Thursday 16 January 2014

[BAB 9] DIA ISTERIKU



“Lea dah bersedia nak ke kampus esok?” Zarif menghampiri Lea yang sedang mencuci pinggan mangkuk di singki.
“Macam biasa saja. Tak rasa teruja sangat pun. Kampus dekat saja dengan rumah ini. Hari-hari Lea nampak kampus tu. Hehehehe.” Lea Fatehah tergelak dengan jawapannya sendiri.
“Saya tahu apa maksud awak. Cita-cita awak nak belajar di oversea kan? University of Harvard?” Zarif bertanya serius. Mendengar pertanyaan daripada Zarif, tangannya yang ligat mencuci pinggan terhenti. Ahh, sudah! Mana dia tahu rahsia aku ni?
“Mana ada. Saya tak kisahlah dapat belajar kat mana-mana pun. Saya okay saja. Keizinan daripada awak ini pun satu rahmat untuk saya.” Lea mengatur jawapan seelok mungkin. Dia tidak mahu Zarif berkecil hati dengan jawapannya.
“Hmm, takpelah kalau macam tu. Ingat pesanan saya. Belajar itu memang penting, tetapi yang paling penting jaga tingkah laku, ingat status awak tu.” Zarif berlalu pergi ke bilik kerjanya. Dia meninggalkan Lea terkial-kial di dapur dengan kata-kata keramat itu. ‘Status’ ! Sudah berpuluh-puluh kali pesanan seperti itu keluar daripada mulut Zarif.
“Awak, saya nak tanya satu perkara boleh tak?” Lea memberanikan diri mendekati Zarif di bilik kerjanya. Dia meletakkan secawan milo panas di hadapan Zarif. Itulah kegemaran Zarif dan Lea sudah mula terbiasa menyediakan kesukaan Zarif itu.
“Tanya apa?” Giliran Zarif pula untuk bertanya. Matanya yang tertancap pada skrin laptop dialih ke arah Lea di sisinya.
“Awak… awak tak izinkan saya sambung belajar ke? Kalau awak tak izinkan, takpe. Saya faham. Boleh sahaja saya tak daftarkan diri esok. Saya okay!” Bersungguh-sungguh Lea meyakinkan Zarif. Dia ingat pada pesanan mama dan mama Salima supaya jangan sesekali menyakitkan hati suami. Dia risau, andai dengan tawaran melanjutkan pelajaran itu tidak mendapat restu daripada Zarif, maka pada malam itu dia bertanya sekali lagi untuk kepastian.
Zarif tergelak kecil mendengar pertanyaan Lea Fatehah. Apalah dungu sangat bini aku ni?
“Lea… Lea… Lea! Apa yang awak merepek ni? Bila pula saya cakap awak tak boleh nak sambung belajar. Saya izinkan awak sambung belajar, malah saya galakkan awak belajar lagi.” Zarif menjawab jujur. Dia memusingkan badannya ke arah pintu bilik kerjanya dan melangkahkan kaki keluar. Lea pantas sahaja membuntuti langkah Zarif. Dia mahu bertanya lagi.
“Habistu awak asyik cakap tentang ‘status’ saja? Macam tak nak bagi saya belajar lagi.” Lea berkata perlahan. Zarif di depannya memberhentikan langkah serta-merta. Lea yang membuntuti langkah Zarif juga terpaksa memberhentikan langkahnya dengan mengejut. Sikit sahaja lagi mahu terpeluk badan sasa Zarif di depannya. Lea membetulkan kedudukan dirinya dan berundur sedikit agar wujud jarak dan ruang antara mereka.
“Tak salahkan kalau saya nak ingatkan awak tentang status itu. Awak kan di bawah tanggungjawab saya sekarang ini. Keluarnya awak dari rumah ini akan membawa status awak sebagai seorang isteri iaitu isteri saya.” Zarif menjawab tenang. Matanya dihalakan tepat ke arah Lea Fatehah. Lea kaget. Apasal pula dengan mamat ni?
“Ye, memang tak salah. Tapi keizinan yang awak beri itu macam tak ikhlas saja.” Lea menjawab perlahan.
“Okay, sekarang ni saya pula nak tanya awak. Awak nak sambung belajar ke tidak?” Zarif sengaja bertanya soalan memerangkap itu. Dia hanya mahu menguji Lea Fatehah.
“Nak kalau awak izinkan. Dan kalau awak tak izinkan…”
“Dah-dah. Jawapannya sudah ada kan? Saya izinkan awak belajar. Saya ikhlas. Jangan sesekali persoalkan keizinan yang saya berikan itu.” Zarif mencantas jawapan Lea. Dia tahu Lea akan cuba mengalah dan akan memendam rasa seorang diri. Zarif tidak mahu menyekat cita-cita Lea Fatehah. Biarlah Lea memenuhi impiannya walaupun tidak kesemua impian Lea dapat dia turuti.
“Baik awak. Terima kasih banyak-banyak.” Lea berlalu dengan senyuman.
----
“Lea! Tunggu lah kejap!” Izzaq berlari-lari anak mendekati Lea. Lea sengaja mempercepatkan langkahnya. Dia rimas dengan Izzaq. Sebulan dia di kampus, sepanjang tempoh itu jugalah Izzaq sering kali mengganggunya. Sudah berkali-kali Lea menolak apabila diajak keluar oleh Izzaq.
“Lea! Tunggulah kejap.” Izzaq terpaksa menarik lengan Lea untuk memberhentikan langkah Lea yang semakin laju itu.
“Saya kena balik cepat Izzaq!” Lea menarik lengannya daripada pegangan Izzaq. Dia tidak selesa.
“Maaf, saya tak sengaja.” Izzaq juga melepaskan pegangan tangannya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu.” Lea memulakan langkahnya kembali. Dia kena cepat. Zarif menunggunya di luar pagar. Keretanya rosak pagi tadi dan Zarif menghantarnya ke kampus.
“Lea, kenapa kebelakangan ini awak semacam mengelak daripada saya? Saya ada buat salah dengan awak ke?” Izzaq bertanya apabila kakinya berjaya menyaingi langkah Lea.
“Eh, tak ada lah. Awak tak ada salah apa-apa pun dengan saya.” Lea menjawab laju. Dia serba salah. Statusnya sebagai isteri orang dirahsiakan daripada teman kampus. Tiada siapa pun yang mengetahui.
“Habistu, kenapa awak asyik mengelak sahaja daripada saya?”
“Lea!” Terdengar suara Zarif memanggil nama Lea Fatehah. Dia keluar dari kereta dan tersenyum ke arah Lea. Sedari tadi Zarif memerhati Lea dan Izzaq. Dia hanya mampu menahan hati dan dia sudah menjangka perkara seperti itu akan berlaku.
“Siapa lelaki hensem ni Lea?” Izzaq bertanya laju dan menghampiri Zarif Haikal.
“Haa, dia su…”
“Saya Zarif, abang Lea!” Zarif mencantas kata-kata Lea Fatetah. Lea terkejut mendengar cara Zarif memperkenalkan dirinya pada Izzaq. Abang?
“Oh, abang pada Lea, patutlah seiras! Hensem!” Izzaq menghulurkan tangannya pada Zarif dan Zarif menyambut huluran tangan Izzaq.
Seiras? Lea bertanya sendirian? Aku dengan Zarif seiras ke? Kenapa aku tak pernah perasan pun sebelum ni?
“Hmm, okaylah Izzaq, I’ve to go. Abang saya kena masuk pejabat pulak lepas ni.” Lea sengaja menekankan suaranya pada perkataan ‘abang’ itu dan dia cepat-cepat meloloskan dirinya ke dalam kereta. Dia sengaja mahu memendekkan perkenalan antara Izzaq dan Zarif.
“Siapa nama budak tadi tu? Saya dah lupa…” Zarif bertanya setelah keretanya laju membelah jalan raya.
“Siapa?” Lea bertanya pendek. Dia tidak faham dengan maksud Zarif. Sejak masuk ke dalam kereta tadi, dia dan Zarif masing-masing berdiam diri.
“Lelaki yang follow awak sedari pintu depan kampus tu.”
“Oh, Izzaq! Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Saja tanya.”
Lea menjongketkan bahunya apabila mendengar jawapan Zarif. Pelik! Ingatkan akan ada soalan demi soalan daripada Zarif, dan tidak sangka soalan itu hanya terhenti setakat itu sahaja.
Lea memandang ke kiri dan kanan jalan. Aik, ini bukan jalan ke rumah.
“Awak nak pergi mana ni? Ini bukan jalan balik ke rumah kita.” Lea bertanya laju kepada Zarif. Zarif hanya mengukir senyuman mendengar soalan daripada Lea. Dia biarkan sahaja pertanyaan Lea dan bersiul-siul kecil.
Lea tidak berpuas hati dengan Zarif. Dia hanya berdiam diri di sebelah tanpa menjawab pertanyaan daripadanya. Dia semakin geram apabila siulan Zarif semakin galak.
Lea memandang papan tanda di kiri jalan. Port Dickson? Buat apa datang sini?
“Kita nak pergi mana ni?” Lea Fatehah tidak berpuas hati dan dia bertanya sekali lagi kepada Zarif.
“Port Dickson!” Zarif menjawab girang. Lea mengecilkan matanya dan memandang tepat ke arah Zarif, namun dia tidak dapat memandang tepat ke arah mata Zarif kerana ditutupi dengan cermin mata gelap.
“Kita datang sini untuk apa? Awak tak masuk pejabat ke?” Lea bertanya lagi. Sememangnya banyak soalan yang mahu ditanya tetapi hanya itu sahaja yang mampu ditanya. Dia kemudiannya mengalihkan pandangannya ke jalan raya.
“Pantai kan tempat kesukaan awak. Kita datang sini sebab nak tengok laut, nak main-main di gigi air. Kan?” Zarif menjawab dengan senyuman manis di bibirnya. Dia memandang sekilas pada Lea di sebelahnya.
Lea Fatehah berfikir sejenak. Kenapa dia boleh tahu semua kegemaran aku? Kalau dulu dia tahu impian aku untuk belajar di Harvard, dan sekarang ini pantai pula. Peliklah dengan mamat ni. Macam mana dia dapat tahu? Benda ini semua hanya aku luahkan di dalam diari aku sahaja. Hah, diari? Mana diari aku? Dah lama aku tak menulis dalam diari. Mana aku letak diari aku ya? Si Zarif ini baca diari aku ke? Ya Allah, malunya!
“Okay, sekarang kita dah sampai ke destinasi yang ingin di tuju. Dipersilakan dengan segala hormatnya Puan Lea Fatehah Mahfuz turun dari takhta!” Zarif membukakan pintu kereta untuk Lea Fatehah.
“Kenapa dengan awak ni?” Lea Fatehah bertanya pelik. Dia pelik dengan perangai Zarif Haikal yang tiba-tiba menjadi romantik dan gentleman. Romantik ke? Tanya hati Lea sendiri. Namun, kakinya tetap jua melangkah keluar dari kereta. Hidungnya sudah mula terhidu bau air laut. Hatinya bersorak girang. Lea mengorak langkahnya menuju ke arah pantai. Dia tidak mempedulikan cuaca yang panas terik dan sememangnya tidak sesuai untuk berjalan-jalan di tepi pantai.
Zarif menurut sahaja kaki Lea yang melangkah walaupun percik-percik peluh sudah mula membasahi dahi. Dia yang tidak lekang dengan cermin mata gelap hanya mampu memandang Lea yang sedang leka berjalan-jalan di gigi air.
Deringan telefon dari kocek seluar kerjanya mengejutkan keasyikan Zarif yang sedang memerhati Lea.
“Hello Bard!” Zarif menyahut.
“Rif, kau ada kat mana sekarang ni?” Badri bertanya di hujung talian.
Zarif memantau Lea seketika yang masih lagi berjalan kaki di gigi air. Skirt yang dipakai oleh Lea mulai basah terkena pukulan ombak yang menghempas pantai.
“Kat PD. Kenapa beb?” Giliran Zarif pula untuk bertanya.
“PD? Jauhnya. Buat apa? Hmm, aku ingatkan kau ada kat pejabat sekarang ni. Aku nak bagitahu satu benda dengan kau.” Badri pula menjawab di hujung talian.
Zarif menanggalkan cermin mata hitamnya. “Apa dia Bard? Penting sangat ke sampaikan kau call aku ni?” Zarif bertanya hairan.
“Tentang Alia.”
“Alia? Alia Najihah? Kenapa dengan dia?”
“Dia datang jumpa aku semalam dan dia tanya pasal perkahwinan kau dengan Lea.” Badri berterus terang di hujung talian.
Zarif mengeluh berat. Kenapa dengan perempuan itu?
“Lepastu kau cerita apa dengan dia?” Zarif pula bertanya.
“Aku cerita apa yang aku patut cerita sajalah. Seperti apa yang kau pesan pada aku dulu. Jangan risau, aku tak cerita pun bagaimana kau boleh kahwin dengan Lea.”
“Bagus beb! Aku malas dah nak ada kaitan dengan dia. Dia ada tanya apa-apa lagi tak?”
“Itu sahaja. Riak wajahnya macam frust pun ada beb. Aku dapat rasakan bahawa dia masih lagi sayangkan kau. Aku serius ni beb. Memang itu yang terpancar pada raut wajahnya.”
“Bard, kau jangan tertipu dengan dialah. Aku dah serik. Sakit hati aku terhadap dia masih belum pulih lagi Bard.”
Take it easy man. Tapi aku hairan, macam mana dia boleh tahu yang kau dah kahwin?”
“Entahlah. Aku sendiri tak pasti. Mungkin Hani yang bercerita dengan dia. Hmm, entahlah. Aku malas nak ambil tahu pasal dia lagi. Thanks Bard sebab kau masih ambil berat pasal aku.”
“Hal kecil sajalah. Hmm, anyway kau pergi PD buat apa? Honeymoon ke?” Badri tergelak kecil di hujung talian.
Zarif turut sama tergelak. Honeymoon? Aku tak pernah terlintas pun untuk honeymoon. Dengan siapa? Lea Fatehah? Ah, tidak mungkin. Dia masih tidak boleh menerima aku sebagai suaminya.

No comments: