Thursday 16 January 2014

[BAB 7] DIA ISTERIKU



Suasana di rumah Farhani sungguh meriah. Dua buah khemah besar berdiri megah di perkarangan rumah. Sepasang raja sehari pula sedang bersanding cantik di atas pelamin. Ramai saudara mara dan sahabat handai yang memuji kecantikan dan ketampanan pasangan mempelai itu.
Zarif juga turut tidak ketinggalan untuk menghadirkan diri ke majlis berbahagia Farhani. Seperti yang dijanjikan, dia pergi ke majlis perkahwinan Farhani dan Ryzal dengan membawa Lea Fatehah.
“Zarif ! My friend ! Dah lama sangat tak jumpa kau.” Seorang lelaki menepuk kuat bahu Zarif.
“Bard. Tak sangka dapat jumpa kau kat sini. Kau sihat?” Zarif menghulurkan salam pada rakan lamanya Badri. Lea di sisi Zarif hanya menyepi.
“Kau sorang saja ke?” Zarif bertanya setelah melihat Badri memandang Lea dengan pandangan yang sukar di tafsirkan.
“Eh takla, aku ke sini dengan anak bini aku. Entah ke mana dorang menghilang. Kat dalam rumah agaknya.” Badri menjawab dan matanya memandang Zarif dan Lea bersilih ganti.
“Hmm, by the way, ini isteri aku. Lea Fatehah. Dan Lea, ini Bard. Kawan sekolah saya dulu.” Zarif yang seakan-akan memahami pandangan Badri segera memperkenalkan Lea kepada Badri.
Badri hanya mengangguk dan Zarif tahu apabila dia perlu menjawab berbagai-bagai soalan daripada Badri selepas ini. Dia faham dan arif dengan pandangan mata Badri.
Lea di sisi Zarif hanya melemparkan senyuman paling manis sebagai tanda perkenalan. Matanya melilau ke sekeliling rumah. Dia ingin mencari orang yang dia kenali, namun hampa. Dia terasa agak kekok berada pada majlis itu.
“Hmm, awak. Saya nak ambil minuman kat hujung sana ya.” Lea berbisik kepada Zarif dan Zarif menganggukkan kepala tanda memberikan ruang kepada Lea. Zarif sedar yang Lea agak kekok pada majlis itu.
“Rif, kau tak cerita pun dengan aku yang kau dah kahwin!” Badri segera melancarkan soalan cepu emas yang disimpannya beberapa minit sebelum ini. Zarif tersenyum lebar. Dia sudah bersiap sedia dengan pelbagai soalan cepu emas daripada Badri.
“Aku nak berceritalah ni. Dan aku tahu kau ada banyak sangat soalan yang nak tanya dengan aku.”
“Tapi kan Rif, seingat aku, kau dengan orang lain kan? Lia juga namanya? Apasal pulak kali ini dengan orang lain? Aisy, peninglah kepala aku ni.” Zarif yang mendengar soalan bertubi-tubi daripada Badri hanya mampu mengukir senyuman.
Akhirnya Zarif menceritakan semuanya kepada Badri. Dia percayakan Badri, dan di atas nama persahabatan yang telah di bina selama ini dia menceritakan segala-galanya kepada Badri dari peristiwa hitam yang menghantui Lea dan dirinya sehinggalah kepada perkahwinan yang dibina olehnya kini.
“Ya Allah, aku tak tahu pun Rif. Serius aku tak tahu. Kau pun tak ada cerita sepatah pun dengan aku. Mati-mati aku ingat kau kahwin dengan Alia. Aku terserempak dengan mama kau bulan lepas, dan mama kau bagitahu yang kau dah kahwin. Aku tak bertanya lanjutlah kau kahwin dengan siapa. Tak sangka perkahwinan kau di bina dengan cara sedemikian.”
“Aku tak salahkan sesiapa Bard. Walaupun usia perkahwinan aku dengan Lea baru sahaja mencecah tiga bulan, tapi aku bahagia dengan dia. Jodoh boleh datang dengan bermacam-macam cara kan? Dan aku terima seadanya.” Zarif menjawab tenang. Dia lega apabila dapat bercerita pada seorang kawan yang dipercayai. Sebelum ini, rahsia perkahwinannya disimpan kemas dalam lipatan hati. Hanya keluarga terdekat sahaja yang mengetahui.
“Habis tu, makwe lama kau macam mana? Kau tinggalkan dia sebab terpaksa kahwin dengan Lea?” Badri bertanya lagi apabila terfikirkan tentang teman wanita Zarif sebelum ini. Dia kenal dengan Zarif, dan Zarif tak akan sanggup untuk lukakan hati orang yang disayangi.
“Jodoh aku dengan dia tak kesampaian Bard. Aku dengan Alia putus setahun lepas. Dia tinggalkan aku, pergi macam tu saja. Sehingga sekarang aku tak tahu dia ada kat mana.”
“Rif, aku baru saja jumpa dengan dia tadi kat sini. Dia ada kat sini Rif!” Badri menjawab laju.
“Maknanya dia masih ada di Malaysia lagilah. Sudahlah, aku tak nak kenang kisah yang lama. Yang berlalu biarlah berlalu. Aku dah ada kehidupan aku sendiri Bard, dan yang penting aku dah ada isteri.” Zarif menjawab jujur.
------
“Maaf cik. Cik kawan Farhani juga ke?” Seorang wanita cantik menegur Lea yang sedang tunggu giliran untuk mengambil minuman.
“Eh, takla. Saya datang sini dengan suami saya. Suami saya tu kawan Farhani.” Lea menjawab jujur dan menghadiahkan senyuman pada wanita yang bertanya padanya.
“Oh, maafkan saya puan…”
“Ish, tak payah lah ber puan-puan dengan saya. Panggil saja Lea. Nama saya Lea Fatehah.” Lea menghulurkan tangan kepada wanita cantik di depannya. Wanita itu menyambut huluran tangannya.
“Kebetulan. Nama saya pun Lia. Alia Najihah. You can call me Lia.” Masing-masing tersenyum.
-----
Beb! Baik kau tengok kat bawah khemah tu sekarang.” Badri segera menudingkan telunjuknya ke arah khemah yang dimaksudkan olehnya. Mata Zarif mengikut arah telunjuk Badri.
“Alia dengan Lea!” Badri menambah lagi. Mata Zarif terkaku apabila memandang dua wanita yang dimaksudkan oleh Badri. Mereka sedang berbual mesra.
“Biarkan mereka. Lambat laun Alia akan tahu juga yang Lea itu isteri aku, dan Lea juga akan tahu bahawa Alia itu pernah menghuni hati aku ini suatu ketika dahulu.” Zarif menjawab dengan matanya masih lagi memandang ke arah Lea dan Alia.
“Senangnya kau cakap beb! Kau dah bersedia ke nak bersoal jawab dengan Lea? Aku kenal lah perangai perempuan ini macam mana apabila dorang cemburu.” Badri menambah lagi. Dia pula yang tumpang risau dengan perangai Zarif yang bersahaja.
“Lea nak cemburu dengan aku? Tak mungkinlah Bard. Dia pandang aku pun macam tak ada perasaan.” Zarif menjawab lirih. Badri di sebelahnya memandang pelik dengan jawapan Zarif.
“Kau dengan Lea belum …. ?”
“Ya, aku tak sentuh dia langsung. Dia masih lagi suci, mungkin. Entahlah wei, peristiwa hitam itu menghantui aku. Aku rasa bersalah dengan Lea. Dia budak lagi, sembilan belas tahun. Kau bayangkan, budak perempuan yang berumur sembilan belas tahun dah kena kahwin, jaga rumah tangga, jaga makan minum aku. Life dia as a teenager dah tak ada. Tapi, dia tak pernah merungut. Dia ada cita-cita besar beb, dia nak belajar kat luar negara, tapi kerana aku dia sanggup lupakan semua cita-cita dia. Hidup dia sekarang ni hanya di ceruk dapur kat rumah tu. Kadang-kadang aku kesian tengok dia. Takkan aku nak ceraikan dia…” Terdengar lirih pada suara Zarif. Badri menepuk bahu Zarif lembut, memberikan sedikit ketenangan pada Zarif. Dia tahu, kawannya itu berada dalam keadaan tertekan.
Zarif memang pandai menyimpan rahsia, hanya pada Badri sahaja yang dikongsi segala-galanya. Namun, apabila Badri sudah berumah tangga dan mempunyai anak, Zarif sudah kehilangan tempat mengadu. Dia malu untuk mengajak Badri keluar ke warung mamak untuk bercerita masalahnya. Akhirnya, dia memendam sendiri.

No comments: