarif mengetap bibir, dia risau andai perbuatannya itu akan mendatangkan amarah Lea. “Habistu, takkan nak  minta tolong mama? Nantikan apa pula kata mama? Kata suami isteri, takkan malu nak lap badan isteri sendiri. Kantollah aku!” Zarif berkata sendiri di dalam hati.

Dia gagahkan juga tangannya mengelap badan Lea dan cepat-cepat menarik turun skrit Lea menutup semula bahagian paha dan betis yang terdedah itu.

“Takkan Lea nak tidur dengan pakaian kotor macam ni? Aduh! Macam mana ni?” Zarif berkata sendirian lagi. Pakaian tidur Lea di tangan, namun dia tidak berani mahu menukar pakaian Lea.

“Kalau aku tukar, esok Lea perasan dan dia marahkan aku, macam mana? Ish, biarlah. Marah pun marahlah, daripada dia tidur dalam keadaan macam ni. Nampak sangat macam aku ni suami tak bertanggungjawab.” Zarif terus bersoal jawab dengan dirinya sendiri.

Akhirnya, Zarif nekad. Pakaian Lea harus ditukar. Selesai menukar pakaian Lea, dia mengusap perlahan rambut Lea. “Maafkan abang, sayang! Abang bukannya nak ambil kesempatan ke atas Lea. Kalau lepas ni Lea nak marah abang pun, Lea marahlah. Abang sanggup.” Zarif berkata kepada Lea, tetapi sebenarnya lebih kepada diri sendiri.

“Sayang tidur ya. Tidur yang lena. Mimpikan abang ya? Jangan ingat lagi peristiwa itu.” Segera Zarif mengucup lama dahi Lea. Anak rambut Lea yang menutup dahi segera diselak ke tepi. Lama Zarif menatap raut wajah Lea, terdetik satu perasaan yang amat indah di lubuk hatinya. “Sayang, abang jatuh cinta. Ya,abang jatuh cinta dengan sayang!” Akhirnya, Zarif Haikal mengaku yang dia cintakan Lea Fatehah.

Zarif merebahkan tubuhnya di sebelah Lea. Dia menarik selimut dan menyelimuti tubuhnya. Tubuh Lea ditarik lebih dekat dengan tubuhnya. Pertama kali dia berkelakuan seperti itu. “Ya Allah, kau tetapkanlah hati aku Allah.. Dialah jodoh aku yang aku cari-cari sebelum ni Ya Allah.” Zarif berdoa di dalam hatinya. Akhirnya, dia sendiri lena disisi Lea.


2 comments:

Unknown said...

BEST 3X NAK LAGI.

MeyyaLee said...

Thanks dear. In shaa Allah. coming soon. sabar ye ;)