Thursday 16 January 2014

[BAB 8] DIA ISTERIKU



Pada petang itu, Lea keluar ke Tesco untuk membeli barangan dapur. Dia sudah mendapat keizinan daripada Zarif. Lea keluar dengan menaiki kereta, dan di dalam kepalanya sedang berkira-kira dan menghitung barang yang harus di beli.
Kurang dari seminggu lagi, dia akan mendaftarkan dirinya sebagai mahasiswi perundangan. Walaupun akan bergelar mahasiswi, tetapi dia tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Sedang Lea membelek-belek variasi sayuran di depannya, dia ditegur oleh seseorang.
“Lea !” Wanita tersebut memanggil nama Lea Fatehah. Lea berhenti memilih sayur dan memandang ke arah suara yang memanggilnya.
“Kak Lia ! Akak buat apa kat sini?” Lea segera menghampiri Alia dan mereka saling berpelukan. Sejak pertemuan pertama di rumah Farhani, mereka semakin akrab.
“Akak datang beli barang dapur sikit. Ingat hari ini nak masak, kebetulan kawan-kawan serumah akak pun cuti hari ini. So, bolehlah akak masakkan untuk mereka sekali. Lea shopping kat sini juga ke?” Alia berjalan beriringan dengan Lea sambil masing-masing menolak troli yang sudah mula dipenuhi dengan barang-barang dapur.
“Ha’a kak! Lea selalu saja datang sini. Dekat saja dengan rumah Lea. Senang-senang nanti, jemputlah ke rumah.”
“In shaa Allah, bila berkelapangan nanti, akak singgah ke rumah Lea. Hmm, Lea datang sini dengan siapa? Sorang saja ke?” Alia bertanya lagi. Dia memasukkan sepaket spagetti ke dalam troli. Begitu juga dengan Lea Fatehah.
“Sorang saja kak. Suami kerja. Biasanya Lea ke sini dengan adik ipar, tetapi hari ini dia sibuk. Tak dapat nak temankan saya.” Lea menjawab dengan senyuman yang terukir manis di bibirnya.
“Lupa akak nak tanya, suami kamu nama apa ya? Kalau betullah dia kawan Farhani, pasti akak pun kenal dia.” Akhirnya terluah juga soalan yang disimpan oleh Alia sebelum ini. Dia hanya mahu mengetahui sahaja, bukan bermakna untuk menjaga tepi kain orang lain.
“Zarif. Zarif Haikal.” Lea menjawab sambil tangannya sedang ligat membelek epal merah di depannya. Apabila mendengar nama Zarif keluar daripada mulut Lea Fatehah, Alia kaget.
“Zarif Haikal?” Alia bertanya untuk kepastian. Dia ragu dan fikirkan ia hanyalah bayangannya sahaja.
“Ya kak. Zarif Haikal. Akak kenal ke dengan abang Zarif?” Lea bertanya pula inginkan kepastian. Dia memandang tepat ke arah Alia. Alia cuba menyembunyikan perasaannya. Kalau betullah Zarif Haikal yang dimaksudkan oleh Lea itu adalah Zarif Haikal yang pernah menjadi kekasih hatinya suatu masa dahulu, ini bermakna Zarif sudah beristeri dan isterinya kini berada di hadapan aku.
“Akak…” Lea mengawang-awangkan tangan kanannya di hadapan mata Alia. Dia melihat keruh di muka Alia, dan dilihat Alia sedang memikirkan sesuatu.
“Akak okay tak ni?” Lea bertanya sekali lagi setelah tidak mendapat apa-apa respond daripada Alia.
“Haaa, hmmmm, akak okay saja. Akak okay.” Alia tersedar daripada lamunannya. Dia sedar Lea berada di sebelahnya. Ingatannya terhadap Zarif hilang serta-merta.
“Tapi akak nampak macam tak okay saja.” Lea menambah apabila melihat riak keruh pada wajah Alia.
“Akak okay saja. Hah, Zarif ! Akak kenal. Satu universiti dulu. Tak sangka pulak yang Zarif dah kahwin sekarang.” Alia tergelak dengan kata-katanya sendiri. Dia sedaya upaya cuba mahu sembunyikan getar di jiwanya apabila nama Zarif menjadi topik perbualan mereka.
“Kami baru saja kahwin. Lebih kurang tiga bulan macam tu.” Lea menyambung lagi. Walaupun dia dapat menangkap riak wajah Alia yang berbeza, tetapi dia tidak dapat mengesyaki apa-apa yang pelik tentang topik perbualan mereka.
“Haaa, takpelah Lea. Akak kena minta diri dulu ni. Kejap lagi akak dah kena masuk office. Baru ingat nak belanja Lea makan, tapi nampaknya tak ada rezeki lagilah hari ini.”
“Eh takpe kak! In shaa Allah, lain kali kita calling-calling ye kak. Bolehlah kita keluar sama.” Lea menambah. Akhirnya mereka berpisah di situ. Lea masih lagi meneroka segenap ruang Tesco dan Alia pula sedang berbaris di kaunter bayaran.
-----
“Zarif, saya… saya ada sesuatu yang nak dibincangkan dengan awak.” Alia berdiri mengadap Zarif. Suasana tenang dan nyaman di sekitar tasik itu telah memberikan sedikit kekuatan kepada Alia untuk berterus terang.
Zarif yang baru pulang dari pejabat segera menghalakan keretanya ke arah tasik seperti yang dijanjikan dengan kekasih hati. Hatinya melonjak gembira apabila Alia menelefonnya di pejabat tengah hari tadi, dan mengatakan mahu berjumpa dengannya di tasik yang selalu menjadi tempat lepak mereka.
“Ada apa sayang? Awak call saya tadi macam ada hal penting saja.” Zarif melabuhkan duduknya di tepi tasik. Dia bersila di situ. Alia yang melihat Zarif melabuhkan duduk turut sama bersila di sebelah Zarif. Hatinya tidak keharuan. Dadanya menahan debar yang maha kuat. Dia cuba menenangkan dirinya sendiri.
“Saya rasa hubungan kita sampai takat sini sajalah.” Akhirnya terluah jua frasa keramat yang mahu diluahkan oleh Alia. Zarif di sebelah terkejut dengan ayat yang keluar daripada mulut Alia. Serta-merta dia memalingkan wajahnya mengadap Alia di sebelah. Namun, Alia melarikan pandangan matanya. Dia tidak mahu menatap anak mata Zarif.
“Tapi kenapa?” Zarif bertanya inginkan kepastian. Hatinya tidak keharuan. Dia buntu, dan dia langsung tidak menyangka bahawa frasa sedemikian akan keluar daripada mulut Alia.
“Saya rasa antara awak dengan saya dah tak ada keserasian.” Alia menjawab perlahan, namun telinga Zarif masih lagi dapat menangkap jawapan Alia.
“5 tahun itu bukan satu tempoh yang singkat Lia. Kita dah kenal 5 tahun. Keserasian apa yang awak maksudkan ini?” Zarif bertanya serius. Duduknya tidak tenang. Dia berdiri dari duduknya dan membuang pandang ke arah tasik di depannya. Alia di sebelah masih lagi bersila.
Alia sedang menyusun kata. Segala dialog yang dirancang semalam hilang serta-merta. Dia jadi lupa dengan apa yang dirancang. Hatinya sudah terpaut dengan insan lain. Namun, dia takut untuk mengaku di depan Zarif, dan dia perlu mencari alasan lain untuk memutuskan hubungannya dengan Zarif.
“Saya dah tak jumpa keserasian antara kita. Awak dengan dunia awak, dan saya dengan dunia saya.” Alia menjawab berani. Dia memejamkan matanya rapat untuk mendapat kekuatan. Ya, dia nekad! Hubungannya dengan Zarif perlu dihentikan. Kasih dan cintanya sudah beralih kepada Khairy.
“Setelah 5 tahun kita menjalin hubungan cinta, alasan itu yang awak gunakan untuk tinggalkan saya. Siapa yang minta untuk kita jadi macam ni? Sebelum ini saya dah ajak awak kahwin, tapi awak tak nak. Awak cakap awak tak puas enjoy lagi. Takpe, saya faham  dan saya tunggu, tunggu dan tunggu awak. Walaupun telinga saya ni dah tak tahan menerima bebelan daripada mama, tapi saya sabarkan juga diri ini sebab saya sayangkan awak. Akhirnya, ini pengakhiran kisah cinta kita?” Zarif tergelak sinis dengan ayatnya sendiri. Entah, dia terasa kosong ketika itu.
“Maafkan saya ! Tapi, itu sahaja yang saya mahu katakan pada awak. Hubungan kita setakat hari ini sahaja.” Alia berdiri dan menghalakan langkahnya ke kereta. Dia meninggalkan Zarif begitu sahaja. Zarif terduduk. Hatinya merintih. Impiannya untuk membina mahligai indah bersama Alia Najihah terkubur di tasik itu. Kisah cinta 5 tahun mereka berakhir begitu sahaja. Pengorbanannya sebelum ini berakhir sudah. Sama sekali dia tidak menyangka pengakhiran kisah cinta antara mereka berakhir dengan sedemikian rupa.

No comments: