Thursday 16 January 2014

[BAB 6] DIA ISTERIKU



“Hei Zarif ! Lamanya tak jumpa kau. Sihat ke?” Farhani menegur Zarif ketika mereka terserempak di shopping mall. Farhani adalah rakan universiti Zarif semasa sama-sama menuntut di Universiti Malaya sebelum ini.
“Hani ! Ya Allah, lamanya tak jumpa dengan kau. Around two years, maybe. How are you?”
“Ingat pun kau dengan aku. Betullah Zarif, lebih dua tahun sudah kita tak jumpa. Satu jangka masa yang panjang, dan kau sekarang pun dah banyak berubah. I’m just fine.” Farhani menjawab. Mereka sama-sama berjalan masuk ke dalam Baskin Robbins yang berada di hadapan mereka. Banyak perkara yang hendak mereka bualkan.
Anyway, kau dengan Ryzal macam mana? Dah lama aku tak dengar cerita tentang Ryzal. Habis saja study kita masing-masing bawa haluan. Kau ke kanan, aku ke kiri. Samalah juga dengan rakan-rakan kita yang lain.” Zarif menambah. Segala kenangan semasa mereka menuntut di universiti bermain-main di fikirannya.
“Aku dengan Ryzal okay saja. Hujung bulan nanti majlis kahwin aku dengan dia. Jemputlah ke rumah aku ya. Wajib ! Nasib baik aku jumpa dengan kau kat sini, kalau tak memang tak dapatlah kau nak merasa nasi minyak kami.” Farhani menambah. Dia dan Ryzal sudah lama menjalin hubungan cinta, dari alam universiti lagi, dan hubungan mereka kekal sehingga sekarang. Akhirnya, setelah kewangan masing-masing telah kukuh, mereka membuat keputusan untuk berkahwin.
“Alhamdulillah, akhirnya sahabat aku bertemu jodoh juga. In shaa Allah, jika tak ada apa-apa aral melintang, aku akan ke majlis perkahwinan kau nanti.”
“Aku dengar cerita kau dah kahwin. Betul ke? Dengan Alia?” Farhani di depan Zarif berkerut kening. Zarif tersenyum nipis mendengar pertanyaan Farhani. Dia tahu itu adalah soalan cepu emas yang ditunggu-tunggu.
“Ya, memang aku dah kahwin, bukan dengan Alia tapi Lea Fatehah.” Zarif menjawab tenang. Farhani semakin keliru.
“Maksud kau?” Farhani bertanya pelik. Dia sudah sedia maklum dengan cerita cinta antara Zarif dan Alia pada zaman kampus dahulu. Namun, dia tidak tahu di mana silap hubungan mereka sehinggakan Alia mengambil keputusan untuk meninggalkan Zarif. Alia telah menghilangkan diri entah ke mana.
“Dah tak ada jodoh antara aku dengan Alia, nak buat macam mana kan? Tapi, aku tak menyesal pun dengan perkahwinan ini. Aku kehilangan Alia, dan Allah gantikan Alia yang hilang itu dengan Lea Fatehah.” Zarif menjawab dengan tenang sekali lagi. Di ruang matanya terbayang wajah lembut Lea Fatehah.
“Aku tak sangka hubungan cinta kau dengan Alia terputus di tengah jalan.” Farhani mengeluh berat. Terbayang di ruang matanya kisah cinta mereka ketika di universiti suatu ketika dahulu.
“Tak ada apa yang nak dikesalkan Hani. Mungkin ini suratan takdir dari Illahi. Tiada siapa yang dapat menolak dan menyangkalnya. Aku terima seadanya.” Zarif menjawab sambil tersenyum.
“Bila kau nak kenalkan aku dengan isteri kau? Apa namanya tadi? Lea Fatehah?” Farhani cuba mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak mahu mengimbau kembali kisah cinta Zarif Haikal dan Alia. Biarlah ia menjadi rahsia antara mereka.
“ In shaa Allah. Kenduri kau nanti, aku bawa dia ke sana.” Zarif menjawab dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. 
“Okay lah kalau macam tu, aku minta diri dulu. Jangan lupa tau hujung bulan nanti, kenduri kahwin aku. Datang, jangan tak datang pula. Nanti bolehlah kita gather sama-sama dengan geng yang lain.” Farhani meninggalkan pesan sebelum melangkah untuk membeli barangan kahwin.
Geng lain? Maknanya aku harus bertemu dengan Alia sekali lagi? Kuatkah aku Ya Allah untuk berhadapan dengan perempuan yang pernah hadir dalam hati ini, yang pernah aku sayang dan cinta sepenuh hati. Zarif bermonolog sendiri.
-----
“Assalamualaikum.” Zarif menghulurkan salam apabila tangannya mencapai tombol pintu. Salamnya tidak berjawab. Kebiasaannya, Lea akan menunggu Zarif pulang dari kerja walaupun lewat malam. Entah kenapa malam itu isterinya tidak berbuat seperti selalu yang dilakukan.
Hati Zarif dipagut risau. Di tambah pula dengan suasana rumah yang gelap gelita. Kakinya pantas melangkah ke arah bilik tidur mereka. Lampu bilik di buka dan keadaan bilik terang benderang. Dia melihat Lea tidur di katil. Lega sedikit perasaannya.
Perlahan-lahan kakinya melangkah menghampiri Lea Fatehah di katil.
Lea membuka matanya perlahan-lahan apabila merasakan suasana bilik yang terang benderang. Dia melihat Zarif berdiri di sisinya. Pantas Lea bingkas bangun. Dia membetulkan rambutnya yang kusut itu lalu disepitkan dengan sepit rambut.
“Dah lama awak balik?” Lea membetulkan duduknya dan bersila di atas katil.
“Baru saja. Saya tengok rumah gelap gelita, ingatkan awak tak ada kat rumah.” Zarif berlalu ke sofa. Beg kerja di letakkan di atas meja dan tali lehernya di rungkai.
“Maaf wak. Saya tertidur tadi.” Lea melangkah turun dari katil ke bilik air.
“Senggugut awak dah okay ke belum? Maaf, pagi tadi saya terpaksa tinggalkan awak sorang-sorang di rumah. Saya ada meeting penting tadi. Saya cuba juga minta tolong dengan Imani temankan awak di rumah, tapi dia ada hal lah pulak.” Zarif terpaksa bergegas ke pejabat semula pagi tadi untuk menghadiri satu mesyuarat penting setelah menghantar Lea ke rumah mereka.
“Saya okay saja. Satu hari suntuk ni saya tidur saja wak. Makan malam untuk awak pun saya tak sempat masak.” Lea menjawab setelah keluar dari bilik air. Barulah dia merasa segar setelah membasahkan muka dan lehernya.
“Tak apa. Saya dah makan tadi dengan client. Habistu, awak makan apa ja hari ni ?” Zarif bertanya lagi. Lea mengambil tempat duduk di sebelah Zarif.
“Saya tak makan apa pun lagi. Entahlah, saya tak rasa lapar.” Lea Fatehah menjawab. Kebiasaannya memang begitu, apabila datang bulan, seleranya akan berkurang.
“Mana boleh macam tu, nantikan perut itu pula masuk angin. Takpelah, awak tunggu kejap, saya pergi masakkan sup untuk awak.” Zarif berkira-kira untuk bangun namun tangan Lea cepat sahaja mencapai tangan Zarif. Zarif tidak jadi melangkah, kakinya kaku. Lea pegang tangan aku? Matanya tidak berkelip memandang tangannya dan tangan Lea terpaut kemas.
Lea kaget. Cepat-cepat dia meleraikan pegangan tangan itu. Dia menepuk dahinya laju. Kenapa pula aku boleh terpegang tangan dia ni?
“Takpe-takpe, saya boleh masak sendiri. Awak rehatlah! Saya tahu awak penat, banyak kerja di pejabat. Takpe, saya turun masak sekarang.” Lea cepat-cepat melangkah keluar dari bilik. Mulutnya tidak putus-putus menyumpah. Dia marahkan dirinya sendiri. Kenapa reaksi spontannya tadi menyebabkan dirinya malu sendiri di depan Zarif?
Zarif di dalam bilik tersenyum sendiri. Dia memandang lama tangannya yang dipegang Lea Fatehah sebentar tadi. Dia dapat merasakan bahawa pautan tangan itu sungguh kemas. Berkali-kali dia menampar kedua-dua belah pipinya. Dia mahu memastikan bahawa dia tidak bermimpi. Ya, memang benar bahawa sebentar tadi Lea Fatehah yang memegang tangannya. Zarif tersenyum puas. Hatinya bernyanyi lagu riang.

No comments: