Thursday 16 January 2014

[BAB 10] DIA ISTERIKU



Pertemuan demi pertemuan berlaku antara Lea Fatehah dan Alia Najihah. Semakin hari mereka menjadi semakin rapat, umpama kawan baik. Alia Najihah sudah mengetahui siapa sebenarnya Lea Fatehah, namun sebaliknya bagi Lea Fatehah. Dia menerima kehadiran Alia Najihah sebagai seorang kakak dan kawan dengan hati yang terbuka.

Apakah niat di sebalik pertemuan demi pertemuan antara mereka? Baikkah niat Alia Najihah? Adakah kedatangannya untuk merebut kasih dari Zarif Haikal kembali?

“Awak ni asyik keluar saja sekarang ni. Awak keluar dengan siapa? Izzaq?” Zarif bertanya setelah Lea Fatehah melabuhkan duduknya berhadapan Zarif di kerusi pada ruang tamu. Zarif yang pulang awal setelah habis meeting dengan Datuk Mustapa kehairanan apabila mendapati Lea Fatehah tiada di rumah. Nasib baik dia mendapat mesej daripada Lea yang menyatakan dia keluar ke shopping mall bersama kawannya.
“Ish, apa awak mengarut ni? Izzaq? Saya takkan keluar dengan dia. Saya ingat status saya ni.” Lea Fatehah menjawab setelah membetulkan duduknya. Hatinya sedikit terkesan dengan telahan yang dibuat oleh Zarif.
“Habistu, awak keluar dengan siapa? Awak ni bukannya ada ramai kawan kat sini. Imani sekarang ke Kuantan, dan saya percaya awak bukan keluar dengan dia kan?”
“Awak dapat tak mesej saya pagi tadi. Saya cakap saya keluar dengan kawan kan? Kalau saya keluar dengan Imani, memang saya akan bagitahu yang saya keluar dengan Imani. Kenapa dengan awak kebelakangan ni? Asyik bertanya yang pelik-pelik sahaja.” Lea Fatehah memandang ke arah Zarif lalu tangannya menanggalkan selendang yang dililit di kepalanya.

“Takkan saya nak bertanya sikit pun tak boleh? Awak kan isteri saya.”Zarif Haikal membalas. Dia tidak dapat menafikan bahawa hatinya dipagut risau dan bimbang andai isterinya itu sudah mula keluar dengan rakan-rakan kampus lelaki.
“Boleh. Saya tak cakap salah pun. Hmmm, saya keluar dengan kak Alia. Salah ke?”
“Alia mana pulak ni? Awak tak pernah bercerita dengan saya pun.” Zarif bertanya pelik. Kenapa hatinya gelisah tika Lea menyebut nama Alia.
“Kak Alia yang satu uni dengan awak dulu. Saya pernah jumpa dengan dia masa majlis kahwin kak Hani. Kak Alia tu baik sangat. Takkanlah awak tak kenal dia. Dia cakap dia kenal awak.” Lea bercerita dan hati Zarif dipukul gelombang kuat. Tepat sekali tekaannya. Alia yang dimaksudkan oleh Lea itu ialah Alia Najihah. Untuk apa Alia berkawan dengan isterinya? Segera dia teringatkan cerita yang disampaikan oleh Badri beberapa hari lepas. Jangan-jangan …

“Awal pula awak balik hari ni? Biasanya sampai malam kan? Walaupun hujung minggu.”
“Datuk tu ada hal lain. Dia pendekkan meeting.” Zarif menjawab dan kepalanya masih lagi ligat memikirkan perihal Alia Najihah. Kenapa dia perlu hadir dalam kehidupan mereka?
“Awak nak air tak? Kalau nak, boleh saya tolong buatkan untuk awak.” Lea bertanya sambil mengangkat punggungnya dari kerusi dan segera menghayunkan langkahnya ke dapur. Zarif hanya memandang dengan ekor matanya. Soalan Lea dibiarkan begitu sahaja.
“Lea, kawan baru awak tu ada bercerita apa-apa tak tentang saya?” Zarif masih lagi tidak berpuas hati. Lea Fatehah yang sedang menuang jus oren ke dalam gelas terkejut disergah sebegitu oleh Zarif. Hampir tertumpah jus di tangannya.
“Kawan baru saya? Maksud awak kak Alia?” Lea bertanya inginkan kepastian. Dia menarik kerusi di depannya lalu melabuhkan duduk. Zarif juga melakukan perkara yang sama. Mereka duduk bersebelahan. Lea meneguk sedikit jus dari dalam gelas untuk menghilangkan haus.
“Yelah, kak Alia awak tu lah. Siapa lagi?”
“Hmm, dia tak ada bercerita apa-apa pun, kecuali …”
“Kecuali, apa?” Cepat sahaja Zarif mencantas. Dia benar-benar ingin tahu. Dia penasaran.
“Kecuali tentang pengalaman belajar awak dengan dia, dan beberapa orang kawan awak yang lain, termasuk kak Hani. Lagi satu, kak Alia ada juga beritahu saya yang awak ni dulu ramai peminat. Asyik kena kejar dengan perempuan saja walau ke mana awak pergi. Betul ke? Saya rasa macam kak Alia tu sengaja mereka-reka cerita.”

Zarif Haikal tergelak kecil mendengar pertanyaan Lea Fatehah. Lea kini sudah banyak berubah. Sudah pandai memerli, menegur dan mengenakan dia. Kehidupan rumah tangga mereka sudah mula meriah, walaupun hubungan itu tidak seperti hubungan suami isteri yang lain.
Jus di tangan Lea dicapai dan diteguk oleh Zarif. Lea mencerlung ke arahnya namun dia tidak mempedulikan pandangan Lea Fatehah itu.
“Awak ambillah gelas lain. Ini gelas saya.” Lea cuba merebut gelas dari mulut Zarif, namun sempat Zarif melarikan mukanya dan meneguk jus yang berbaki hingga ke titisan terakhir.

Opps, sorry.” Zarif mengangkat kening sebelah kanannya dan memberikan gelas kosong pada Lea. Hidung kecil Lea ditarik lembut sebelum dia melangkah ke ruang tamu. Hatinya lega mendengar cerita Lea Fatehah tentang Alia Najihah. Nasib masih menyebelahi mereka kerana Alia tidak bercerita tentang cerita cinta mereka dahulu pada Lea Fatehah.

“Lea, petang nanti awak ikut saya keluar jogging. Jangan duduk terperap di rumah saja. Kesihatan kena jaga juga, dan bagus untuk minda awak tu.” Zarif melaung dari depan. Lea yang sedang mencuci gelas hanya membiarkan sahaja laungan Zarif itu. Dia mendengar tetapi malas untuk memberikan reaksi. Dia amat malas untuk keluar jogging, cukuplah dengan mengeluarkan peluh dengan melakukan kerja-kerja rumah dan berkebun di taman kecil itu. Namun, Zarif tetap juga memaksa Lea keluar jogging sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

No comments: